Tuesday 2 October 2012

Industri kapal jana 20,000 peluang kerja

Kuala Lumpur: Industri pembinaan dan baik pulih kapal dijangka menjana sehingga 20,000 peluang pekerjaan tambahan menjelang 2020.

Ia selaras dengan Pelan Strategik Pembinaan/Pembaikan Kapal Malaysia 2020 (SBSR 2020) yang dirangka bagi mengangkat Malaysia sebagai antara negara pembina kapal utama dunia.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata pelan strategik itu dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi (LIMA) tahun lalu.

Ia bertujuan membantu meningkatkan pertumbuhan sektor terbabit dan memberikan rangka kerja bagi pembangunannya secara lebih berstruktur dan terancang.

Beliau berkata, industri itu yang kini mempunyai kira-kira 30,000 kakitangan adalah antara sektor berpotensi berkembang selaras hasrat kerajaan untuk mentransformasikan ekonomi dengan menjana aktiviti yang menghasilkan pendapatan tinggi dan nilai tambah.

Namun, katanya antara cabaran besar yang dihadapi dalam industri itu kini ialah kekurangan modal insan yang mana sebahagian besar pekerjaan bernilai tinggi serta memerlukan kemahiran tinggi terpaksa dilaksanakan di luar negara.

Kebanyakan operasi baik pulih dan pembinaan kapal asas dijalankan di Malaysia tetapi kemasan akhir terpaksa dilakukan di tempat lain kerana kekurangan tenaga kerja. Itulah yang kita mahu atasi, katanya kepada media pada Forum Industri Perkapalan Nasional Kedua (2NMIF) di sini, semalam.
Mustapa berkata, selain menjana peluang pekerjaan, SBSR 2020 juga menetapkan sasaran untuk meraih 80 peratus pasaran pembinaan kapal tempatan dan dua peratus pasaran global menjelang 2020.

Ia turut membabitkan penguasaan pasaran pembaikan kapal untuk sektor tenaga pesisir pantai masing-masing 80 peratus dan tiga peratus di Laut China Selatan dan Selat Melaka.

Katanya, industri pembinaan dan pembaikan kapal mempunyai skop yang luas dan mampu mewujudkan kesan gandaan yang sempurna terhadap ekonomi negara kerana ia bukan saja tertumpu di limbungan, tetapi turut membabitkan industri lain seperti besi, plastik, kayu, pembuatan, logistik, penyenggaraan, kewangan serta cukai dan perkhidmatan perundangan.

Beliau berkata, tahun lalu, industri terbabit menjana pendapatan sebanyak RM7.05 bilion yang mana RM1.02 bilion daripadanya adalah pendapatan daripada eksport.

Tahun lalu, sebanyak 90 projek bernilai RM4.4 bilion diluluskan untuk kerja-kerja berkaitan pembinaan dan pembaikan kapal serta kerja kejuruteraan yang berkaitan, katanya.

Crdit: Kosmo

No comments:

Post a Comment