Wednesday 24 October 2012

Masalah Ternak Kambing

Pekerja memproses rumput napier untuk dijadikan makanan kambing Boer di Pusat Pembiakbakaan Kambing Boer Kabang, Papar, Sabah. 
 
Dalam mana-aman industri ternakan, sistem pemakanan antara faktor yang menentukan kejayaan projek. Menurut pakar pemakanan haiwan, Profesor Madya Dr. Azhar Kasim, penternakan kambing sukar untuk berjaya sekiranya sistem pemakanan tidak diteliti dan dijaga dengan rapi.

Oleh itu, Pusat Pembiakbakaan Kambing Boer Kabang, Papar, Sabah turut menjalankan kajian bagi mewujudkan satu sistem pemakanan lengkap bagi memenuhi keperluan harian ternakan.

Ujarnya, program atau sistem tersebut merangkumi pemberian fodder (rumput potong angkut) dan pemberian makanan tambahan seperti pelet kambing dan palm kernel expeller (PKE) secara teratur.
"Pembangunan dan penyelenggaraan ladang pastura (rumput napier) yang mampan dan teratur juga perlu bagi memastikan ternakan mencapai tahap kesihatan yang optimum dan mencapai tahap body score yang diperlukan," katanya.

Sementara itu, menurut pakar pembiakbakaan, Profesor Dr. Md. Zuki Abu Bakar, menerusi program pembiakbakaan yang diwujudkan, proses penggandaan ternakan menjadi lebih sistematik, cekap dan berkesan dapat dicapai di ladang tersebut.

"Pemilihan ternakan yang memiliki spesifikasi kambing Boer yang berkualiti, sihat dan memiliki trait atau jenis genetik yang baik sentiasa diutamakan.

"Oleh itu, tahap libido baka pejantan akan sentiasa diperiksa. Manakala bagi induk betina diperiksa tahap kesuburannya," katanya.

Di pusat tersebut, nisbah pejantan kepada induk betina di tentukan sebanyak 1:20 ekor bagi membantu mendapatkan kadar kebuntingan melebihi 80 peratus dan kadar kelahiran dari 1.5 hingga dua ekor bagi setiap induk dan berat anak yang lahir sekitar tiga kilogram (kg) dan ke atas.

Proses pembiakan yang diamalkan di pusat tersebut adalah melalui kaedah semulajadi iaitu line breeding dan line crossing. Manakala pemilihan trait genetik yang unggul dibuat mengikut jadual iaitu dua kali setahun.
Bagi memantau kadar kebuntingan induk betina, pusat tersebut turut menggunakan alat pengesan seperti mesin ultrasound untuk menentukan kebuntingan dengan lebih cepat dan tepat.

Ternakan yang gagal menunjukkan tahap reproduktiviti yang baik akan mudah dikesan dan disingkirkan pada peringkat awal bagi mengurangkan kos operasi seperti makanan dan penyelenggaraan.

Ia juga menerima sokongan Jabatan Perkhidmatan Haiwan dan Perusahaan Ternak Negeri sabah (JPHPT SABAH) bagi memantau penyakit dan diagnosis.

Pusat Pembiakbakaan Kambing Boer Kabang dibuka kepada para penternak untuk mendapatkan khidmat nasihat serta kursus ternakan kambing baka boer.

Biarpun kelihatan agak mudah untuk memelihara kambing untuk tujuan pembiakbakaan, sebenarnya ia industri yang memerlukan kos yang tinggi.

Bagi individu yang berminat untuk menternak kambing baka boer adalah dinasihatkan agar melaksanakan ternakan untuk tujuan sembelihan berikutan kos operasinya yang lebih rendah berbanding ternakan untuk tujuan biak baka.

Hal demikian kerana harga bagi induk ternakan biak baka boleh mencecah ribuan malah belasan ringgit, dan ia akan menjadi masalah besar kepada penternak untuk membuat pembiakbakaan kerana keadaan kewangan yang tidak mencukupi untuk pusingan modal seterusnya.

Justeru, kini adalah disyorkan agar penternak membeli baka Boer dan dikacukkan bersama baka tempatan untuk memberi tumpuan kepada penghasilan kambing bagi tujuan penjualan daging terlebih dahulu kerana ia lebih cepat pulang modal.

Untuk penternak kambing biak baka adalah mencukupi satu atau dua ladang sahaja jika terlalu banyak pasaran kambing biak baka akan tepu dan akhirnya ladang terpaksa ditutup berikutan tiada pembeli dan akhirnya kerugian.

Credit: Utusan

No comments:

Post a Comment