Thursday 4 October 2012

Rafale sedia pindah teknologi

RAFALE International (Rafale), syarikat usahasama yang diwujudkan oleh Dassault Aviation, Snecma (Kumpulan Safran) dan Thales bagi mempromosikan pesawat pejuang Rafale kini sedang berbincang dengan beberapa rakan industri tempatan mengenai program usaha sama berkaitan pemindahan teknologi pembuatan pesawat di negara ini.

Syarikat dari Perancis itu antara syarikat yang sudah menghantar cadangan kepada Kementerian Pertahanan mengenai pembekalan pesawat itu bagi menggantikan pesawat MiG 29 yang digunakan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Naib Presiden Eksekutif Dassault Aviation dan Pengarah Urusan Rafale International, Eric Trappier berkata, pihaknya sudah merangka satu program kerjasama komersial dan industri yang akan menyumbang kepada Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) menerusi kerjasama jangka panjang dengan rakan kongsi strategik di negara ini.

Beliau berkata, kerjasama di bawah program itu bukan saja terhad kepada syarikat besar, tetapi turut meliputi syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang berpeluang menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan Rafale membabitkan pembuatan komponen jet pejuang atau aplikasi berkaitan.

“Kami komited kepada pasaran Malaysia dan menyokong penuh pembangunan keupayaan syarikat tempatan menerusi kerjasama teknologi dan pengeluaran yang turut diperluaskan ke sektor pendidikan melalui institusi pengajian tempatan yang berpeluang mendapat manfaat daripada program saintifik Rafale.

“Rafale menawarkan pakej lengkap melalui program ini dan bersedia memindahkan kepakaran teknologi kepada Malaysia menerusi kerjasama jangka panjang antara kedua-dua negara,” katanya dalam taklimat media sempena lawatan singkat ke negara ini untuk menemui rakan kongsi utama dan berpotensi di Kuala Lumpur, semalam.

Katanya, pesawat tempur yang ditawarkan kepada TUDM adalah sama digunakan oleh Tentera Udara Perancis ketika ini, malah syarikat juga dijangka menandatangani perjanjian pembelian membabitkan 126 pesawat Rafale oleh Tentera Udara India pada Mac tahun depan. Eric berkata, kerjasama itu juga akan membantu dari segi pembangunan sumber manusia yang akan menawarkan peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang seperti reka bentuk komponen, pembuatan komposit, sistem integrasi, kesihatan, pertanian dan biomass.

Jet pejuang termoden Rafale itu pertama kali dipamerkan kepada umum pada Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) edisi ke-11 bersama-sama dengan pesawat Eurofighter Typhoon dari United Kingdom, Gripen (Sweden) dan FA-18 Super Hornet (Amerika Syarikat).

Sementara itu, beliau berkata, Rafale International pada Julai lalu menandatangani perjanjian Surat Hasrat Dalam Kerangka Program Kerjasama yang bakal diwujudkan dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM), sejajar dengan kehendak Kementerian Pertahanan bagi pembelian pesawat pejuang untuk TUDM pada masa depan.

Credit: Metro

-------------------------------------------------------------
Satu perkongsian teknologi yang menarik. Adalah akan ada pesawat buatan negara satu hari nanti

No comments:

Post a Comment