Wednesday 31 October 2012

TNB untung bersih RM2.9b

Tahniah kepada TNB, diharap selepas ini tiada kenaikan tarif elektrik untuk tempoh setahun ya. Tiada guna catit keuntungan berbilion kalau ianya diperah dari keringat rakyat jelata sendiri...
 
 Credit: Metro
 
UNTUNG...Moggie (tengah) mempamerkan graf prestasi kewangan TNB sambil disertai Azman (kiri) dan Ketua Pegawai Kewangan TNB, Fazlur Rahman Zainuddin.
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
UNTUNG...Moggie (tengah) mempamerkan graf prestasi kewangan TNB sambil disertai Azman (kiri) dan Ketua Pegawai Kewangan TNB, Fazlur Rahman Zainuddin.
TENAGA Nasional Bhd (TNB) merekodkan keuntungan bersih RM2.9 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2012, meningkat 34.2 peratus berbanding RM2.19 bilion yang dicatatkan pada tempoh sama, tahun sebelumnya.
Pengerusinya, Tan Sri Leo Moggie berkata, angka itu dicatatkan selepas keputusan kewangan tahun kewangan 2012 dan tahun lalu diperbetulkan berikutan TNB memperoleh pampasan kos bahan api daripada Petronas.

“Kami mendapat pampasan RM750 juta dari April hingga Ogos lalu. Selain itu, harga arang batu lebih rendah turut menyumbang kepada prestasi kewangan memberangsangkan ini,” katanya pada sidang media selepas mengumumkan prestasi kewangan suku keempat tahun kewangan TNB berakhir 31 Ogos 2012 di Kuala Lumpur, semalam.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Azman Mohd berkata, permintaan elektrik di Semenanjung meningkat sebanyak 4.3 peratus, didorong sektor komersial.

“Bagi memenuhi permintaan lebih tinggi, kami menambah penjanaan daripada stesen kuasa arang batu sebanyak 10.1 peratus membabitkan penggunaan arang batu iaitu daripada 18.9 juta tan metrik dalam tahun kewangan 2011 kepada 20.8 juta tan metrik pada tahun kewangan 2012,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, pihaknya yakin mampu menguruskan bekalan tenaga, meskipun berdepan penangguhan operasi kemudahan pemprosesan semula gas asli cecair (LNG) Petronas di Melaka yang sepatutnya bermula bulan lalu.
“Kami menjangkakan bekalan gas pertama yang akan digunakan bagi menjana kuasa akan diperoleh Januari tahun depan.

“Sehingga hujung tahun ini, permintaan masih dapat diuruskan kerana tempoh ini bukanlah musim puncak dan biasanya permintaan akan mula bertambah selepas Tahun Baru Cina,” katanya.

Monday 29 October 2012

AES

 Coretan dari CheWal

 

Sistem AES pun nak dipolitikkan ?

1. Kerajaan telah melaksanakan sistem `enforcement' yang baru yang dinamakan Automatic Enforcement System(AES).
2. Sistem ini adalah sistem rakaman berkamera untuk kesalahan-kesalahan tertentu. Sistem ini bukanlah sesuatu yang baru kerana banyak negara-negara maju didunia telah lama menggunakan sistem ini.
3. Di UK, misalnya, sistem berkamera ini telah lama digunakan dan penggunaannya adalah meluas. Di kawasan-kawasan tertentu terutama di jalan raya atau lebuh raya yang menghampiri pusat bandar dan di kawasan-kawasan kediaman, sistem kamera ini digunakan.
4. Semasa di UK, saya suka melihat sikap pemandu di sana yang majoritinya memandu dalam kelajuan yang munasabah. Adalah perkara biasa apabila pemandu-pemandu memperlahankan kenderaan apabila menghampiri kawasan-kawasan berkamera. Walaupun selepas melalui kamera, ada yang memandu agak laju, tapi tidaklah terlampau laju.
5. Pada ketika itu, saya mengharapkan agar Malaysia juga menggunakan sistem sedemikan rupa agar ianya boleh mendidik masyarakat agar memandu dengan perlahan. Bagi saya, sistem seperti ini adalah jauh lebih baik daripada cara yang digunakan di Malaysia sebelum ini iaitu dengan polis menyorok di kawasan-kawasan tertentu. Bagi saya, cara menyorok itu bukanlah boleh mendidik tetapi ianya lebih kepada menghukum. Untuk mengubah sikap masyarakat, mendidik adalah lebih baik.
6. Mendidik sikap pemandu di Malaysia perlu dibuat melalui `strict enforcement'. Mungkin hanya dengan cara tindakan tegas sahajalah sikap pemandu di Malaysia dapat dibentuk agar menjadi lebih bertamadun dan suka mengikut peraturan.
7. Malangnya, sistem yang boleh mendidik seperti AES ini tidak terlepas dari mainan politik pembangkang. Mungkin mereka tiada kerja, oleh itu, mempolitikkan dan membangkang segala-galanya adalah kerja senang yang mereka boleh buat. Sebab itulah boleh dikatakan bahawa pembangkang di Malaysia ini tidak berkualiti.
8. Baru-baru ini, Mahfuz Omar dalam kenyataanya yang disiarkan Harakahdaily mengaitkan sistem AES ini dengan kroni BN. Seperti biasa, perkara yang ada dalam fikiran mereka di kalangan pembangkang ini adalah politik. Mereka tak boleh dipisahkan dari politik. Bagi mereka, politik paling utama sehingga mereka mudah memanipulasi, menipu dan memfitnah semata-mata kerana politik. Kebenaran sudah tidak penting bagi mereka. Kenyataan Mahfuz boleh dibaca di sini.sila klik link ini
9. Mungkin sikap pemimpin pembangkan ini tidak suka mengikut peraturan. Mereka selalu melanggar peraturan dan undang-undang. Mungkin diatas sebab itu, mereka mencipta pelbagai alasan untuk mengelakkan diri daripada mengikut peraturan.
10. Untuk menguruskan sistem seperti AES ini, sudah tentu ianya memerlukan penyelenggaraan, pemantauan dan juga kalibrasi. Oleh itu, tidak menjadi masalah untuk pengurusan sistem ini diswastakan. Kita tidak mahu sistem ini bermasalah dan menjadi gajah putih di kemudian hari sekiranya sistem ini tidak diselenggara dengan baik.
11. Untuk pengetahuan bagi mereka-meraka yang mahu berfikir, sistem ini bukan bertujuan untuk mengutip duit atau menghukum. Sistem ini bertujuan untuk mendidik sikap pemandu agar memandu dengan perlahan dan mematuhi hadlaju yang ditetapkan.
12. Oleh kerana ianya berkonsepkan mendidik, maka lokasi kamera diwarwarkan. Kamera ini juga boleh dilihat dari jauh dan papan kenyataan juga diletakkan sebelum lokasi kamera ini supaya pemandu boleh bersiap sedia untuk memperlahankan kenderaan.
13. Tidak menjadi masalah sekiranya, pemandu hanya memperlahankan kenderaan di lokasi kamera dan selepas itu, melajukan semula kenderaan masing-masing. Ini kerana, pembentukan dan perubahan sikap tidak akan berlaku dengan drastik. Ianya memakan masa. Buat permulaan, pemandu akan memperlahankan kenderaan di kawasan berkamera, dan apabila perkara ini menjadi rutin, maka lama-kelamaan, pemandu akan sentiasa mengambil berat hadlaju sesuatu kawasan dan akan biasa memandu dengan perlahan.
14. Sekiranya pemasangan kamera ini dibuat dengan lebih meluas (difahamkan sebanyak 830 kamera lagi akan dipasang di Seluruh Malaysia), maka pemandu akan terpaksa memperlahankan kenderaan di banyak kawasan. Seterusnya, tabiat memperlahankan kenderaan ini akan menjadi rutin kebiasaan dan pemandu akan memandu dengan hadlaju yang ditetapkan dan tidak lagi memandu dengan begitu laju. InsyaAllah, sistem ini akan memberi kesan dalam mengurangkan kadar kemalangan jalan raya di Malaysia.
15. Saya amat gembira apabila melihat  pemandu memperlahankan kenderaan dikawasan kamera ini dan dapat dilihat semua kereta bergerak dengan halaju yang sama dan teratur. Kalau pemandangan seperti ini berlaku di kebanyakkan jalanraya/lebuhraya di Malaysia, InsyaAllah pemanduan kereta akan menjadi lebih menyenangkan dan lebih berhemah.
16. Lokasi kamera diberitahu, papan kenyataan amaran diletakkan lebih awal, kamera juga terpampang secara jelas. Sekiranya, masih ada pemandu yang memandu dengan laju sehingga ditangkap gambarnya dan disaman, jangan salah kan sistem ini. Salahkan diri anda sendiri yang terlalu bengap dan tak faham bahasa. Jangan gunakan alasan seperti `mengkayakan kroni' untuk menutup kebodohan anda.

Lagi AES

 Buat la keputusan AES cepat, dari tiada isu..jagn nak bt isu yang jerut leher snediri lak...

Renungkan lah

Credit: RBFOnline

AES:Menteri Pengangkutan Cuba Bermain Api Dengan Mencabar Rakyat

Dewan Rakyat semalam bergelegak gara-gara isu AES@SR1M (Saman Rakyat 1Malaysia). Ahli Parlimen Sri Gading (BN) dan Ahli Parlimen Johor Bharu (BN) membawa suara rakyat agar SR1M ditangguhkan terlebih dahulu dan perlu diadakan kajian terperinci.
Manakala Ahli  Parlimen Arau dan Kinabatangan juga dari BN menyokong SR1M....Lalu berlakulah pertikaman lidah sesama ahli parlimen BN.
Apa-apa pun terima kasih diucapkan kepada Sri Gading dan Johor Bharu kerana sudi membawa perkara itu ke dalam dewan. Minggu lepas pun Sri Gading dah bawa perkara berkenaan. Minggu ini beliau bawa lagi. Terima kasih YB......
Seperti yang saya katakan sebelum ini, orang ramai tidak menolak 100 peratus penggunaan AES. Cuma kaedah dan keberkesanannya perlu dikaji balik agar dapat mencapai matlamat kerajaan untuk mengurangkan kadar kemalangan, dan kerajaan tidak dilihat cuba mencari pendapatan dengan SR1M. 
Malam tadi keluar di berita TV3 Menteri Pengangkutan mencabar rakyat agar tidak melakukan kesalahan jalan raya supaya syarikat yang memasang dan mengendalikan kamera AES tidak mendapat untung.
Saya tepuk dahi melihat ayat sebegitu yang keluar dari mulut seorang menteri.....
Kalau nak guna istilah bodoh mungkin agak kasar bunyinya. Sesuai digantikan dengan perkataan kurang cerdik.
Kalau ada 2-3 orang menteri seperti itu dalam kabinet Datuk Najib, jawabnya memang betul BN akan bungkus dalam PRU 13.
Datuk menteri......Datuk jangan cabar rakyat......nanti rakyat tukar kerajaan barulah Datuk tahu langit tinggi atau rendah. Ingat Datuk.....jangan cuba bermain dengan api.
Umum mengetahui kerajaan tidak mengeluarkan sesen belanja untuk pemasangan dan penyelengaraan kamera AES. Dua syarikat yang dipilih yang menanggung segala kos itu dan mereka dibayar komisyen saman RM 16 setiap saman dan terhad kepada 5 juta saman, untuk mereka mendapatkan kos kamera dan serta keuntungan mereka.
Kos pemasangan dan penyelengaraannya tentulah bukan sedikit dan sudah pasti ianya mencecah RM juta-jutaan. 
Sekiranya tiada saman yang dikeluarkan, maka tiadalah pendapatan kepada syarikat tersebut. Bagaimana mereka tampung segala kos mereka ?
Adakah kerajaan akan membayar ganti rugi kepada mereka ? 
Jika kerajaan menjawab tidak, maknanya dalam apa keadaan sekali pun atau by hook by crook dua syarikat itu perlu mencari jalan untuk memastikan ada saman yang dikeluarkan bagi mereka mendapatkan balik modal mereka dan menampung kos operasi.
Apabila sudah by hook by crook maknanya segala kaedah samada baik atau jahat kemungkinan akan digunakan untuk memastikan matlamat tercapai. 
Sebab itulah orang ramai kata kaedah AES adalah kaedah untuk kerajaan mencari duit. Bukannya untuk mendidik rakyat. Yang untung adalah dua syarikat yang mengendalikan AES. 
Esok Menteri Pengangkutan akan jawab lagi untuk menafikan AES bertujuan mengutip duit dari orang ramai.
Kenyataan daripada Menteri Pengangkutan semalam boleh ditafsirkan bahawa sistem AES bukannya lahir dari hati nurani kerajaan tetapi kerana cadangan dari pembekal sistem.
Kalau ianya dari hati nurani kerajaan serta ikhlas nak membenteras kemalangan menteri tidak akan menjawab begitu dan kerajaan akan beli kamera tersebut kemudian ia dikendalikan oleh JPJ sendiri.
Dalam berita malam tadi juga dinyatakan bahawa AES berfungsi untuk kenderaan yang melanggar lampu isyarat dan melebihi had laju. Tetapi tidak melibatkan motosikal....
Dinyatakan juga tujuan AES adalah untuk mencegah kemalangan....
AES juga dipasang di lebuh raya....
Sekarang mari saya jawab dengan fakta.....
Kenyataan dibawah dipetik dari Portal Rasmi Kementerian Pengangkutan Malaysia.
Tragedi kemalangan melibatkan pengangkutan awam sering mendapat liputan media dan menimbulkan reaksi orang ramai yang paling banyak. Ini mungkin kerana ia kematian berkelompok. 
Namun pada hakikatnya jika dilihat dari segi statistik, kematian melibatkan pengangkutan awam adalah jumlah terendah sekali - berbanding kenderaan pelbagai jenis lain khususnya motosikal.
Pada 2010, misalnya kematian di jalan raya berjumlah 6,872 orang dan daripada jumlah itu, kematian pengangkutan awam melibatkan bas hanya 77 orang iaitu lebih kurang 1.1 peratus (%) berbanding kereta 20.7% (1,421 orang) dan yang paling tertinggi sekali adalah penunggang dan pembonceng motosikal iaitu 4,036 kematian atau lebih kurang 58.7%. Oleh itu penggunaan kenderaan awam boleh menjamin keselamatan yang lebih secara perbandingan.
Berikut pula adalah kenyataan akhbar orang kuat AES@SR1M, Datuk Solah Mat Hassan, Ketua Pengarah JPJ.
Datuk Solah
Malaysia mencatatkan purata 17 kematian setiap hari akibat kemalangan jalan raya sepanjang tahun lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Solah Mat Hassan berkata, penunggang dan pembonceng motosikal kekal sebagai penyumbang terbesar statistik terbabit.
Beliau berkata, daripada 397,330 kemalangan yang dilaporkan di seluruh negara tahun lepas, sebanyak 6,218 adalah kemalangan maut.

Sudah terang lagi bersuluh bahawa penunggang dan pembonceng motosikal menyumbang sebanyak 58.7 % atau lebih dari separuh jumlah kemalangan maut di Malaysia, tetapi saman AES dikenakan terhadap kereta dan kenderaan lain. 
Orang lain yang makan nangka orang lain yang kena getahnya....
Jalan bandaran dan jalan persekutuan adalah penyumbang utama kepada kemalangan berbanding dengan lebuh raya. 
Saya cuba mendapatkan statistik rasmi dari laman web Bahagian Keselamatan Jalan JKR Malaysia. Tetapi sayangnya laman web tersebut hanya sebagai hiasan. Setiap kali klik untuk dapatkan graf , ianya error. Belanja ribu-ribu untuk buat laman web tapi rakyat tidak boleh akses maklumat.



ERROR



Kemudian saya cuba pula hubungi nombor telefon yang diletakkan dibahagian bawah laman web itu , 03-9179 7406 untuk bertanyakan kenapa tidak boleh akses kepada graf statistik yang disediakan. Anda tahu apa jadi ?  Nombor yang dipamerkan telah tiada dalam perkhidmatan. Mungkin semua pegawai bertugas dan talian telefonnya sekali telah beku dalam makmal NKRA Idris Jala. 
Berbalik kepada statistik lokasi kemalangan jalan raya di Malaysia. Walaupun tidak mendapat data sahih dari Bahagian Keselamatan Jalan JKR Malaysia, tetapi carian yang dilakukan di laman-laman web lain beserta ingatan setiap kali Ops Sikap diadakan, kemalangan banyak berlaku di jalan persekutuan dan jalan bandaran. Jika hendak dibandingkan dengan dua jalan tersebut kadar kemalangan di lebuh raya agak berkurangan. 
Penunggang motosikal menjadi penyumbang utama kepada kemalangan maut pada hari ketujuh Ops Sikap ke-25 dengan mencatatkan sembilan kematian daripada 14 kes yang dilaporkan semalam.

Dengan ini, jumlah keseluruhan angka korban sejak Ops Sikap ke-25 dilancarkan Isnin lepas ialah sebanyak 84 orang, menurut Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi laman webnya.

Pengguna kereta merupakan penyumbang kedua kepada jumlah kematian dengan merekodkan sebanyak empat kematian, manakala pengguna basikal satu kematian.

Daripada 1,161 kemalangan yang dilaporkan, Jalan Bandaran mencatatkan rekod tertinggi iaitu 459 kemalangan, diikuti Jalan Persekutuan 298, Jalan Negeri 189, lebuh raya 161 dan 54 kes bagi jalan-jalan lain.
Sumber: Sinar Harian Online
Namun JPJ tidak mengambil kira semua itu dan lebuh raya tetap menjadi sasaran utama pemasangan AES. Sebabnya di lebuh raya lubuk untuk dua syarikat terbabit cukupkan had saman mereka sebanyak 5 juta dengan cepat. 
Memasang kamera AES di lebuh raya ibarat lepaskan 30 ekor ikan dalam sebiji baldi kemudian pasang batang kail dan duduk memancing. Setiap minit dapat seekor ikan. Horeyyyy dapat....horeyyyyy makan.....horey dapat......horeyyyyy makan......Setengah jam habis 30 ekor ikan dipancing. Begitulah juga dengan kamera AES. Pasang di lebuh raya supaya syarikat pembekal dan pengendali cepat dapat target 5 juta saman. 
Pasang kamera AES di jalan persekutuan pula sama seperti lepas 30 ekor ikan dalam kolam. Nak habis 30 ekor mungkin makan masa berjam-jam atau berhari. Sebab tak ramai orang yang pandu melebihi had laju di jalan berkenaan kerana jalan satu atau dua lorong sehala dan kebanyakan pemandu berhati-hati kerana bimbangkan kemalangan. Adalah sedikit sebanyak pemandu yang memandu lebih had laju tapi tidaklah sebanyak di lebuh raya. Apabila tidak ramai yang memandu laju maka saman pun berkuranganlah. Apabila saman kurang lambatlah syarikat dapat untung.
Pasang kamera AES di jalan bandaran pula ibarat lepaskan 30 ekor ikan dalam sungai. Jawabnya tak habislah 30 ekor ikan itu dipancing. Sebabnya tiada orang yang pandu laju dalam bandar, dan kalau ada saman yang dikeluarkan pun mungkin kepada yang melanggar lampu isyarat. Nak tunggu 5 juta saman orang langgar lampu isyarat jawabnya beruban dululah bulu seluruh badan. Siapa yang boleh pandu 80km/j dalam bandar Alor Setar, Georgetown, Seremban, Johor Bharu dan bandar-bandar lain ?
Saya nak cadangkan kepada JPJ, kalau nak bantu lagi supaya cepat dua syarikat pengendali itu dapat 5 juta saman , pergi pasang kamera AES di depan semua setiap sekolah-sekolah yang ada di Malaysia. Sebabnya  had laju di kawasan sekolah 30km/j  kan ? Termasuklah waktu malam atau musim cuti sekolah. 
Seperti yang saya katakan dulu, saya bukan berniat hendak menyokong orang yang melakukan kesalahan jalan raya, tetapi kaedah kena betul dan jangan kerajaan ulangkan balik kaedah yang telah gagal. Buang masa.....
Sebelum wujud kamera AES daripada dulu lagi dah wujud kamera polis. Seingat saya dah lebih 20 tahun wujud kamera polis. Walaupun wujud kamera polis namun ianya tidak mengurangkan kadar kemalangan di Malaysia. Sekarang pula JPJ ulangi dengan sistem yang hampir serupa dan yang telah terbukti gagal, apa ke jadahnya ?
Kerajaan jangan terlalu bergantung sangat kepada pandangan JKJR, Miros atau mana pertubuhan berkaitan jalan raya yang lain sahaja untuk melaksanakan sesuatu undang-undang. Ambil juga pendapat orang ramai dan NGO atau badan-badan lain. 
Apa salahnya kalau kerajaan naikkan had laju kepada 130km/j di lebuh raya tiga lorong dan 110km/j di kawasan dua lorong. 
Datuk Najib selalu bercakap pasal zaman dah berubah dan kita perlukan transformasi. Betullah tu....sekarang zaman dah berubah, kereta makin canggih, sistem keselamatan bagus-bagus, lebuh raya pun cantik. Tak logiklah kalau kita masih nak terikat dengan undang-undang had laju yang digubal di zaman filem Tiga Abdul. 
AES boleh diteruskan tetapi perlu beberapa penambaikan....
Antaranya, 
Jangan libatkan pihak swasta dalam penguatkuasaan. Mereka hanya terlibat dalam membekal kamera, penyelenggaraan dan latihan kepada kakitangan penguatkuasa kerajaan. 
Naikkan had laju mengikut peredaran zaman dan kecanggihan kenderaan...
Kempen kesedaran jalan raya hendaklah berterusan dan jangan hanya tertumpu di musim perayaan sahaja. 
Banyakkan papan tanda gambar kubur dan jenazah di jalan-jalan atau lebuh raya. Manusia mudah tersentuh dengan kaedah ini.
Pengalaman saya, 
Seorang kawan saya yang boleh dikatakan orang yang berani. Dan satu hari ketika saya naik kereta yang dipandunya dia memecut 160-180 km/j di Lebuh Raya Pantai Timur dari KL ke Kuantan. Kereta yang digunanya juga bagus.  Saya agak kecut perut dengan tahap kelajuan itu.
Saya tidak menegurnya supaya mengurangkan kelajuan sebaliknya hanya tiga soalan yang saya tanya.
Anak kau berapa orang ?

Dijawabnya dua orang....

Berapa usia mereka ?

Jawabnya 3 tahun dan 1 tahun.....

Kau sayang mereka tak ?
Dia tidak menjawab, sebaliknya terus memperlahankan kenderaan dan tersenyum ke arah saya. Lalu sampailah kami di Kuantan dalam masa lebih kurang 2 jam dengan selamat dengan kelajuan 110-130km/j.
Bukanlah saya nak kata saya bagus, tetapi kaedah begitulah yang sesuai dipakai untuk psiko pemikiran manusia supaya tidak memandu laju.
Slogan-slogan skema yang diguna pakai oleh JPJ termasuklah lambang tengkorak di tepi jalan sudah tidak sesuai lagi di zaman sekarang. Lambang tengkorak itu mungkin tidak boleh ditukar kerana lambang standard antarabangsa. Tetapi tambahlah gambar-gambar lain.  
JPJ kena kreatif sikit untuk fikir bagaimana kaedah untuk psiko pemikiran pemandu. Bukannya hanya tahu saman....saman....saman......kemudian bila dah saman bagi alasan nak mendidik......
 
Esok bersambung lagi.....
Saya akan kerjakan AES sampai dua syarikat tersebut tidak lagi terlibat dalam penguatkuasaan....
 

AES dan Malaysia

Mungkin idea ini bagus, cuma keadaan dan masa masih belum sesuai. Beberapa cadangan seperti di akhir artikel ini wajar dipertimbangkan untuk kepentingan ramai...

Credit: Sinar

AES KASI TARUK! INI SEBABNYA MENTERI PENGANGKUTAN KENA LETAK JAWATAN! WAJIB BACA

Tindakan kerajaan memperkenalkan Sistem Penguatkuasaan Automatik atau Automated Enforcement System (AES), ke atas kenderaan yang dipandu melebihi had laju, tanpa kajian dan penilaian yang teliti merupakan tindakan bodoh menjelang pilihan raya umum.

Setelah lebih dua minggu diperkenalkan, AES telah menjadi satu bebanan politik kepada Barisan Nasional dan kerajaan. Rata-rata rakyat biasa melihat pelaksanaan AES adalah satu cara kerajaan menambah perbendaharaan negara bagi menampung perbelanjaan dan subsidi kerajaan yang meningkat dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Kini ramai yang memomokkan penerima “Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BRIM)” sebagai penerima wang saman AES.

Kementerian Pengangkutan mendakwa AES diperkenalkan bagi mendidik pengguna jalan raya untuk mematuhi had laju. Alasan mereka banyak kemalangan maut terhasil akibat kenderaan dipandu melebihi had laju yang ditetapkan.
Alasan ini bukan sahaja belum dibuktikan secara tuntas tetapi juga menampakkan sikap kerajaan cuba merendah-rendahkan pemikiran rakyat seolah-olah menerima sahaja apa yang disuapkan kepada mereka.

Untuk tujuan perbahasan, kita kena akui bahawa kelajuan yag melampau hingga menyebabkan kenderaan hilang kawalan boleh mendatangkan kemalangan yang dahsyat. Ini merupakan hukum fizik yang tidak lagi boleh disangkal. Di sinilah perlunya had laju, pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang supaya kita boleh mengukur tahap kelajuan melampau pemandu.
Kita juga kena akui bahawa kelajuan yang berlebihan dalam jarak yang dekat dengan kenderaan lain akan menyebabkan kemalangan. Ini tidak pernah diambil perhatian oleh pihak yang mahu membuat polisi mengenai had laju.

Justeru adalah sangat menyakitkan hati apabila kita disaman kerana memandu di lebuh raya tiga lorong yang sunyi-sepi pada kelajuan 110 KM/J hanya kerana had laju tempat tersebut 90KM/J.

Apakah had laju yang ditetapkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah telah dibuktikan secara saintifik sebagai titik kritikal dalam menentukan kemalangan di sesuatu kawasan? Saya fikir ia adalah merupakan satu hal yang sangat meragukan. Tinjaun penulis secara umum mendapati terdapat had-had laju yang ditetapkan langsung tidak masuk akal bagi sesetengah kawasan.

Saya tidak berniat untuk membincangkan siapa yang mendapat kontrak dan siapa yang mendapat untung dalam perniagaan ini. Lumrah dunia jika berniaga mesti mahu untung. Namun terdapat tiga isu utama yang jelas menunjukkan pemasangan AES bukanlah bertujuan mengatasi kemalangan jalan raya tetapi untuk mengutip saman.

Pertamanya, terdapat corak yang jelas bahawa penentuan had laju di kawasan-kawasan tertentu sengaja direndahkan biarpun tidak mempunyai sebab fizikal jalan raya atau aliran trafik yang mewajarkan bagi pengurangan tersebut. Ambil contoh, Lebuh Raya Kuala Lumpur – Shah Alam (KESAS) yang mempunyai tiga lorong sehala tanpa banyak susur masuk dan keluar, had lajunya ialah 90KM/J.

Had laju ini sama dengan beberapa Jalan Persekutuan yang hanya mempunyai satu lorong bagi setiap hala, tidak mempunyai pembahagi jalan dengan kenderaan dari arah bertentangan dan terdedah kepada kenderaan keluar masuk setiap masa.
Kita dapati di Kesas inilah paling kerap diadakan perangkap had laju. Sekarang di pasang AES bermakna setiap masa terdapat perangkap had laju ini.

Demikian juga di Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran Kajang, dalam keadaan fizikal yang serupa, had laju kenderaan tiba-tiba sahaja ditukar daripada 110 KM/J kepada 90KM/J. Di situlah diletakkan kamera penguatkuasaan otomatik ini. Seolah-olah jika kita bawa lebih dari 90KM/J kita akan terbabit dalam kemalangan.

Tindakan meletakkan kamera ini di kawasan yang had laju berkurangan dari kebiasaan had laju lebuh raya adalah satu manifestasi jelas kerajaan mahu menambah pendapatan negara melalui kompaun kesalahan jalan raya.

Boleh JPJ terangkan kepada kita mengapa terdapat lebuh raya atau jalan raya yang mempunyai dua atau tiga lorong sehala diletakkan had laju sekitar 70, 80 dan 90 KM/J yang setaraf dengan jalan persekutuan di kawasan luar bandar?
Pernahkan mereka yang menentukan had laju ini memandu sendiri dengan kelajuan tersebut di lebuh raya – lebuh raya terbabit? Di sesetengah tempat had laju lebuh raya dikurangkan sehingga 60 KM/J. Pernahkan mereka ini memandu dengan had laju bawah 60 KM/J terutama di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Putrajaya atau di mana-mana lebuh raya 3 KM sebelum plaza tol?

Saya tidak menentang penentuan had laju, namunnya janganlah melampau-lampau dikurang seolah-olah disengajakan untuk tujuan menangkap mereka yang melebihi had laju.

Hujahan pertama ini juga menjawab mengapa kemalangan maut tetap berlaku biar pun saman perangkap laju sentiasa diadakan. “Tempat lain yang bernanah, tempat lain yang diubati.”

Keduanya, tindakan menetapkan jumlah kompaun saman yang sama tanpa mengambil kira kelajuan menunjukkan tembelang sebenar pembuat polisi kerajaan. Semua orang yang faham logik akan tahu bahawa memandu kenderaan dengan kelajuan 110 KM/J tidak sama bahayanya dengan mereka yang memandu kenderaan pada tahap 170 KM/J atau 200 KM/J.

Namun kerajaan menetapkan jumlah saman yang sama kadarnya ke atas mereka yang melanggar had laju yang ditetapkan tanpa mengambil kira jumlah kelajuan tersebut.

Sebagai contoh dalam sistem saman AES, sebuah kereta dipandu 110KM/J pada laluan had laju 90KM/J akan menerima jumlah kompaun yang sama dengan mereka yang memandu 200 KM/J pada laluan yang sama. Maaf cakap, hanya orang bodoh sahaja beranggapan memandu 110 KM/J sama bahaya dengan memandu 200KM/J. Dan kumpulan manusia ini berada di kementerian Pengangkutan sekarang ini.

Dengan kadar kompaun yang sama tanpa mengambil kira had laju kenderaan ia menunjukkan kerajaan hanya berminat mengutip kompaun saman bukannya mahu mendidik rakyat atau mencegah kemalangan.

Bertambah jelas niat kerajaan apabila jumlah kompaun dikurangkan mengikut kecepatan orang yang disaman membayar saman. Sekiranya bayar dua minggu awal jumlahnya hanya RM 150. Jika bayar dua minggu lewat jumlahnya 200. Jika bayar selepas sebulan kompaun dikeluarkan jumlahnya RM 300.

Apakah bahaya memandu laju bergantung kepada berapa cepat bayar kompaun?Jika bayar cepat, bahayanya kurang?
Jadi jika sesiapa ada wang banyak macam “bapak-bapak Menteri, bapak-bapak Usahawan” bolehlah memandu Ferrari mereka selaju mana yang mungkin. Bayaran kompaunnya lebih murah daripada “penulis cabuk” macam saya yang hanya terlebih 15 KM/j daripada had laju. Ini kerana RM 150 bagi mereka hanya kos makan tengah hari, berbanding saya yang perlu menunggu gaji hujung bulan untuk bayar kompaun yang ketika itu sudah menjadi RM 300.

Ketiga, mengapa AES banyak dipasang di lebuh raya-lebuh raya berbanding jalan Persekutuan? Kebanyakan kemalangan maut membabitkan penunggang motosikal dan juga pengguna jalan Persekutuan.

Sebaliknya JPJ lebih berminat menangkap mereka yang menggunakan lebuh raya kerana di sinilah orang ramai lebih mudah melebihi had laju kerana jalan yang elok dan tiada kesesakan terutamanya waktu malam.
Jadi apakah kesimpulan yang dapat kita buat terhadap keadaan ini? Kerajaan hanya mahu kutip saman. Inilah persepsi rakyat biasa. Tidak penting berapa banyak kenyataan Menteri Pengangkutan, hakikatnya rakyat melihat dan mempercayai sebaliknya.

Bolehkah Menteri Pengangkutan yang garang di kaca televisyen mempertahankan AES menjawab persoalan-persoalan ini?

Jika benar AES bertujuan mencegah kemalangan bukannya mengutip wang rakyat bagi menambah perbendaharaan negara, kerajaan melakukan empat perkara berikut:

Pertama, AES hendaklah dipasang di jalan-jalan Persekutuan yang banyak membabitkan banyak kemalangan maut akibat kelajuan melampau. Kamera-kamera AES di lebuh raya seperti Lebuh Raya Utara-Selatan, Kesas dan Lebuh Raya Putrajaya wajar dikaji semula dan sebahagiannya perlu pindahkan kerana ia jelas bertujuan mengutip kompaun bukannya mencegah kemalangan.

Kedua, jumlah kompaun hendaklah berbeza mengikut tahap kelajuan. Makin laju kenderaan melepasi had laju maka jumlah kompaun perlu lebih tinggi. Melalui kaedah ini barulah kerajaan memberi isyarat yang jelas mengenai bahaya memandu dengan kelajuan melampau. Jika jumlah kompaun sama sahaja akan wujud persepsi alang-alang langgar had laju baik terus ke maksimum sahaja kerana kompaun tetap sama.

Ketiga, kaedah AES sekarang tidak akan memperlahankan kenderaan kerana konsep “alang telah terperangkap, baik terus bawa laju” akan diguna pakai. Apa guna memperlahankan kenderaan jika ia telah pun dirakam dan akan disaman.Jadi mana mungkin hasrat kerajaan bagi mengurangkan kemalangan akan tercapai.

Jika benar kerajaan mahu pemandu memperlahankan kenderaan bukannya mengutip kompaun, kamera AES hendaklah di pasang sebanyak dua biji bagi setiap titik perangkap had laju.

Kamera pertama hendaklah merupakan satu bentuk amaran yang mengeluarkan pancaran cahaya (flash) bagi setiap kenderaan yang melebihi had laju. Kamera kedua diletakkan sekitar lima kilometer daripada kamera pertama dan berfungsi sebagai perakam sebenar kesalahan melebihi had laju.

Dengan kaedah ini barulah menunjukkan kerajaan benar-benar mahu mengurangkan kemalangan jalan raya, bukannya mengutip kompaun. Ini memberi peluang pemandu memperlahankan kenderaan.

Keempat, kerajaan perlu menubuhkan satu suruhanjaya khas yang bertanggungjawab memantau pelaksanaan AES. Suruhanjaya seperti ini telah ditubuhkan di beberapa negara maju termasuk Australia. Ia akan bertanggungjawab menerima aduan orang ramai dan menentukan sama ada wajar atau tidak AES dipasang di satu-satu tempat. Ini bagi mengelakkan AES dijadikan alat untuk mengutip kompaun bukannya mencegah kemalangan.

Saya berharap kerajaan akan memberi perhatian kepada perkara ini sebelum ia menimbulkan sentimen kemarahan rakyat kepada kerajaan dan Barisan Nasional. Rakyat bukan tidak mahu mematuhi undang-undang, namun undang-undang yang dibuat, penguatkuasaan yang hendak dilaksanakan hendaklah masuk akal. Jangan nanti sudah terhantuk baru tergadah!

Elok pecat sahaja Menteri Pengangkutan yang cakap serupa orang bodoh di dalam televisyen dan hanya menambah kemarahan orang ramai.

*Sebahagian artikel ini tersiar dalam Sinar Harian 18 Oktober 2012.

Sunday 28 October 2012

Tahfiz, usahawan ternakan berjaya

Dari kandang kosong, sehingga berjaya merancang projek jutaan ringgit...hebat usahawan ini

Credit: Utusan
.....................................................

 
Mohd. Sallehuddin (depan) bersama sebahagian daripada lembu yang diternak telah ditempah oleh pelanggan sempena hari raya korban yang akan datang ini.
 
Meskipun baru menginjak usia 27 tahun, Sallehuddin berjaya menguruskan projek ternakan dengan baik bagaikan seorang usahawan yang telah lama berkecimpung dalam bidang tersebut.

Ketika ditanya apakah rahsia, Sallehuddin memberitahu, pengalaman membantu bapanya ketika kecil yang juga seorang usahawan ternakan lembu sebagai panduan mengusahakan projek berkenaan.

Katanya, minat dalam bidang keusahawanan terus dipupuk saban hari sehinggalah dia membuat keputusan mengambil alih perniagaan daripada bapanya.

Bermula dengan hanya bermodalkan 10 ekor lembu, Sallehuddin memulakan perniagaan yang diwarisi daripada bapanya pada tahun 2005.

Anak sulung daripada tujuh adik beradik ini berkata, biarpun mengambil alih perniagaan orang tua sejak tahun 1986, dia hanya mewarisi sebuah kandang yang kosong.

“Memang bapa memelihara lembu sebelum itu. namun sejak awal tahun 2000 kesihatannya merosot dan bapa lebih banyak berehat menyebabkan perniagaan sedikit merosot.

“Melihat keadaan tersebut, saya nekad untuk mengambil alih perusahaan ternakan dan bermula dari bawah," katanya ketika ditemui di ladang lembu miliknya di Sungai Tua, Batu Caves, Selangor baru-baru ini.

Mengenali dunia keusahawan sejak kecil menjadikan Sallehuddin tidak kekok menguruskan haiwan ternakan seperti lembu dan kambing.

Ujarnya, jika mahu berjaya, tauke mestilah turun padang dan menguruskan semuanya dari awal, bukan hanya duduk di dalam pejabat berhawa dingin semata-mata.

Ujar Sallehuddin, untuk menjadi penternak lembu yang berjaya perlu bermula seawal kerja-kerja mencuci najis lembu di kandang lagi.

“Rata-rata kita lihat ramai pengusaha ternakan lembu terpaksa gulung tikar dalam perniagaan akibat ketidakcekapan dalam menguruskan perniagaan.

“Sebagai generasi baharu, kita patut bersyukur kerana dengan kemudahan serta teknologi sedia ada memudahkan perniagaan dilaksanakan," katanya.

Sebagai contoh, jelas Sallehuddin, penggunaan laman web untuk mempromosi haiwan ternakannya dilihat berjaya mengembangkan perniagaannya.

Menggunakan nama Best Farm Enterprise, ladang milik Sallehuddin kini mampu memuatkan hampir 300 ekor lembu dan 150 ekor kambing dalam satu-satu masa.

Kebanyakan lembu dan kambing yang dipelihara dibawa masuk dari Thailand, Myanmar, dan Australia.
Sallehuddin menggunakan fidlot kerana mendapati sistem tersebut lebih mudah. Namun katanya, jika terdapat pembekal dalam negara, projek akan lebih mudah diusahakan.

Ini kerana, apabila negara terlalu bergantung kepada sumber ternakan dari luar negara seperti Thailand dan Australia, pembekal dari negara-negara luar sering memanipulasi harga.

“Perkara ini berlaku hampir setiap tahun. Tahun ini adalah yang paling ketara apabila Thailand telah menaikkan harga lembu RM400 seekor.

“Musim perayaan merupakan antara waktu kemuncak di mana pembekal haiwan ternakan ini akan mengambil kesempatan menaikan kadar harga sesuka hati mereka," katanya.

Terdapat beberapa gred bagi lembu yang dijual oleh Sallehuddin iaitu bermula daripada Gred A yang berharga RM3,000 seekor sehinggalah kepada Gred C, RM 2,500 seekor.

Ujarnya, harga tersebut meningkat dengan pantas berbanding pada awal pembabitannya iaitu pada tahun 2005 hanya RM1,900 sahaja seekor.

Kebanyakan lembu yang dibawa dari Thailand dan akan dikuarantin terlebih dahulu di Rantau Panjang selama 10 hari untuk memastikan ternakan bebas daripada sebarang penyakit.

Selepas itu, lembu-lembu yang dibawa masuk akan di pelihara selama tiga bulan sebelum dijual kepada pelanggan yang berminat.

Selain menawarkan lembu atau kambing untuk tujuan ibadah akikah dan korban, Sallehuddin turut menyediakan perkhidmatan penyajian makanan serta kambing golek untuk majlis-majlis keramaian.

Kambing golek dengan resipi dan rempah istimewa daripada Best Farm Enterprise adalah segar dari ladang.
Antara yang sering menempah kambing golek Sallehuddin termasuk Istana Seri Menanti, Negeri Sembilan, agensi-agensi kerajaan, pihak media dan orang perseorangan.

Setelah hampir tujuh tahun berkecimpung dalam perusahaan ternakan, kini Sallehuddin sedang membesarkan ladangnya.

Terletak di Hulu Yam, Selangor, ladang yang bakal dibuka pastinya lebih besar dan selesa dilengkapi bersama rumah sembelih, rumah pekerja serta kilang pemprosesan daging.

Sallehuddin yang tertarik dengan kejayaan negara Thailand dalam bidang ternakan berharap beliau dapat memajukan bidang tersebut setanding dengan negara itu.

Namun katanya, usaha tersebut perlu dilakukan secara berdikit-dikit bagi memastikan impian tersebut berjaya dilaksanakan.

Tidak pernah mendapatkan sebarang pinjaman menjadikan Sallehuddin benar-benar berdikari dalam memajukan perniagaannya.

Prinsipnya mudah, biarlah bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian.

Katanya, ladang yang menelan belanja hampir jutaan ringgit tersebut akan memulakan pembinaannya pada tahun hadapan dan akan dilakukan secara berperingkat-peringkat.

“Saya bukan sombong dengan tidak melakukan pinjaman perniagaan. namun daripada pemerhatian saya, kebanyakan usahawan yang meminjam sukar menghargai kemudahan yang diterima dan mudah putus asa.
“Seperti yang saya katakan dari awal, perniagaan dalam sektor ternakan ini nampak mudah di atas kertas (teori) namun secara praktikalnya amat sukar," katanya.

Terakhir, beliau berharap agar kerajaan dapat melonggarkan beberapa peraturan atau kerenah birokrasi agar sektor penternakan dapat berkembang dengan baik di dalam negara setanding dengan negara-negara jiran.
Untuk maklumat lanjut berkenaan Best Farm anda boleh menghubungi sallehuddin di talian 012-222 8030, 019-233 8030 atau layari laman web akikahqorban.blogspot.com.

Itik Penelur

Cerita seorang pengusaha ternakan itik telur

Credit: Utusan
...................................................................


Ketua keluarga berkenaan, Mohd. Nor Mat Salleh, 56, bersama isterinya, Che Najah Muhd. Daud dan dua anak perempuan mereka Nor Azira dan Nor Hidayah ketika itu sedang sibuk memungut telur itik di kawasan penternakan tersebut - kerja rutin mereka sejak dua tahun lepas.

Mohd. Nor ketika disapa mengakui taraf hidup keluarganya berubah sejak mendapat bantuan daripada MARDI dengan mengusahakan ternakan itik tersebut menerusi Projek KPI Menteri Itik Penelur.
''Sebelum ini saya melakukan pelbagai kerja untuk menyara hidup termasuk sebagai pekerja am Jabatan Pertanian dan juga kontrak membina rumah dengan gaji RM40 sehari sehinggalah MARDI membantu saya pada 2009," ujarnya yang disenaraikan dalam penerima bantuan e-Kasih.

Bapa kepada sembilan orang anak itu bagaimanapun tidak pernah berputus asas dan menyesali takdir hidup sebaliknya berusaha mengubah nasib keluarga sehingga 'dijodohkan' dengan MARDI.

Keceriaan jelas terpancar di wajah Mohd. Nor Mat Salleh memandangkan projek itik penelur yang diusahakannya di Pasir Mas, Kelantan semakin menampakkan kejayaan. 
 
Pada mulanya, dia ditanya oleh pegawai MARDI apakah projek yang mampu dilakukannnya. Secara kebetulan pengalamannya memelihara kira-kira 10 ekor itik sebelum ini boleh dijadikan sebab mengapa Mohd. Nor memilih untuk menternak itik penelur.

Pada 2009, dia diberi 220 ekor anak itik penelur dan dengan semangat serta pengalaman yang ada , Mohd. Noor mengambil anak itik berkenaan yang berusia dua bulan pulang ke rumah.

Satu kawasan lapang berpagar telah dipilih dan sesuai untuk penternakan itik itu dibersihkan - itu kawasan yang menempatkan projek sulung keluarga berkenaan.

 
MOhd. Nor Mat Salleh tekun memilih telur yang sedia untuk dipasarkan. 
 
Dua jenis baka telah dipilih termasuk baka daripada negara jiran untuk tujuan tersebut. Apabila projek digerakkan, Mohd. Nor melihat ada sinar kejayaan yang bakal dikecapi.

Itik-itik berkenaan mula bertelur setelah berusia empat bulan.

''Saya kena jaga betul betul itik ini kerana ia sensitif dan tidak boleh tertekan.

''Kalau itik mengalami tekanan, haiwan ini mungkin bertelur ketika umur lapan bulan," ujar Mohd. Nor.
Sebagai contoh katanya, dentuman petir yang terlalu kuat baru-baru ini telah mengejutkan ternakannya yang dibimbangi menjejaskan pengeluaran telur.

 
Che Najah membantu suaminya menyusun telur yang hendak dihantar kepada pelanggan. 
 
Dia memberi sagu sebagai makanan kepada itik terbabit selain batang pisang yang diracik manakala produk GenKimo yang dihasilkan oleh penyelidik MARDI beberapa tahun lepas turut digaulkan dalam bahan itu. Penggunaan GenKimo sangat sesuai untuk ternakan ayam dan itik bagi menghilangkan bau najis.

Itik juga diberi makan kulit telur bertujuan menjadikan tekstur telur yang lebih keras.

Mengenai pengeluaran telur itik, Mohd. Nor berkata, dia mengutip telur setiap hari untuk dibuat telur masin.
Untuk penghasilan telur masin, telur-telur itik itu dikutip dan dibersihkan serta dijemur sehari suntuk.
Selepas itu, telur berkenaan dicampurkan dan direndam dalam air garam selama 12 hari.

Turut dicampurkan ialah sedikit halia yang ditumbuk bersama daun pandan bertujuan menghilangkan bau hanyir.

Sejenis alat khas yang dipanggil brionometer digunakan bagi menyukat tahap kemasinan yang mana bacaan 20 perlu dikekalkan pada larutan berkenaan selama 12 hari tempoh rendaman tersebut.

 
Nur Hidayah menunjukkan telur masin yang diusahakan keluarganya. 
 
Mengenai aspek pemasaran, kira-kira 60 peratus telur masin itu dijual secara segar di pasar dan menerusi tempahan daripada penduduk sekitar.

Mohd. Nor menjual telur masin berkenaan pada harga 60 sen sebiji, yang nyata amat menguntungkan berbanding kos makanan 10 sen sehari bagi seekor itik.

Usaha tersebut kini sudah mula menampakkan hasil dan berjaya mengubah nasib keluarganya. Kini mereka memiliki pendapatan lebih baik berbanding sebelum ini.

Hasil projek tersebut ,dia mampu menambah baik rumah mereka dan membeli sebuah motosikal pada 2010 bagi memudahkan urusan memasarkan telur berkenaan.

Saturday 27 October 2012

Tebu telur untuk air

Satu bidang perniagaan yang berpotensi untuk maju, tanaman tebu untuk mengambil airnya..

Credit: Utusan
....................................................

Hamizar Ramli bertuah mewarisi ladang tebu milik bapanya untuk diuruskan oleh mereka tiga beradik.
ALASANNYA, ia tidak memberi keuntungan lumayan dan berlipat kali ganda.

Namun, tanpa mereka sedari, tebu sebenarnya merupakan tanaman yang mudah dijaga dan mampu memberi hasil terbaik jika dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh.

Bagi Hamizar Ramli, 30, dia bertuah kerana menerima ladang tebu hasil peninggalan arwah ayahnya yang diusahakan sejak tahun 1982.

Pengambilalihan ladang seluas enam hektar di Kampung Teriang Hilir, Jelebu, Negeri Sembilan itu bermula sejak tahun 2008.

Selain itu, terdapat juga lima lagi ladang tebu lain yang disewa di sekitar kawasan kampung itu dalam usaha memperluaskan ladangnya.

''Tebu yang ditanam ini adalah daripada baka tebu telur yang biasa digunakan untuk menghasilkan air tebu segar.

''Ini merupakan tanaman selingan sementara menanti pokok-pokok getah dan sawit sekitarnya menjadi matang.

Ladang tebu yang diusahakan Hamizar Raml seluas enam hektar di Kampung Teriang Hilir, Jelebu, Negeri Sembilan. 
 
''Jadi, untuk memperoleh keuntungan menerusi tanaman ini, seseorang itu perlu mengusahakan ladang komersial sekurang-kurangnya bersaiz lima ekar dan ke atas,'' katanya ketika ditemui di Kampung Teriang Hilir, Jelebu, Negeri Sembilan baru-baru ini.

Dia ditemui pada program lawatan bersama Jabatan Pertanian dan wartawan Mega bagi meninjau kemajuan projek pertanian di negeri terbabit.

Untuk bekalan biji benih, Hamizar menghasilkannya sendiri selain dibantu pemilik-pemilik ladang lain di sekitarnya.

Selain itu, Hamizar turut bertukar-tukar maklumat mengenai teknik penanaman bersama rakan-rakannya dalam usaha menambah baik kualiti tanaman.

Untuk satu kitaran tanaman tebu, ia biasanya mengambil masa antara tujuh hingga lapan bulan untuk matang dan mempunyai jangka hayat empat tahun.

 
Kegigihan Hamizar Ramli mengusahakan tebu berbaloi kemajuan projek yang semakin memberangsangkan.
Dalam tempoh itu, Hamizar perlu memastikan tebu-tebu yang hampir matang diikat dengan baik supaya tidak terkesan dengan masalah angin.

''Angin akan menyebabkan pokok tebu tumbang dan akhirnya rosak. Penyakit yang sering menyerang tanaman tebu adalah ulat pengorek batang yang merupakan sejenis kulat.

"Bagi mengatasi masalah tersebut, pada peringkat awal tanaman, pokok-pokok tebu akan diberikan baja dan racun setiap tiga bulan sekali,'' jelasnya yang dibantu tiga adiknya untuk menguruskan ladang mereka.
Menurutnya, bekalan air sangat penting bagi mengelakkan pertumbuhan pokok terencat.

Untuk pasaran, kebanyakan tebu miliknya dihantarkan ke pasar-pasar dan kedai makan sekitar Shah Alam dan Lembah Klang selain dieksport ke Singapura.

''Untuk setiap ekar ladang tebu ini, saya memperoleh keuntungan sekitar RM18,000 dengan kos penyelenggaraan RM5,800 bagi setiap musim,'' jelasnya.

Makanan Segera

Bermula secara kecil-kecilan, dan seterusnya berkembang maju sehingga berjaya pada masa kini..

Credit: Utusan

.........................................................

Mohd. Helmi boleh berbangga dengan penghasilan pelbagai produk sejuk beku keluaran syarikat FaSFoods milik keluarganya. 
 
“PADA mulanya saya hanya memberi rakan-rakan di jabatan mencuba sos spaghetti yang dicipta sendiri dan membawanya ke pejabat.

“Tidak sangka mereka memberi maklum balas yang positif terhadap masakan tersebut dan sekali gus mengesyorkan supaya saya mengkomersialkan kepada seluruh kakitangan di MARDI.

“Apabila memikirkan sambutan dan permintaan yang tinggi daripada mereka, secara tidak langsung membuka mata saya untuk cuba lakukan secara sejuk beku dan jual apabila ada permintaan sahaja," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Bermula daripada jualan secara kecil-kecilan kepada kakitangan MARDI, Mohd. Shaari Nordin, 63, melihat resipinya itu boleh diperkenalkan kepada orang ramai menerusi promosi kepada pasaran yang lebih luas.

Yakin bahawa ganjaran yang bakal diperoleh berlipat kali ganda, bapa kepada empat orang anak itu tekad menggunakan kemahiran yang ada untuk memulakan perniagaannya secara kecil-kecilan.

Selepas mendapat sokongan keluarga, dia kemudiannya mengeluarkan modal permulaan sebanyak RM20,000 untuk membeli peralatan asas bagi menyediakan sos spaghetti dan juga sosej.

“Hasil perbincangan bersama ahli keluarga, mereka mencadangkan supaya kami memulakan perniagaan sejuk beku berkonsepkan home made yang diproses di rumah sahaja.

“Apabila perniagaan kami mendapat sambutan dari orang ramai, anak-anak menggalakkan supaya membuka premis perniagaan sendiri supaya aktiviti kami lebih mudah dan cepat," katanya.

Mula beroperasi pada 16 November 2010, perniagaan yang diberi nama FaS Delicious Foods Enterprise (FaSFoods) turut menjalankan aktiviti perniagaan merangkumi pemprosesan dan pembekalan makanan berasaskan daging.

Di samping itu, ia juga mengedar mesin makanan, menyediakan kursus teknologi pemprosesan daging serta menyediakan khidmat nasihat.

Kepakarannya dalam bidang teknologi daging selama 30 tahun yang diperoleh ketika berkhidmat bersama MARDI digunakan sebaik mungkin oleh Mohd. Shaari untuk menjalankan serta memperluaskan empayar perniagaan sejuk beku tersebut.

Menceritakan pengalaman ketika memulakan perniagaan ini, katanya tidak pernah terlintas di fikiran bahawa sos tersebut mendapat sambutan dan galakkan daripada rakan-rakan untuk dikomersialkan.

Hasil dari galakan tersebut, dia mula mengambil tempahan daripada rakan sepejabat dan pada permulaan menjualnya pada setiap hari Jumaat sahaja.

“Apabila mendapat galakan daripada rakan-rakan serta anak-anak, saya mula rasa teruja untuk meneruskan jualan secara kecil-kecilan ini.

“Tidak sangka mereka semua berminat dengan sos ciptaan saya kerana rasa yang mengekalkan konsep kemelayuan," ujarnya mesra.

Katanya lagi, sos spaghetti yang dimasak itu menggunakan resipi sendiri dengan mencampurkan bahan-bahan asas dalam masakan tradisional Melayu.

Dia yang dibantu oleh anak lelakinya, Mohd. Helmi dalam menguruskan perniagaan tersebut turut menyediakan perkhidmatan kursus teknologi pemprosesan hasilan daging yang dijalankan di premis perniagaan mereka yang terletak di Seri Kembangan, Selangor.

Potensi yang besar dalam industri sejuk beku itu pula telah mendorong Mohd. Helmi, 28, memperluas perniagaan keluarga ke tahap yang lebih kompetitif.

“Langkah memperkenalkan jenama FaSFoods ini seiring dengan penambahbaikan label pembungkusan di samping mempertingkatkan pemasaran di sekitar Serdang, Selangor.

“Kami mendapat reaksi yang positif daripada penduduk sekitar yang mengakui produk keluaran syarikat ini berkualiti " ujarnya yang kini menyandang jawatan sebagai Pengarah Urusan di FaS Delicious Foods.
Menceritakan dengan lebih lanjut, graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dari sebuah universiti tempatan itu menjelaskan, FaSFoods turut mendapat bimbingan dan galakan daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Selangor serta Jabatan Pertanian.

Katanya, JPV menyediakan tiga buah mesin utama untuk memproses burger, sosej dan bebola daging yang mana sekali gus mempergiatkan lagi pengeluaran produk bagi syarikatnya.

Jabatan Pertanian pula menaja mesin kisar daging, pengisar buah dan mesin pembungkusan bagi menyempurnakan aktiviti pemprosesan produk sejuk beku FaSFoods.

Nelayan contoh

Sesiapa yang berminat untuk menceburi business ternakan ikan dalam sangkar, mungkin boleh mengambil cerita ini untuk menjadi tauladan
Credit: Utusan
..............................................................

Hassan Abdul Karid boleh berbangga usahanya sebagai penternak kerapu mula menampakkan hasil.
Lelaki berusia 36 tahun ini tekun membetulkan tali yang menambat botnya pada jeti yang kian rapuh.
Jeti kayu sepanjang kira-kira 100 meter itu yang diperbuat daripada kayu dan papan nyata sudah agak usang dan kelihatan akan roboh bila-bila masa tapi lelaki ini seolah-olah tidak mempedulikan keadaan itu.
Sambil menolak bot ke tengah air, dia melompat ke dalam bot sebaik sahaja ikatan yang menambah bot terungkai.

Sambil menjawab panggilan telefon, dia tenang bergerak menaiki bot kemudian menghidupkan enjin .
Jelas sekali dia telah lama melakukan kerja-kerja tersebut kerana melihat kepada kemahiran dan gerak geri bersahaja mengendalikan bot, itulah rutin sehariannya.

Tidak jauh dari jeti tersebut , lelaki yang dimaksudkan, Hassan Abdul Karid mengusahakan projek akuakultur di Kampung Tanjung Perepat, yang terletak kira-kira lapan kilometer dari Semporna.
Ketika bertemu dengannya di kampung berkenaan baru-baru ini , Hassan berkongsi cerita bagaimana projek penternakan ikan kerapu itu berjaya membuktikan bahawa usaha bersungguh selain minat mendalam menjadi pendorong kepada kejayaan.

Hassan, 36, bapa kepada lima anak berkata, dia memulakan projek akuakultur pada 2008. Pada peringkat awal , dia menternak udang dan ketam bermodalkan RM3,500.

"Saya cuba ubah nasib keluarga dengan projek ini sebelum bertukar kepada ternakan kerapu beberapa tahun kemudian, '' katanya yang menternak ikan kerapu begahak dan kerapu batang yang benihnya diperoleh daripada nelayan yang menjual kepadanya .

Hassan ditemui semasa sesi lawatan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Semporna ke projek berkenaan di Tanjung Perepat, baru-baru ini.
Turut hadir wakil PNK Semporna Suraidah Toreki.

Kegigihan Hassan memajukan projek tersebut mendapat perhatian LKIM dan menerus PNK Semporna, dia mula mendapat bantuan.

Sebagai ahli PNK, dia mahu menjadi pengusaha yang boleh dicontohi oleh rakan-rakan seangkatan lain bagaimana memajukan projek daripada peringkat kecil-kecilan hingga berjaya.

Dengan kemampuan tulang empat keratnya , dia mampu membangunkan projek akuakultur untuk menyara keluarga termasuk berjaya menghantar dua anak ke menara gading setakat ini.

Kelebihan yang dimilikinya hanyalah berusaha membangunkan ekonomi keluarga secara perlahan-lahan dan akhirnya ia berjaya mencapai peringkat yang boleh dibanggakan.

Pada 2010, Hassan menerima bantuan LKIM RM40,000 tidak termasuk sangkar ikan dan dia berjaya menambah sehingga ke 16 petak kesemuanya.

Setahun kemudian dia menambah enam petak sangkar lagi dengan kos keseluruhannya sebanyak RM60,000 termasuk kos membeli benih.

Menurutnya, selain benih dan infrastruktur , kos operasi projek banyak dilaburkan untuk makanan. Ini kerana katanya, sebanyak 100 kilogram makanan ikan diperlukan seminggu yang mana makanan diberi selang sehari.

Bagi mengelakkan kos operasi yang melambung dan kos makanan dapat dikurangkan dia pernah mencuba untuk mengurangkan kekerapan pemberian makanan dari dua hari sekali kepada dua kali seminggu.

"Saya dapati ikan (ternakan) saya makin kurus," katanya yang pernah menyertai kursus ternakan ikan di Sandakan.

Dalam pada itu, Hassan memberitahu, sejak memulakan projek secara serius sehingga ini dia mampu melaksanakan tiga pusingan ternakan atau kira- kira enam bulan bagi setiap satu pusingan.

Kali pertama sebanyak 650 kilogram, kedua (300 kg) dan tuaian ketiga sebanyak 450 kg dijual kepada peraih yang datang.

Ikan kerapu itu dijual apabila beratnya mencapai 500 gram seekor bergantung kepada spesies berkenaan. Kadangkala seekor ikan mencapai RM60 seekor atau mencecah RM125 sekilogram.

Meskipun harga ikan agak mahal, tetapi kos pembelian benih juga agak tinggi. Apatah lagi dia menggunakan sebahagian projek tersebut untuk ternakan kerapu hibrid.

Dalam pada, itu Hassan juga bercadang menambah kemudahan di projek sangkarnya itu yang masih belum mempunyai bekalan elektrik.

Menurutnya, projek pemasangan akan dimulakan sebaik sahaja projek membina semula jeti tersebut sap.
"Saya telah mengemukakan cadangan kepada LKIM menerusi PNK Semporna untuk memperbaiki kemudahan jeti di sini.

"Difahamkan cadangan tersebut sudah mendapat perhatian dan tender untuk pembinaan sudah dikeluarkan,'' ujarnya.


Pantun Best

Renungan kepada orng melayu:

Tidak ada guna kekuatan kalau tidak berani mengunakannya

Apa guna pergi ke bendang kalau tidak menamam padi,
Apa guna keris di pinggang kalau tidak berani mati

Thursday 25 October 2012

Berjalan kaki 5,700km untuk tunaikan haji

Subahanallah, mampukah kita melakukan perkara yang sama seperti suadara seagama kita ini, berjuang seluruh jiwa dan raga untuk mencari keredhaaan Allah SWT

Credit: Kosmo
...................................................
SENAD HADZIC


SARAJEVO - Seorang lelaki Islam Bosnia yang berjalan kaki untuk menunaikan ibadah haji di Mekah pada tahun lalu memberitahu agensi berita AFP bahawa dia tiba di kota suci tersebut selepas merentasi tujuh buah negara termasuk Syria yang kini dilanda perang saudara.
"Saya tiba di Mekah pada Sabtu lalu. Saya tidak letih, ini merupakan hari paling bahagia dalam hidup saya," kata Senad Hadzic menerusi satu temu bual telefon.
Lelaki berusia 47 tahun itu memberitahu, dia berjalan kaki sejauh 5,700 kilometer (km) selama 314 hari merentasi Bosnia, Serbia, Bulgaria, Turki, Syria dan Jordan untuk ke Mekah dengan membawa beg sandang seberat 20 kilogram.
Hadzic memaparkan perjalanan tersebut dalam akaun Facebook miliknya termasuk gambar dia memperoleh kad masuk dan keluar Syria yang dikeluarkan oleh kementerian dalam negeri kepada warga asing.
"Saya merentasi Syria pada April lalu. Saya berjalan sekitar 500km dalam tempoh 11 hari. Saya melintasi bandar raya Aleppo dan Damsyik serta sejumlah pos kawalan tentera rejim dan pemberontak tetapi saya tidak pernah ditahan.
"Di sebuah pos kawalan tentera Presiden Bashar Al-Assad, beberapa askar mengarahkan saya mengosongkan beg sandang saya. Apabila saya menunjukkan al-Quran dan menyatakan saya berjalan kaki ke Mekah, mereka melepaskan saya," ujar Senad.
"Saya berjalan kerana Allah, untuk Islam, untuk Bosnia-Herzegovina, untuk ibu bapa dan saudara perempuan saya," tambah lelaki itu.
Di laman Facebooknya, dia memberitahu, Tuhan telah menunjukkan jalan ke Mekah dalam mimpinya termasuk menuju ke kota suci itu melalui Syria dan bukan Iraq.
Semasa perjalanannya, Senad berdepan suhu sejuk antara -35° darjah Celsius di Bulgaria hingga kepanasan mencecah 44° darjah Celsius di Jordan.
Menurutnya, dia terpaksa menunggu di Istanbul selama beberapa minggu untuk mendapatkan kebenaran bagi merentasi Jambatan Bosphorus dengan berjalan kaki, selain dua bulan di sempadan Jordan dan Arab Saudi bagi mendapatkan visa untuk mengerjakan ibadah haji. - AFP

PROTON guna enjin PETRONAS

Akhirnya, gabungan kepakaran teknologi dan kepakaran dua syarikat ternama Malaysia. Moga gabungan teknologi ini dapat memantapkan industri automobile negara.

Credit: Berita Harian
.............................................................

pix_gal0
Dipasang pada model baru, gantian bermula tahun depan

Proton Holdings Bhd akan menggunakan enjin E01 yang dimajukan PETRONAS untuk model baru serta model gantian keluarannya bermula tahun depan.

Sumber industri berkata, anak syarikat milik penuh DRB-Hicom Bhd itu kini sedang berunding dengan PETRONAS bagi pembelian enjin berkenaan berserta dengan hak inteleknya.
Katanya, sebagai permulaan, Proton Holdings bercadang menggunakan enjin PETRONAS E01 yang memiliki teknologi dan kemampuan setara dengan enjin kereta terbaik dunia lain itu pada model Preve hatchback, Exora Facelift, model gantian Perdana serta model baru yang bakal diperkenalkan secara berperingkat.

Barat cipta teknologi, kita malas mengkaji

Adakah benar kita menjadi lemah kerana kita sekarang berasa senang dan malas untuk berusaha dan mengkaji, seperti pandangan artikel ini? Renung-renungkan lah

Credit: Berita Harian
....................................................................

Kunta Kinte sudah tulis berkenaan macam mana orang Barat, oleh kerana mereka faham sains dan teknologi, dan mereka rajin belajar, mereka boleh buat benda yang bahaya jadi tak bahaya dan benda yang nampak mustahil jadi kenyataan.








"Sangat malang dan rugilah kalau dalam zaman yang kaya dengan sains dan teknologi ini orang kita tambah malas. Kerana malas, mereka jahil dan kerana jahil hidup mereka kais pagi makan pagi, kais petang makan petang."

Kali ini Kunta Kinte nak ambil contoh paling baru eksploit atau perbuatan handal seorang ahli sukan ekstrem Austria bernama Felix Baumgartner.

Pada 14 Oktober lalu, Baumgartner yang berusia 43 tahun, jadi orang pertama yang buat terjunan udara paling tinggi dan paling laju di Roswell, New Mexico, Amerika Syarikat.

Dia naik dengan belon udara panas setinggi 24 batu (39 kilometer) dari permukaan bumi dan terjun bebas, iaitu dengan tidak guna payung terjun, selama 4 minit 20 saat. Selebihnya dengan payung terjun. Kesemuanya, dia ambil masa 20 minit untuk turun semula ke bumi.

Masa terjun bebas, Baumgartner berjaya pecahkan batasan bunyi atau sound barrier, iaitu 690 batu atau 1,110 kilometer sejam. Kelajuan sebenar terjunan bebas beliau ialah 833 batu atau 1,342.8km sejam.

Ini bermakna lebih laju daripada kelajuan kapal terbang Boeing 747-400 yang terbang pada kelajuan 567 batu atau 913km sejam. Malah lebih laju daripada jet pelatih Hawk 200 yang tentera udara kita pakai yang kelajuan maksimumnya 638 batu atau 1,028km sejam.

Kunta Kinte taklah kata kita kena tiru apa yang Baumgartner buat. Memanglah kita tak mampu dari segi kewangan dan kepakaran nak selidik dan majukan teknologi secanggih macam itu.
Baumgartner ditaja oleh Red Bull, pengeluar minuman tonik yang terkenal di seluruh dunia dengan tajaan sukan ekstrem. Tapi kita boleh selidik dan majukan teknologi yang lebih sesuai dan berguna kepada kita.

Kunta Kinte tak kata kita langsung tak buat penyelidikan dan pembangunan. Kita buat. Malah, dalam beberapa bidang penyelidikan dan pembangunan kita sama hebat dengan Barat, contohnya dalam industri getah dan polimer, kelapa sawit, padi dan ternakan.

Hasil penyelidikan tak dimanfaat

Cuma, tak macam di Barat kita tak banyak manfaatkan hasil penyelidikan kita itu. Mula-mula sekali, kita tak berapa pandai pasarkan hasil penyelidikan. Kedua kita malas belajar. Kita cakap saja pembelajaran sepanjang hayat, tapi kita tak buat.

Bukan Kunta Kinte nak puji Barat, tapi mereka kotakan apa yang mereka kata. Mereka amalkan pembelajaran sepanjang usia.

Masa Kunta Kinte belajar kewartawanan di Politeknik Wellington, New Zealand pada tahun 1971, Kunta Kinte pada mulanya hairan tengok banyak orang dewasa yang pakai macam mekanik dan tukang datang ke kampus waktu petang bila pelajar penuh masa balik.

Ada yang bawa van dan ada yang bawa lori kecil. Rupa-rupanya mereka adalah mekanik, tukang kimpal, pengatur batu bata dan tukang kayu yang datang untuk tokok tambah dan kemas kini kemahiran dalam bidang masing-masing.

Apabila ada saja teknologi atau kaedah baru diperkenalkan, mereka datang ambil kursus. Habis latihan, mereka dibagi sijil. Dengan sijil itu, mereka boleh dapat kerja atau kontrak lebih baik dengan bayaran lebih tinggi. Pengguna pula tak akan pergi ke bengkel atau guna khidmat kontraktor yang tak ada sijil dan tauliah.

Di negara kita, habis belajar di sekolah teknik, institut perantisan dan Institut Kemahiran Mara, habislah proses pembelajaran teknikal. Ada tak ada pun bila ditaja atau dikerah oleh majikan.

Orang kita makin malas belajar

Sebab itulah di negara kita, jurang antara sains dan teknologi dengan apa yang kita perlukan untuk jadi negara pendapatan tinggi makin hari makin luas sebab makin hari orang kita makin malas belajar dan berlatih.

Bila Kunta Kinte balik kampung, hati Kunta Kinte hancur remuk. Orang kampung tak bercucuk tanam lagi. Kalau yang buat bendang, mereka tanam padi saja. Yang berkebun getah, mereka toreh getah saja. Yang berkebun kelapa sawit, mereka petik kelapa sawit saja. Semua benda mereka beli.

Alhamdulillah di keliling rumah Kunta Kinte ada ulam tradisional macam pegaga, kaduk, cekur, temu lawak, ulam raja, kantan, lengkuas, mengkudu dan belimbing buluh.

Di rumah emak Kunta Kinte, ada lagi pokok putat, gajus, samak, petai belalang dan mengkudu yang pucuknya boleh buat ulam. Kantan, lengkuas, kunyit, temu lawat, cekur, belimbing buluh dan asam keling pun ada.

Dulu, masa Kunta Kinte budak-budak, kita bela ayam dan itik. Kita tanam sayur dan pungut cendawan di padang ragut dan di batang pokok mati. Kita kumpul jerami dan longgokkan di pangkal pokok kelapa. Bila reput, kulat jerami yang sangat lazat tumbuh.

Masa itu, kita tak belajar sains dan teknologi secara formal. Tapi kita lihat dan perhati segala macam kejadian alam. Lama-lama kita pandai juga.

Sangat malang dan rugilah kalau dalam zaman yang kaya dengan sains dan teknologi ini orang kita tambah malas. Kerana malas, mereka jahil dan kerana jahil hidup mereka kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Apabila nak makan ulam, mereka pergi kedai Cina beli timun. Ini berlaku di kampung. Apa dah jadi dengan pucuk janggus, putat dan pegaga, umbut kantan dan lengkuas, bunga kunyit dan terung rapuh? Wallahualam.

Semak status usahawan Bumiputera

Ayuh melayu, bangun la dari tidu...mari berjuang untuk kemajuan ekonomi ugama dan bangsa kita

Credit: Berita Harian
........................................................
Foto

Kuala Lumpur: Kerajaan disaran menyemak status usahawan Bumiputera dengan mengambil kira pegangan saham, struktur korporat dan pembangunan usahawan Melayu tulen dan bukan hanya proksi atau broker.

Kongres Ekonomi Melayu 2012 dalam resolusi yang berkaitan Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan Model Baru Ekonomi (MBE) semalam, menegaskan semakan itu perlu kerana penggunaan proksi atau broker selama ini mencacatkan imej usahawan Melayu.

Ekonomi Melayu terjejas

Cadangan itu antara 18 resolusi kongres dua hari anjuran Yayasan Kajian dan Pembangunan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) yang tamat semalam.

Kongres juga membuat ketetapan bahawa rasuah, salah guna kuasa, kronisme dan nepotisme sebagai punca ekonomi Melayu terjejas dan perlu ditangani segera.

Kongres turut mengusulkan supaya syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan agensi kerajaan mempunyai roh dan agenda pembangunan Melayu yang jelas.

GLC juga disaran tidak bersaing dengan usahawan Melayu, sebaliknya menyokong sama ada dari segi pegangan modal atau pengembangan eksport.
Pegawai GLC juga tidak harus mempunyai konflik kepentingan dan perniagaan dalam syarikat yang dimiliki kerajaan.

Kongres turut mengenal pasti kelemahan kepimpinan dalam Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) sebagai punca pelbagai agenda pembangunan ekonomi Melayu tidak dapat diselesaikan.

Sehubungan itu, kongres mencadangkan Ketua Eksekutif TERAJU ditukar bagi menambah baik usaha meningkatkan ekonomi Melayu.


Sembilan resolusi

Antara resolusi lain ialah:

  • Menyokong Deklarasi Jihad yang diputuskan oleh Yayasan Kajian dan Pembangunan DPMM.
  • Mendirikan Institut Motivasi dan Semangat Perniagaan dan Keusahawanan berasas usahawan kepada usahawan.
  • Menyediakan latihan khusus kepada pegawai kerajaan dan ahli politik mengenai peranan mereka.
  • Memberi keutamaan kepada syarikat tempatan dan Bumiputera dalam semua tender kerajaan.
  • Menubuhkan beberapa firma audit besar yang diuruskan orang Melayu untuk mengaudit syarikat dan agensi kerajaan.
  • Menubuhkan institusi kewangan yang mengumpul dan menagihkan dana/pinjaman khusus kepada usahawan mikro.
  • Mempertimbang penstrukturan semula Institut Keusahawanan Negara (Insken) dengan membabitkan wakil pertubuhan bukan kerajaan berwibawa untuk menyelaras program pembangunan usahawan.
  • Kementerian Kewangan memberi tender secara terus kepada Melayu bagi projek bawah RM100 juta dan dipantau DPMM.
  • Penubuhan Tabung Ummah serta Tabung Usahawan dan Pelaburan Bumiputera Berhad (TUPBB) bermodal RM1 bilion dengan dana RM500 juta dari kerajaan dan baki daripada masyarakat Melayu.
Semua resolusi yang diputuskan hampir 500 peserta dari pelbagai pertubuhan Melayu dan Bumiputera dijangka diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam masa terdekat.

Isu pelaburan emas: Penjelasan Bank Negara

Sifat manusia yang ingin mengejar kesenangan hidup dengan cepat dan mudah. Akhirnya memakan diri,
ikutilah nasihat dari bank negara jika tidak ingin nasib yang sama menimpa anda.

Credit: Berita Harian
...................................................................

Orang ramai dinasihati supaya sentiasa berhati-hati terhadap skim pelaburan menjanjikan pulangan tinggi dengan risiko yang kelihatan rendah selain memberikan jaminan bahawa jumlah pokok dilaburkan akan dipulangkan.  
Orang ramai dinasihati supaya sentiasa berhati-hati terhadap skim pelaburan menjanjikan pulangan tinggi dengan risiko yang kelihatan rendah selain memberikan jaminan bahawa jumlah pokok dilaburkan akan dipulangkan. 
 
Susulan pertanyaan mengenai serbuan ke atas syarikat terbabit

Bank Negara Malaysia (BNM) semalam membuat penjelasan berhubung serbuan pihak berkuasa terhadap beberapa syarikat disyaki menjalankan skim kewangan haram menggunakan emas.

Penjelasan itu dibuat berikutan banyak pertanyaan diterima mengenai tindakan yang diambil terhadap syarikat terbabit.

Skim kewangan haram

Susulan serbuan pihak berkuasa ke atas syarikat menjalankan skim kewangan haram menggunakan emas, baru-baru ini, banyak pertanyaan dikemukakan kepada Bank Negara Malaysia.

Berikut adalah soalan lazim diterima dan jawapan agensi terbabit.

S: Mengapakah pihak berkuasa membuat serbuan ke atas syarikat itu?

J:
Serbuan dibuat bagi melindungi kepentingan pelabur daripada melaburkan lebih banyak wang dalam skim berisiko selain melindungi kepentingan orang ramai.
Syarikat terbabit sedang disiasat kerana disyaki melakukan kesalahan termasuk mengambil deposit secara haram, mengubah wang haram, mengelak cukai, memberikan maklumat palsu termasuk pernyataan yang salah, melantik ejen tanpa lesen dan gagal mengemukakan dokumen berkanun.

S: Mengapakah timbul kebimbangan terhadap model perniagaan syarikat terbabit?

J:
Kebimbangan timbul berikutan syarikat terbabit dipercayai menjalankan skim yang tidak dapat bertahan lama. Mereka menjanjikan pelabur pulangan bulanan lumayan dan jaminan belian balik emas. Skim itu bukan dibiayai oleh jual beli emas yang sebenar, sebaliknya dibiayai dengan menggunakan wang baru dilaburkan dalam skim berkenaan.

Jumlah aset dan wang yang ada pada syarikat itu biasanya tidak sepadan dengan jumlah dikumpulkan daripada pelabur.

S: Mengapakah pihak berkuasa hanya mengambil tindakan sekarang?

J:
Sebarang tindakan penguatkuasaan hanya diambil selepas ada sebab yang boleh dipercayai bahawa sesuatu kesalahan sudah dibuat. Ini bagi mengelakkan sebarang tindakan penguatkuasaan terburu-buru atau melulu yang mungkin boleh menjejaskan perniagaan sah.

S: Apakah status tindakan diambil pihak berkuasa?

J:
Siasatan masih berjalan. Orang ramai akan dimaklumkan mengenai status terkini siasatan dari semasa ke semasa. Orang ramai dinasihatkan merujuk kepada kenyaataan rasmi dikeluarkan agensi penguat kuasa undang-undang saja untuk sebarang maklumat terkini.

S: Berapa lamakah tempoh siasatan?

J:
Tempoh siasatan bergantung pada tahap kompleksiti dan keseriusan kes. Tahap kompleksiti meningkat disebabkan dimensi antarabangsa kes itu.

Siasatan ini diberi keutamaan yang tinggi dan semua sumber perlu digembleng oleh agensi penguat kuasa untuk mempercepat siasatan.

S: Mengapakah aset dibekukan dan dirampas?

J:
Bagi skim kewangan haram disyaki, pihak berkuasa boleh menjalankan operasi mencari dan merampas bagi mendapatkan bukti dan untuk mengelakkan syarikat daripada menyembunyikan atau memusnahkan bahan bukti. Ini juga menghalang aset daripada lesap kerana ia akan memberikan kesan buruk kepada pelabur.

Agensi penguatkuasaan diberikan kuasa mengikut Seksyen 44 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Akta Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA), untuk membekukan aset apabila disyaki bahawa suatu kesalahan pengubahan wang haram dilakukan.

S: Apakah akan terjadi kepada aset dan emas yang dirampas?

J:
Aset yang dirampas akan didokumenkan dengan teliti dan diambilkira serta disimpan di tempat selamat. Sekiranya ada prosiding jenayah, aset itu hanya boleh diuruskan atas perintah mahkamah.

S: Bolehkah pelabur menuntut kembali wang atau emas mereka daripada aset yang dirampas?

J:
Aset yang dirampas ketika siasatan hanya boleh diuruskan atas perintah mahkamah. Pelabur boleh memfailkan kepada mahkamah tuntutan pihak ketiga bagi pemulangan wang atau emas mereka. Maklumat mengenai sama ada dan bagaimana untuk memfailkan sesuatu tuntutan akan diberitahu apabila prosiding mahkamah selesai.

S: Apakah nasihat kepada orang ramai yang ingin melabur?

J:
Orang ramai dinasihati supaya sentiasa berhati-hati terhadap skim pelaburan menjanjikan pulangan tinggi dengan risiko yang kelihatan rendah selain memberikan jaminan bahawa jumlah pokok dilaburkan akan dipulangkan. Orang ramai juga dinasihatkan merujuk kepada agensi berkenaan apabila berurusan dengan syarikat atau individu menawarkan peluang perniagaan atau perkhidmatan kewangan yang kelihatan menarik tetapi tidak diberikan lesen oleh pihak berkuasa.

Sebagai panduan, orang ramai digalakkan mengambil perhatian perkara berikut apabila menilai sesuatu skim pelaburan:

  • Sekiranya skim itu indah khabar dari rupa, berkemungkinan besar ia skim palsu.
  • Berwaspada dengan skim Ponzi, ia adalah skim pelaburan berunsur penipuan apabila pengendalinya mengambil wang daripada pelabur baru untuk membayar kepada pelabur awal. Akhirnya, akan sampai satu peringkat apabila jumlah pelabur baru tidak mencukupi untuk menyokong skim ini dan seterusnya keseluruhan skim mengalami kegagalan.
  • Berurusan hanya dengan institusi kewangan berlesen dan peniaga yang sah
  • Rujuk kepada pihak berkuasa sebelum melabur/mendeposit wang
  • Jangan terpengaruh atau terburu-buru untuk melabur
  • Berhati-hati dengan pelaburan melalui Internet
  • Berwaspada dengan peluang pelaburan yang tidak bertulis
  • Jika pelaburan sudah dibuat, simpan salinan semua dokumen pelaburan
  • Rujuk laman sesawang amaran penipuan kewangan berikut:
    http://www.bnm.gov.my/microsites/fraudalert/index.htm

Pelajar sara hidup dengan RM3 sehari

Satu idea yang menarik untuk memdidik generasi masa kini yang tidak mengenali erti kesusahan, adakah kita mampu menghargai nikmat di negeri sendiri apabila menilai kehidupan orang lain...

Petikan cerita dari KOSMO.....
..........................................................................................


GAMBAR pada 2010 menunjukkan (dari kiri) Sean Leonard, Zach Ingrasci, Chris Temple and Ryan Christoffersen
di kampung Pena Blanca, Guatemala.


BANDAR RAYA GUATEMALA - Beberapa orang pelajar kolej Amerika Syarikat (AS) menghabiskan musim panas mereka dengan menetap di Guatemala berbekalkan perbelanjaan harian cuma AS$1 (RM3).
Jumlah itu merupakan pendapatan harian golongan miskin di negara Amerika Tengah berkenaan dan lebih 1 bilion penduduk di seluruh dunia.

Dua pelajar terbabit, Chris Temple dan Zach Ingrasci kemudian menerbitkan sebuah filem, Living on One untuk menceritakan pengalaman mereka.

Bercorak dokumentari, filem itu memaparkan kesukaran mereka membeli makanan, selain terpaksa membayar bil dan menangani situasi kecemasan apabila seorang daripada mereka jatuh sakit dengan berbekalkan wang yang sedikit itu.

Living on One juga cuba memaparkan cara penduduk miskin tegar menguruskan wang mereka dan bagaimana skim mikro kredit dapat membantu meringankan beban golongan tersebut.

"Kami percaya jika kami sendiri berbelanja cuma AS$1 sehari, kami dapat memaparkan dengan lebih jelas kepada penonton tentang kesukaran yang dialami penduduk miskin dalam menjalani kehidupan harian," kata Temple.

Untuk kajian sosial berkenaan, dua pelajar Kolej Claremont McKenna di California itu tinggal menyewa selama 56 hari di sebuah pondok usang di kampung Pena Blanca pada 2010 bersama dua pelajar lain, Sean Leonard dan Ryan Christoffersen.

Perkampungan tersebut terletak di sebuah kawasan tanah tingi di Guatemala.

Sepanjang tempoh tersebut, mereka membelanjakan wang sebanyak AS$224 (RM683.30 ) atau bersamaan AS$1 untuk setiap seorang selama 56 hari.

Wang itu digunakan untuk membeli kayu api, beras, kacang dan makanan ruji lain di samping sewa pondok. Pondok itu tidak mempunyai bekalan air paip. Kumpulan pelajar itu juga terpaksa mencuri tenaga daripada talian elektrik bagi menjana bateri kamera video mereka. - Agensi