Tuesday 2 October 2012

Mohon umat Islam bersatu

 
Sebahagian yang hadir pada Program Istighasah al-Kubra di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, semalam. 
 
SHAH ALAM 7 Julai - Hampir 5,000 orang menadah tangan sambil bermunajat dan berdoa dalam program Istighasah al-Kubra di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini, bagi memohon umat Islam bersatu-padu serta meninggalkan ketaksuban terhadap ideologi politik masing-masing sehingga sanggup berpecah-belah.

Majlis tersebut bermula seawal pukul 4 pagi dengan acara qiamullail iaitu para jemaah mendirikan solat sunat tahajud, solat sunat hajat, solat sunat witir dan kemudiannya diikuti dengan solat subuh, tazkirah dan bacaan zikir munajat beramai-ramai di pekarangan masjid sebelum ia berakhir pada pukul 8 pagi.

Pengerusi Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK), Datuk Zainal Abidin Sakom berkata, yayasan tersebut dengan kerjasama Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) dan 25 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berganding bahu menganjurkan program Istighasah al-Kubra itu.

''Selepas gagal menyatukan umat Islam dengan cara pujuk rayu, timbul inisiatif kita untuk berdoa kepada Allah supaya penyatuan dapat dilaksana demi keamanan dan kesejahteraan rakyat negara ini," katanya kepada pemberita selepas majlis tersebut di sini hari ini .

Hadir sama ialah Pengerusi Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) Selangor, Tan Sri Abu Hassan Omar; Naib Yang Dipertua Yadim, Datuk Shamsul Najmi Shamsuddin; Pengerusi Seranta Majlis Istighasah al-Kubra, Datuk Abdul Samad Marudin dan Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Noriah Kasnon.

Zainal Abidin berkata, melalui program tersebut, pihaknya berharap hati umat Islam di negara ini akan dapat ditaut kembali tanpa mengira latar belakang parti politik dan bersatu demi memartabatkan kedudukan Islam.
''Ini adalah apa yang Rasulullah ajar pada kita. Baginda juga dahulu berdoa dan memohon kepada Allah sekiranya mahu memohon sesuatu dan saya berharap doa ini akan dimakbulkan sekali gus menyatukan kembali umat Islam di negara ini," katanya.

Zainal berkata, pihaknya merancang untuk menganjurkan program itu ke seluruh negara dan berharap ia akan turut dihadiri oleh lebih ramai pemimpin kerajaan di setiap negeri kerana doa pemimpin adalah antara yang akan dimakbulkan.

''Buat masa ini kami sedang menunggu permohonan daripada setiap negeri supaya program seperti ini dapat dibawa dan dianjurkan ke negeri-negeri lain," katanya.

Zainal turut menzahirkan kegembiraannya dengan kehadiran begitu ramai generasi muda ke program itu dan menganggap ia ada kaitan dengan promosi yang dijalankan melalui media sosial seperti Facebook.
''Ini membuktikan yang media sosial juga boleh digunakan untuk mempromosikan program-program keagamaan yang boleh menarik minat generasi muda," katanya.

No comments:

Post a Comment