Thursday 4 October 2012

Pikom: Malaysia patut ambil peluang

KUALA LUMPUR 1 Okt. - Malaysia seharusnya mengambil peluang dalam pertumbuhan rancak perangkaian sosial mudah alih untuk mengembangkan lagi perdagangan sosial mudah alih, kata pengerusi Persatuan ICT Kebangsaan Malaysia (Pikom), Woon Tai Hai.

Perdagangan sosial mudah alih ialah gabungan teknologi mudah alih, perangkaian sosial Internet dan e-perdagangan.

"Dengan meningkatnya penembusan mudah alih dan langkauan penting e-dagang, telah tiba masanya untuk kita menerima perdagangan sosial mudah alih," kata beliau pada Persidangan Kepimpinan Pikom 2012 di sini hari ini.

Persidangan itu dirasmikan oleh Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Fadillah Yusof.
Tai Hai berkata, rakyat Malaysia membelanjakan satu pertiga daripada masa mereka dengan laman media sosial berbanding dengan aplikasi dalam talian yang lain.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Multimedia, Datuk Badlisham Ghazali berkata, tahun lepas, negara mempunyai lebih daripada 11 juta pengguna untuk laman Facebook sahaja, menguasai 39 peratus daripada populasi Malaysia.

Dalam pada itu, transaksi jumlah e-dagang untuk 2011 ialah RM1.97 bilion, di mana RM467 juta terdiri daripada transaksi perdagangan mudah alih, kata beliau.

Persidangan dua hari itu, bermula hari ini, bertemakan 'Inovasi untuk Peluang Digital - Kuasa Perdagangan Sosial Mudah Alih'.

Ia memberi tumpuan kepada trend perdagangan sosial mudah alih dan kepentingannya kepada komuniti perniagaan terutamanya perusahaan kecil dan sederhana sebagai platform efisien untuk mengembangkan pasaran mereka di seluruh dunia. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment