Thursday 25 October 2012

Semak status usahawan Bumiputera

Ayuh melayu, bangun la dari tidu...mari berjuang untuk kemajuan ekonomi ugama dan bangsa kita

Credit: Berita Harian
........................................................
Foto

Kuala Lumpur: Kerajaan disaran menyemak status usahawan Bumiputera dengan mengambil kira pegangan saham, struktur korporat dan pembangunan usahawan Melayu tulen dan bukan hanya proksi atau broker.

Kongres Ekonomi Melayu 2012 dalam resolusi yang berkaitan Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan Model Baru Ekonomi (MBE) semalam, menegaskan semakan itu perlu kerana penggunaan proksi atau broker selama ini mencacatkan imej usahawan Melayu.

Ekonomi Melayu terjejas

Cadangan itu antara 18 resolusi kongres dua hari anjuran Yayasan Kajian dan Pembangunan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) yang tamat semalam.

Kongres juga membuat ketetapan bahawa rasuah, salah guna kuasa, kronisme dan nepotisme sebagai punca ekonomi Melayu terjejas dan perlu ditangani segera.

Kongres turut mengusulkan supaya syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan agensi kerajaan mempunyai roh dan agenda pembangunan Melayu yang jelas.

GLC juga disaran tidak bersaing dengan usahawan Melayu, sebaliknya menyokong sama ada dari segi pegangan modal atau pengembangan eksport.
Pegawai GLC juga tidak harus mempunyai konflik kepentingan dan perniagaan dalam syarikat yang dimiliki kerajaan.

Kongres turut mengenal pasti kelemahan kepimpinan dalam Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) sebagai punca pelbagai agenda pembangunan ekonomi Melayu tidak dapat diselesaikan.

Sehubungan itu, kongres mencadangkan Ketua Eksekutif TERAJU ditukar bagi menambah baik usaha meningkatkan ekonomi Melayu.


Sembilan resolusi

Antara resolusi lain ialah:

  • Menyokong Deklarasi Jihad yang diputuskan oleh Yayasan Kajian dan Pembangunan DPMM.
  • Mendirikan Institut Motivasi dan Semangat Perniagaan dan Keusahawanan berasas usahawan kepada usahawan.
  • Menyediakan latihan khusus kepada pegawai kerajaan dan ahli politik mengenai peranan mereka.
  • Memberi keutamaan kepada syarikat tempatan dan Bumiputera dalam semua tender kerajaan.
  • Menubuhkan beberapa firma audit besar yang diuruskan orang Melayu untuk mengaudit syarikat dan agensi kerajaan.
  • Menubuhkan institusi kewangan yang mengumpul dan menagihkan dana/pinjaman khusus kepada usahawan mikro.
  • Mempertimbang penstrukturan semula Institut Keusahawanan Negara (Insken) dengan membabitkan wakil pertubuhan bukan kerajaan berwibawa untuk menyelaras program pembangunan usahawan.
  • Kementerian Kewangan memberi tender secara terus kepada Melayu bagi projek bawah RM100 juta dan dipantau DPMM.
  • Penubuhan Tabung Ummah serta Tabung Usahawan dan Pelaburan Bumiputera Berhad (TUPBB) bermodal RM1 bilion dengan dana RM500 juta dari kerajaan dan baki daripada masyarakat Melayu.
Semua resolusi yang diputuskan hampir 500 peserta dari pelbagai pertubuhan Melayu dan Bumiputera dijangka diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam masa terdekat.

No comments:

Post a Comment