Wednesday 17 October 2012

Ambil kira kedudukan tingkap, pintu

PENCAHAYAAN penting untuk melancarkan segala aktiviti dan kehidupan harian sama ada secara semula jadi atau tenaga elektrik.

Antara ciri rumah mesra alam adalah menggunakan sumber cahaya semula jadi sebagai punca cahaya.
Sinaran matahari yang sempurna ke rumah membantu mengurangkan kelembapan dan menghindari kehadiran bakteria.

Bakteria yang dikenali sebagai hama dapat dihindari sementara tikus dan serangga perosak pula suka tempat gelap dan lembap.

Penggunaan sinaran matahari secara bijak dapat menjimatkan tenaga elektrik dan baik untuk kesihatan anda.
Pancaran matahari pagi mempunyai banyak kelebihan untuk perkembangan fizikal dan kulit kita.
Seterusnya kedudukan cahaya matahari yang terbit dari timur dan tenggelam di barat sebaiknya diambil kira dalam menentukan kedudukan bangunan atau kediaman.

Bagaimanapun, ia bergantung kepada saiz bukaan tingkap atau pintu di kediaman anda.

Kedudukan tingkap dan pintu juga menentukan kadar kemasukan cahaya matahari ketika pagi sama ada di bahagian hadapan atau bahagian belakang ketika petang.

Kelebihan itu membantu dari segi keselesaan kerana cahaya matahari petang lebih terik berbanding pagi.
Bagi kedudukan menghadap utara pula, cahayanya tidak terik begitu juga pada kedudukan menghadap selatan.

Cahaya maksimum dapat diperoleh apabila setiap ruang menyediakan sekurang-kurangnya tiga bukaan sisi.
Ia bertujuan menerima cahaya semula jadi pada waktu yang berbeza.

Kesan cahaya semula jadi yang diterima ketika siang dari segi kuantiti dan kualiti biasanya ditentukan saiz dan orientasi tingkap.

Lebih besar dan lebar tingkap atau pintu, lebih banyak cahaya memasuki segenap ruang.

Bagaimanapun pancaran cahaya matahari yang diperoleh bukan saja menghasilkan cahaya, tetapi juga mengeluarkan bahang.

Cahaya siang banyak memberikan kesan psikologi selain kemudahan praktikal.

Kesan pencahayaan biasanya berubah mengikut masa, musim dan kedudukan dari satu tempat ke tempat yang lain.

Permukaan cerah boleh memantulkan dan menyebarkan cahaya lebih efektif berbanding permukaan gelap.
Elak menggunakan permukaan berkilat yang memantulkan cahaya serta menyebabkan silau.

Silau boleh menghalang dan mengganggu daya penglihatan pengguna ruang dan aktiviti anda sepanjang masa.

Terdapat dua silau iaitu silau secara terus yang disebabkan kesan cahaya yang berlebihan terhadap daya penglihatan manusia normal.

Silau tidak terus pula disebabkan kesan pembalikan yang berlebihan pada objek oleh cahaya kepada penglihatan manusia.

Silau boleh dikawal dengan memasang alat pengawal silau seperti bidai ram, ram tetap mendatar atau tanaman bersebelahan kediaman.//bharian

Credit: Kini2u

No comments:

Post a Comment