Saturday 20 October 2012

‘Kawaii’ tema kejayaan Nazeem

NAZEEm...yakin dengan keupayaan diri.
NAZEEm...yakin dengan keupayaan diri.

KEUPAYAAN diri anak muda ini bukan diukur daripada angka usia yang belum mencecah 30-an, sebaliknya keyakinan, sifat berani dan pengalamannya membawa peningkatan dalam profesionnya.
Nama seperti yang tertera pada kad pengenalan diri, Nazeem Jaabar, boleh berbangga dengan kelebihan dan kemahirannya dalam bidang pemasaran yang mampu menarik atau membina jaringan perniagaan terbaru biarpun bermula daripada langkah kecil.
   

Foto
Pengarah Asia Pasifik, Thrive Edition Sdn Bhd yang juga pemegang francais induk rangkaian kafe donut House of Mini (HOM) dari Singapura ini mengakui amanah di bahunya sangat berat, apatah syarikat ini baru dilahirkan awal tahun ini.
 
Berkongsi cerita, pemuda berusia 29 tahun ini berkata, idea untuk membawa HOM ke Malaysia tercetus apabila mendapati sambutan menggalakkan diterima daripada masyarakat di republik itu.Bersama beberapa rakan kongsi, Nazeem terlebih dulu mengkaji setiap aspek perniagaan dan pemasaran sebelum mengambil risiko membawa masuk rangkaian makanan ringan merangkumi kek cawan mini, donut juga pastri (puff).

“Perbincangan antara rakan kongsi berlanjutan untuk beberapa bulan. Apabila kajian selesai, kami sebulat suara setuju membawa HOM ke sini dan optimis ia akan mengulangi kejayaan seperti di Singapura.

“Berkonsepkan Jepun yang terkenal dengan perkataan ‘kawaii’ membawa erti comel, saiz mufin ditawarkan HOM adalah mini. Namun ia tidak bererti produk HOM hanya dalam saiz berkenaan, malah ada juga bersaiz sedang.

“Menggunakan tema itu juga, kita menggunakan karakter atau maskot bernama Miyosan, iaitu si gadis Jepun yang comel berambut merah jambu dan berkimono dalam rona sama,” kata bapa kepada dua cahaya mata ini.

Mensasarkan wanita dan kanak-kanak sebagai pelanggan utama, Nazeem beranggapan konsep ‘kawaii’ menjadi satu faktor penarik kepada masyarakat.

Enggan terlalu ‘mengagung-agungkan’ produk dibawanya, dia mengakui HOM memiliki kelebihan tersendiri dan konsep diperkenalkan juga terbaru serta unik.

Nazeem berkata, kelebihan donut dan mufin mininya terletak pada bahan digunakan yang menekankan aspek kesihatan, termasuk tanpa penggunaan telur, kurang lemak trans dan gula.

Mengambil contoh produk jualan terlaris HOM selama lima tahun beroperasi; Durian Puff, Nazeem mengakui snek ini menggunakan 100 peratus durian segar tanpa pewarna mahupun perisa tiruan.

“Selain rangkaian makanan yang baik, HOM dilahirkan oleh sebuah keluarga dan resipinya pula diwarisi secara turun-temurun, jadi Thrive Edition yakin dengan penerimaan di kalangan rakyat Malaysia.

“Kita baru melancarkan HOM pada pertengahan September lalu di Royal Chulan Hotel, dengan kehadiran selebriti tanah air termasuk Rozita Che Wan, Scha Al Yahya, Awal Ashaari, Elfira Loy dan Mia Sara.

“Sejajar dengan itu, HOM akan membuka cawangan pertama di Lembah Klang di Berjaya Times Square, dijangka pada penghujung November depan,” katanya ketika ditemui di Menara Prestige.

Lebih mengujakan, HOM bakal memperkenalkan konsep ‘Do it yourself’ (DIY) di cawangan tertentu, di mana ada satu seksyen khas bagi kanak-kanak membuat donut dan mufin mini tersendiri.

Katanya, menerusi konsep DIY ini, ibu bapa dapat meluangkan masa bersama anak mereka, selain mencetuskan kreativiti kanak-kanak.

Terperinci dengan pelan perniagaan tersendiri, lelaki ini yakin, dalam tempoh satu tahun beroperasi di Malaysia, lebih 100 kiosk atau cawangan HOM bakal dibuka, sekali gus membuka peluang kerjaya kepada masyarakat.

Mencungkil sisi peribadi anak kelahiran Singapura ini, Nazeem mengakui kesukaran hidup pada zaman kanak-kanaknya membuatkan dirinya sentiasa berusaha memperbaiki kehidupan, apatah lagi selepas memiliki keluarga sendiri.

“Saya dibesarkan dalam keluarga kecil dan terlalu bersederhana. Ayah bekerja sebagai pemandu lori dan kerap tiada di rumah untuk beberapa hari semata-mata mencari nafkah.

“Ibu pula suri rumah, namun saya kagumi sikap ibu yang cuba membantu ayah menyara keluarga apabila menjual pakaian secara sambilan.

“Pernah sekali, kami ketiadaan wang untuk makan dan ayah pula bekerja ketika itu. Syukur, pendapatan sambilan menjadi kelebihan kepada keluarga pada masa itu,” katanya.

Kehidupan keluarga empat beranak itu berubah apabila si bapa memperoleh peluang membuka perniagaan logistik secara kecil-kecilan, dan di saat itu Nazeem mengakui mengagumi kekuatan ibu bapanya merubah keadaan.

Hasil didikan sempurna, anak muda ini tidak sesekali merubah peribadi, sebaliknya sentiasa mengenang zaman susahnya dan tidak memandang enteng setiap peluang ke arah kejayaan.

Hal itu terbukti apabila pada zaman universitinya, Nazeem yang mengikuti jurusan Sains Politik, turut bergelar jurujual produk kesihatan.

“Diakui dua peranan itu memberi tekanan, tetapi paling penting bagaimana cara kita menguruskan dan membahagikan masa dengan sebaiknya. Syukur, saya berjaya dalam kedua-dua bidang ketika itu.

“Demi mencari pengalaman dan meringankan beban ayah, saya membantunya dalam aspek pemasaran selama lima tahun. Syukur, hasil kerja keras, saya dan pasukan berjaya mendapat keyakinan daripada syarikat gergasi tempatan dan asing.

“Rahsia saya cuma perkhidmatan terbaik dan layanan cemerlang. Itu akan mencambahkan kepercayaan dan keyakinan di kalangan syarikat besar untuk meneruskan jalinan kerjasama,” katanya mengakhiri perbualan.



PROFIL:

NAMA: Nazeem Jaabar
JAWATAN: Pengarah Asia Pasifik, Thrive Edition Sdn Bhd
TARIKH LAHIR: 29 Julai 1983
ASAL: Singapura
ISTERI: Rozells Estrella Emily
ANAK: Dilara Afrah (4) dan Zayn Ezerhan (dua bulan)
PENDIDIKAN: Ijazah Sarjana Muda Sains Politik, National University of Singapore

Credit: Metro
.................................................................................
moga saudara berjaya dalam bidang perniagaan yang diceburi

No comments:

Post a Comment