Thursday 4 October 2012

Robot ganti pelajar


BUFFALO 1 Okt. - Seorang kanak-kanak Amerika Syarikat (AS) muncul pengguna pertama robot interaktif digelar ‘Roboswot’, apabila kehadirannya ke kelas terpaksa diganti mesin tersebut berikutan masalah kesihatan.

Mesin berkenaan perlu menggantikan Devon Carrow-Sperduti, 7, ke sekolah, kerana dia menderita penyakit alergi yang boleh membahayakan nyawanya jika bercampur dengan kanak-kanak lain.

Bukan setakat itu, dia juga terpaksa menghabiskan kebanyakan masanya bersendirian dengan hanya dibenarkan makan epal, bijirin dan kentang.

Menerusi Roboswot yang bernilai AS$3,000 (RM9,000), murid tersebut mampu menghadiri semua kelasnya, menjawab soalan cikgu serta berbual dengan rakan-rakan sekelasnya walaupun hanya dengan berada di rumah.

Malah, robot ciptaan syarikat Vgo Communications Inc di New Hampshire berkenaan turut dilengkapi skrin yang memaparkan muka kanak-kanak itu, menggunakan teknologi kamera web yang dihubungkan dengan komputernya di rumah.

Carrow-Sperduti hanya perlu duduk di rumahnya di Buffalo dan menggunakan komputer untuk mengawal Robotswot yang membolehkan dia melihat cikgu, papan hitam dan keadaan sekeliling kelas.

Robot itu juga membolehkan Carrow-Sperduti ‘berjalan’ di sepanjang koridor sekolah dan menyertai rakan sekelasnya di taman permainan.

Ibu Carrow-Sperduti, Rene berkata, Roboswot boleh dianggap sebagai pengganti diri anaknya.
“Anak saya melakukan semua perkara dan kerja sekolah seperti kanak-kanak lain, yang membezakan mereka adalah Carrow-Sperduti tidak berada di dalam kelas," katanya. - AGENSI

------------------------------------------------------------------
Preview teknologi masa depan, pakai robot jer buat urusan luar dari rumah

No comments:

Post a Comment