Tuesday 12 February 2013

Lapangan terbang Google

Syarikat luar negara mempunyai lapangan terbang sendiri tu...bila la kita nak dengar berita cam bergini di Malaysia???

Credit: Berita Harian

Konsep  lapangan terbang Google  hasil ilham artis.  
Konsep lapangan terbang Google hasil ilham artis.
 
Terminal ada pejabat, kedai komersial telan belanja RM246 juta

San Jose: Banyak syarikat memiliki dan menguruskan jet korporat ketika ini tetapi Google pula merancang untuk memiliki lapangan terbang kendalian sendiri.

Satu panel pegawai negeri California kini menilai cadangan membina lapangan terbang milik Google di kawasan seluas 11.7 hektar di sebelah barat Lapangan Terbang Mineta San Jose.


Cadangan itu dikemukakan oleh Signature Aviation membabitkan kos AS$82 juta (RM246 juta) termasuk sebuah terminal dan hangar.

Ia juga membabitkan ruang pejabat dan kedai seluas 3,065 meter. Penyokong projek itu percaya, ia akan mewujudkan beratus-ratus peluang pekerjaan selain menghasilkan perolehan sebanyak AS$2.6 juta (RM7.8 juta) setahun untuk negeri ini.

Pengurusan lapangan terbang itu akan dikongsi bersama antara Signature Aviation dan Blue City Holdings San Jose LLC yang akan menyewakan lapangan terbang persendirian itu daripada pentadbiran negeri selama 50 tahun.

Blue City menguruskan pesawat milik Google. Cadangan pembinaan di kawasan berkenaan turut membabitkan perkhidmatan untuk pelanggan Google.
Akhbar San Jose Mercury News melaporkan, tiga eksekutif tertinggi Google mempunyai sekurang-kurangnya lapan jet termasuk sebuah Boeing 767.

Pegawai lapangan terbang berkata, mereka memberi sokongan kepada pembinaannya kerana akan membantu pertumbuhan ekonomi tempatan.

Pengarah agensi awam, Aviation San Jose, William Sherry dan empat penilai meletakkan taraf pembinaan lapangan terbang itu sebanyak 991 daripada 1,000 mata.

Projek itu akan menghasilkan 36 kerja tetap dan 150 hingga 200 pekerjaan sementara manakala 370 lagi dihasilkan secara tidak langsung.

“Projek ini tepat pada masanya selepas kami terpaksa hentikan pekerja dan hadapi kemelesetan ekonomi sejak bertahun-tahun lalu,” kata Sherry. - AGENSI

INFO: Google
# Ditubuhkan sebagai firma persendirian pada 4 September 1998
# Slogan tidak rasmi mulai 2006 ialah ‘Don't be evil’
# Beribu pejabat di Mountain View, California
# Dianggar mempunyai sejuta pelayan data di seluruh dunia
# Google memproses satu bilion carian sehari.

Thursday 7 February 2013

Ahmadinejad mahu jadi orang Iran pertama dihantar ke orbit

Presiden Iran pun mempunyai cita2 menjadi orang pertama. Bagaimana dengan kita???

Credit: Utusan

Gambar daripada laman web pejabat Presiden Iran merakamkan Ahmadinejad memerhati ke arah monyet yang berjaya dihantar ke orbit dan pulang ke bumi dengan selamat semasa majlis menraikan Hari Kebangsaan Teknologi Angkasa Lepas Iran di Teheran, kelmarin. - AFP 
 
DUBAI 5 Feb. - Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad semalam berkata, beliau bersedia menjadi orang pertama di Iran dihantar ke orbit melalui program angkasa lepas negara ini, lapor agensi berita Mehr.

Minggu lalu, Iran mengisytiharkan bahawa saintisnya berjaya menghantar seekor monyet ke angkasa lepas dan kembali dalam keadaan selamat semalam, sekali gus menandakan kejayaan pertama Iran untuk menghantar manusia ke angkasa lepas.

Kejayaan program angkasa lepas republik Islam itu meningkatkan lagi kebimbangan Barat berikutan dakwaan teknologi roket yang sama berpotensi membawa peluru berpandu balistik untuk digunakan sebagai senjata nuklear.

"Saya bersedia menjadi manusia pertama (Iran) dihantar ke angkasa lepas," kata Ahmadinejad, semalam selepas menghadiri pameran pencapaian angkasa lepas di Teheran.

Menurutnya, kejayaan menghantar objek hidup ke angkasa lepas merupakan sebahagian usaha dedikasi beribu-ribu saintis Iran.

Ahmadinejad terkenal sebagai pemimpin yang gemar memberi kenyataan berbentuk provokasi dan tidak dapat dipastikan sama ada kenyataannya kali ini merupakan kenyataan serius atau sebaliknya. - REUTERS

Kraf tangan kulit telur dari Vietnam

Cerita kegigihan mangsa perang vietnam dalam meneruskan hidup. Asalkan ada usaha, insyaAllah, semua benda menjadi

Credit: Kosmo





SEKALI pandang, bingkai yang memaparkan gambar beberapa pekerja sawah tekun menanam padi kelihatan seperti sebuah lukisan menggunakan medium cat air.

Terdapat lapan pekerja kesemuanya yang lengkap bertopi coklat. Empat daripadanya memakai baju rona merah dan selebihnya baju hitam. Ia dilengkapi dengan latar belakang rona kelabu, hitam dan putih.

Walaupun kelihatan ringkas tanpa sebarang pemandangan serta pilihan warna yang pelbagai, ia tetap menarik perhatian mata yang memandang.

Malah, karya tersebut mampu membuatkan kita terfikir sejenak bahawa mereka yang memakai baju merah berkemungkinan pekerja wanita dan individu yang memakai baju hitam pula adalah pekerja lelaki.

Selain itu, efek kocakan air yang dibuat ketika mereka menanam padi juga kelihatan asli. Namun, apabila dilihat dengan teliti, karya itu bukan menggunakan bahan cat air seperti yang disangka.

Sebaliknya, ia dihasilkan melalui kulit telur yang telah dipecah-pecahkan dengan halus dan dilekatkan di atas lakaran lukisan tersebut.

Jika boleh dihitung, jumlah kepingan telur yang digunakan dalam pembuatan karya itu mencecah ratusan biji. Justeru, sukar untuk dibayangkan bagaimana tingginya kesabaran pekerja dalam menyiapkan lukisan berkenaan.

Ironinya, semua pekerja di pusat kraf tangan tersebut bukan individu normal, sebaliknya terdiri daripada individu yang mewarisi kecacatan genetik akibat simptom agen oren.

Agen oren merupakan senjata kimia yang digunakan pihak tentera Amerika Syarikat (AS) ketika berlaku Perang Vietnam 1975. Ia menyebabkan masalah kesihatan dan kecacatan terhadap bayi yang baru lahir di negara tersebut.

Pengurus Pusat Kraf tangan Orang Cacat Vietnam, Nguyen Duan Teo, 30, memberitahu, secara keseluruhan terdapat kira-kira 200 pekerja yang mencari rezeki di pusat kraf tangan itu. Kebanyakan mereka datang dari seluruh Vietnam dan menginap di rumah penginapan pekerja yang disediakan pihak pengurusan pusat tersebut.

Ujar anak tunggal yang masih bujang itu, hampir semua pekerja mengalami kecacatan genetik fizikal kesan daripada racun herba yang disembur oleh pesawat AS satu ketika dahulu, tidak terkecuali dirinya. Bagaimanapun, ia bukan alasan untuk mereka tidak melakukan sesuatu dalam usaha menambah pendapatan keluarga.

"Melalui pusat ini, kami menghasilkan pelbagai kraf tangan untuk dijual pada pelancong. Antaranya lukisan kulit telur, kraf kulit siput dan kombinasi kedua-duanya.

"Pendapatan kami pula bergantung pada hasil jualan kraf tangan yang dibeli secara terus oleh pelancong di pusat ini. Jika banyak, maka banyaklah gaji kami kerana ia akan dibahagikan sama rata," jelas Duan Teo yang sudah 11 tahun bekerja di sana sambil menunjukkan salah satu lukisan bertemakan pekerja sawah yang telah siap.

Dalam perbualan kami, satu perkara yang membuatkan penulis rasa terharu apabila Duan Teo mengatakan dia tidak menyimpan dendam terhadap AS yang menjadi punca kecacatan ramai rakyat Vietnam.



SEKUMPULAN pekerja orang kurang upaya wanita duduk berehat sebelum kembali bertugas menyiapkan kraf tangan kulit telur yang menjadi punca pendapatan mereka.



Sambil tersenyum dia berkata: "Jika bertemu pelancong AS yang ramai datang ke sini, saya pasti menyambut mereka dengan baik. Memang zaman selepas perang merupakan satu tragedi kemanusiaan yang amat teruk, tetapi kami harus melupakan perkara lepas. Ia sudah berlalu. Sekarang kami menjalin persahabatan, bukan lagi bermusuhan."

Sementara itu, bagi pekerja wanita yang mahu dikenali sebagai Thuy, 42, dia mengakui seronok dengan kerja yang dilakukan di pusat kraf tangan itu sejak enam tahun lalu.

"Tugas saya khusus memotong kulit cangkerang siput menggunakan mesin pemotong khas. Sebelum itu, kami perlu menyediakan beberapa rekaan di atasnya bagi memudahkan ia dipotong mengikut bentuk.

"Rutin harian kami bermula seawal pukul 8.30 pagi sehingga pukul 4.30 petang. Apa yang pasti, kewujudan pusat ini memberi peluang kepada kami selaku individu cacat untuk bekerja sekali gus meraih pendapatan sendiri," tutur wanita yang berasal dari perkampungan di kawasan Delta Mekong itu sambil tersenyum.

Penulis berpeluang menemui insan-insan istimewa itu atas undangan jenama fesyen, Alfio Raldo yang membawa media berkunjung ke bumi Ho Chi Minh, Disember lalu.

Meneroka kawasan penghasilan kraf tangan itu, jelas menunjukkan kemudahan yang disediakan serba sederhana. Ini termasuklah deretan meja dan kerusi kayu yang usang untuk mereka menjalankan kerja masing-masing.

Tempat itu tidak memiliki pendingin hawa untuk menyejukkan badan, tetapi cuma menggunakan kipas biasa yang perlu dikongsi bagi setiap tiga deretan meja. Keadaan itu membuatkan suasana agak berbahang serta mengeluarkan bau yang kurang selesa. Namun, kesungguhan pekerja dalam menyiapkan produk kraf tangan wajar dipuji.

Perkara itu diakui oleh pegawai bahagian promosi, An Dung Dao, 32, yang mengakui rata-rata pekerja sentiasa komited dengan tugas yang dilakukan dan amat teliti terutama ketika proses menatah kulit telur di atas sesuatu permukaan sama ada gelas, pinggan, pasu atau kayu.

"Tambahan pula, kami turut memberi peluang kepada pekerja untuk mencipta rekaan atau memberi idea bagi menghasilkan kraf tangan yang disukai sekali gus menjadikan mereka lebih kreatif," ungkap Dung Dao yang sudah bekerja selama sembilan tahun di pusat yang turut menjadi anggota Vietnam Association of Business Enterprises of Persons with Disabilities (VABED) itu.

SEORANG pekerja melakukan kemasan terakhir dengan memecahkan kepingan telur lebih halus menggunakan sejenis alat logam khas.


Tambahnya, penghasilan kraf berasaskan kulit telur sudah sinonim dengan rakyat Vietnam sejak ia mula ditubuhkan pada tahun 1976. Lama-kelamaan, pusat itu semakin dikenali ramai dan menjadi antara destinasi pelancongan menarik di Vietnam.

"Setiap hari, banyak bas dan van milik agensi pelancongan akan singgah di sini sebelum meneruskan perjalanan ke Terowong Chu Chi.

"Selain urusan jual beli secara terus di sini, kami juga ada menerima tempahan untuk menghantar produk ke luar negara seperti AS, Australia, Perancis dan juga Malaysia," terang Dung Dao sambil menunjukkan turutan proses penghasilan kraf yang ditampal di dinding.

Setiap produk kraf kulit telur bersaiz besar biasanya mengambil masa antara dua hingga tiga minggu untuk disiapkan. Jika saiznya lebih kecil, masa yang diambil lebih singkat.