Wednesday 24 October 2012

RM20j bantu penanam kenaf

PASIR PUTEH 25 Jun - Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi memperuntukkan RM20 juta di bawah dana khas kepada penanam kenaf untuk mengusahakan 5,000 hektar tanaman itu pada tahun ini.
Timbalan Menterinya, Datuk Hamzah Zainuddin berkata, setiap penanam akan menerima bantuan RM2,385 semusim, tidak termasuk beberapa skim insentif lain dalam usaha meningkatkan hasil kenaf negara yang kini mendapat permintaan tinggi di negara maju.

Katanya, sehingga kini, penanaman kenaf di seluruh negara belum mencapai 2,000 hektar dan Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) sedang berusaha mencapai sasaran itu.

"Antara insentif diperkenalkan tahun ini ialah bonus penuaian kenaf RM100 per tan, pengangkutan RM100 per tan dan RM100 hingga RM250 bagi hasil melebihi lima hingga 15 tan setiap hektar semusim," katanya selepas merasmikan majlis penuaian kenaf di Kampung Bukit Akar dekat sini hari ini.

Tanaman seluas 20 hektar yang diusahakan 10 petani di kawasan tanah terbiar sejak 10 tahun lalu tersebut dijangka menghasilkan pulangan sebanyak RM70,000 semusim.

Hamzah berkata, petani terbabit yang merupakan perintis penanaman kenaf komersial akan terus dibantu bagi membolehkan setiap peserta memperoleh pendapatan RM12,000 setahun.

Beliau berkata, dalam usaha membangunkan industri kenaf negara, LKTN bekerjasama dengan beberapa universiti dan agensi penyelidikan untuk menghasilkan lebih banyak barangan berasaskan komoditi itu bagi tujuan eksport.

Credit: Utusan

No comments:

Post a Comment