Monday 8 October 2012

78 peratus rakyat Malaysia tidak gembira dengan pekerjaan semasa: JobStreet.com

KUALA LUMPUR: Satu kaji selidik JobStreet.com mengenai Kepuasan Pekerjaan Warga Kerja di Malaysia baru-baru ini, menunjukkan bahawa 78 peratus daripada responden tidak gembira dengan pekerjaan semasa masing-masing.
Walau pun, pendapat biasa menyatakan bahawa sebab utama ramai bakat muda meninggalkan syarikat masing-masing adalah berikutan gaji yang rendah, hanya 17 peratus daripada 1,145 responden memetik sebab itu sebagai faktor utama mempengaruhi mereka tidak gembira.

Dalam satu kenyataan, JobStreet.com berkata ketidakpuasan dengan skop pekerjaan adalah sebab utama ramai menyatakan tidak gembira untuk bekerja.

Faktor lain ialah hubungan yang dingin dengan penyelia terdekat atau ketua masing-masing.

Syarikat itu berkata baki 22 peratus daripada responden, yang kini gembira bekerja menunjukkan tiga faktor utama yang mempengaruhi kegembiraan masing-masing.

Sebanyak 50 peratus daripada mereka mendakwa gembira dengan pengalaman bekerja dan cabaran bekerja, 21 peratus suka dengan ketua masing-masing yang menghargai dan menilai produktiviti masing-masing manakala 19 peratus gembira kerana persahabatan dengan rakan-rakan sekerja.

Yang menariknya, gaji bukan faktor utama mempengaruhi kegembiraan di tempat kerja walau pun hanya 11 peratus berkata mereka mendapat gaji yang lumayan.

Secara keseluruhannya, warga kerja bersetuju bahawa perubahan muktamad menentukan kesejahteraan mereka di tempat kerja, perlu termasuk peluang bagi perkembangan kerjaya dan keseimbangan kerja-kehidupan di dalam syarikat.

Jika keperluan itu tidak dipenuhi, majoriti (62 peratus) berkata mereka akan mencari pekerjaan lain bagi mencari kegembiraan di tempat kerja.

Sejumlah 1,145 pekerja, di mana 62 peratus daripadanya dari kumpulan pengurusan pertengahan, mengambil bahagian di dalam kaji selidik itu yang dilakukan oleh JobStreet.com pada bulan lepas. - Bernama

Credit: Metro
--------------------------------------------------------
Kalau xpuas hati kerja makan gaji, sila la berniaga...
menjadi bos kepada diri sendiri

No comments:

Post a Comment