Saturday 27 October 2012

Makanan Segera

Bermula secara kecil-kecilan, dan seterusnya berkembang maju sehingga berjaya pada masa kini..

Credit: Utusan

.........................................................

Mohd. Helmi boleh berbangga dengan penghasilan pelbagai produk sejuk beku keluaran syarikat FaSFoods milik keluarganya. 
 
“PADA mulanya saya hanya memberi rakan-rakan di jabatan mencuba sos spaghetti yang dicipta sendiri dan membawanya ke pejabat.

“Tidak sangka mereka memberi maklum balas yang positif terhadap masakan tersebut dan sekali gus mengesyorkan supaya saya mengkomersialkan kepada seluruh kakitangan di MARDI.

“Apabila memikirkan sambutan dan permintaan yang tinggi daripada mereka, secara tidak langsung membuka mata saya untuk cuba lakukan secara sejuk beku dan jual apabila ada permintaan sahaja," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Bermula daripada jualan secara kecil-kecilan kepada kakitangan MARDI, Mohd. Shaari Nordin, 63, melihat resipinya itu boleh diperkenalkan kepada orang ramai menerusi promosi kepada pasaran yang lebih luas.

Yakin bahawa ganjaran yang bakal diperoleh berlipat kali ganda, bapa kepada empat orang anak itu tekad menggunakan kemahiran yang ada untuk memulakan perniagaannya secara kecil-kecilan.

Selepas mendapat sokongan keluarga, dia kemudiannya mengeluarkan modal permulaan sebanyak RM20,000 untuk membeli peralatan asas bagi menyediakan sos spaghetti dan juga sosej.

“Hasil perbincangan bersama ahli keluarga, mereka mencadangkan supaya kami memulakan perniagaan sejuk beku berkonsepkan home made yang diproses di rumah sahaja.

“Apabila perniagaan kami mendapat sambutan dari orang ramai, anak-anak menggalakkan supaya membuka premis perniagaan sendiri supaya aktiviti kami lebih mudah dan cepat," katanya.

Mula beroperasi pada 16 November 2010, perniagaan yang diberi nama FaS Delicious Foods Enterprise (FaSFoods) turut menjalankan aktiviti perniagaan merangkumi pemprosesan dan pembekalan makanan berasaskan daging.

Di samping itu, ia juga mengedar mesin makanan, menyediakan kursus teknologi pemprosesan daging serta menyediakan khidmat nasihat.

Kepakarannya dalam bidang teknologi daging selama 30 tahun yang diperoleh ketika berkhidmat bersama MARDI digunakan sebaik mungkin oleh Mohd. Shaari untuk menjalankan serta memperluaskan empayar perniagaan sejuk beku tersebut.

Menceritakan pengalaman ketika memulakan perniagaan ini, katanya tidak pernah terlintas di fikiran bahawa sos tersebut mendapat sambutan dan galakkan daripada rakan-rakan untuk dikomersialkan.

Hasil dari galakan tersebut, dia mula mengambil tempahan daripada rakan sepejabat dan pada permulaan menjualnya pada setiap hari Jumaat sahaja.

“Apabila mendapat galakan daripada rakan-rakan serta anak-anak, saya mula rasa teruja untuk meneruskan jualan secara kecil-kecilan ini.

“Tidak sangka mereka semua berminat dengan sos ciptaan saya kerana rasa yang mengekalkan konsep kemelayuan," ujarnya mesra.

Katanya lagi, sos spaghetti yang dimasak itu menggunakan resipi sendiri dengan mencampurkan bahan-bahan asas dalam masakan tradisional Melayu.

Dia yang dibantu oleh anak lelakinya, Mohd. Helmi dalam menguruskan perniagaan tersebut turut menyediakan perkhidmatan kursus teknologi pemprosesan hasilan daging yang dijalankan di premis perniagaan mereka yang terletak di Seri Kembangan, Selangor.

Potensi yang besar dalam industri sejuk beku itu pula telah mendorong Mohd. Helmi, 28, memperluas perniagaan keluarga ke tahap yang lebih kompetitif.

“Langkah memperkenalkan jenama FaSFoods ini seiring dengan penambahbaikan label pembungkusan di samping mempertingkatkan pemasaran di sekitar Serdang, Selangor.

“Kami mendapat reaksi yang positif daripada penduduk sekitar yang mengakui produk keluaran syarikat ini berkualiti " ujarnya yang kini menyandang jawatan sebagai Pengarah Urusan di FaS Delicious Foods.
Menceritakan dengan lebih lanjut, graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dari sebuah universiti tempatan itu menjelaskan, FaSFoods turut mendapat bimbingan dan galakan daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Selangor serta Jabatan Pertanian.

Katanya, JPV menyediakan tiga buah mesin utama untuk memproses burger, sosej dan bebola daging yang mana sekali gus mempergiatkan lagi pengeluaran produk bagi syarikatnya.

Jabatan Pertanian pula menaja mesin kisar daging, pengisar buah dan mesin pembungkusan bagi menyempurnakan aktiviti pemprosesan produk sejuk beku FaSFoods.

No comments:

Post a Comment