Saturday 18 May 2013

Teruskan agenda perpaduan Melayu


 


 
Nasharuddin Mat Isa
 

KUALA LUMPUR 12 Mei - Agenda perpaduan melibatkan umat Melayu Islam menerusi 'lapangan' kerjasama UMNO dan Pas perlu diteruskan daripada semasa ke semasa bagi memastikan bangsa serta agama Islam dapat diperkasakan sepanjang zaman.

Desakan tersebut disuarakan oleh bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa yang turut mengajak pemimpin-pemimpin Melayu Islam menginsafi realiti masa depan bangsa dan agama yang kini mula dirobek pihak-pihak tertentu.

Atas dasar itu, beliau menempelak sikap seorang pemimpin tertinggi Pas yang mengeluarkan kenyataan akan 'meludah' muka mana-mana pihak yang mengusahakan penyatuan dua parti terbesar orang Melayu di negara ini iaitu UMNO dan Pas.

"Bagi saya, dalam agenda perpaduan yang melibatkan UMNO dan Pas, ia mesti jadi agenda berterusan. Namun, apa yang saya tidak boleh terima, bila ada kenyataan kalau ada usaha untuk menyatukan Pas dan UMNO, muka orang itu akan diludah. Ajaran agama mana ini?

"Saya tahu selepas ini akan ada bermacam tohmahan dan tuduhan tentang kenapa saya memilih pentas bangsa. Salahkah kita bicara tentang bangsa kita? Adakah perjuangan bangsa ini salah di sisi agama?," soalnya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel Wacana Post Mortem PRU-13: Bicara Kepimpinan dan Survival Ummah di sebuah hotel di Menara Mara di sini hari ini.

Wacana yang dikendalikan oleh Presiden Pertubuhan Pemikir Profesional Melayu Malaysia, Prof. Datuk Dr. Kamaruddin Kachar itu turut menampilkan barisan panel iaitu tokoh pendidik, Tan Sri Dr. Abdul Rahman Arshad; bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd. Noor Abdullah dan Felo Himpunan Keilmuan Muslim, Wan Ahmad Fayhzal Wan Ahmad Kamal.

Nasharuddin yang juga bekas Ahli Parlimen Bachok berkata, usaha penyatuan Melayu Islam ini perlu digerakkan di peringkat bawahan dan oleh itu hanya UMNO dan Pas sahaja dilihat mampu melakukan perkara tersebut.

"Kita berbicara soal perpaduan, hari ini mungkin ramai yang lihat dalam akhbar, Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) melawat Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

"Tun Dr. Mahathir Mohamad dan anaknya, Datuk Mukhriz Mahathir juga datang melawat dan mereka lupa sekejap siapa UMNO dan Pas. Persoalannya, adakah nak tunggu sehingga orang kena potong kaki, masuk hospital atau ranap bangsa baharu kita nak bicara tentang perpaduan sesama kita?," soalnya lagi.
Oleh yang demikian menurut beliau, isu perpaduan Melayu Islam memerlukan tindakan serta kesungguhan semua pihak dengan kepentingan terhadap keperluan UMNO dan Pas berbincang melihat masa depan negara dengan lebih konstruktif.

"Perkara besar seperti ini mungkin tak dapat natijah dalam tempoh singkat tetapi ia perlu dilakukan untuk kesinambungan Islam dan Melayu sebagai teras negara. Dalam hal bangsa, tiada salah untuk kita berbincang dengan syarat berteraskan Islam," tegasnya.

Ketika ditanya mengenai kemungkinan Pas bertindak menyingkirkan mana-mana ahlinya yang bergerak menyatukan parti itu dan UMNO, beliau berkata: "Padang ini luas dan kalau tak boleh bermain di padang ini, kita boleh bermain di stadium lain".

Berjihad perkasa Perlembagaan




KUALA LUMPUR 12 Mei - Orang Melayu diseru supaya berjihad memperkasakan Perlembagaan Persekutuan serta Undang-Undang Tubuh Negeri bagi memastikan bangsa itu kekal menjadi pentadbir negara dan negeri.

Bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd. Noor Abdullah (gambar) berkata, hal ini kerana dalam Perlembagaan di peringkat Persekutuan dan negeri, perkara berkaitan pelantikan Melayu Islam sebagai pentadbir boleh dilonggarkan.

"Mengikut Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong, hendaklah melantik seorang Perdana Menteri yang mendapat majoriti dalam Dewan Rakyat. Itu sahaja dan tidak ada disebut Melayu Islam.
"Tetapi mengikut amalan demokrasi oleh kerana negara ini negara Islam, Yang di-Pertuan Agong apabila melantik Perdana Menteri, bukan sahaja perlu mendapat majoriti itu tetapi hendaklah ia seorang Islam dan Melayu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel Wacana Post Mortem Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13): Bicara Kepimpinan dan Survival Ummah di Menara Mara di sini hari ini.

Menurut Mohd. Noor, bagi peruntukan Perlembagaan negeri pula, raja atau sultan hendaklah melantik Menteri Besar atau Ketua Menteri daripada seorang yang mendapat majoriti dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Kedua, dia mestilah orang Melayu Islam dan ketiga, syarat kedua itu, raja atau sultan dengan budi bicara boleh melonggarkan syarat ini bagi menepati syarat pertama," jelas beliau.

Katanya, dengan syarat ketiga itu, siapa sahaja mendapat majoriti, individu terbabit boleh dilantik sebagai Menteri Besar atau Ketua Menteri.

"Oleh itu kalau DAP dapat majoriti, maka orang Cina boleh menjadi Menteri Besar. Macam mana? Kalau kita kata tidak boleh, maka pindalah Perlembagaan dengan sokongan majoriti dua pertiga. Beritahu di Melaka dan Pahang yang mendapat majoriti dua pertiga, mansuhkan klausa itu," tegasnya.
Beliau juga memberi bayangan bahawa Singapura boleh dibawa masuk ke dalam Malaysia dengan suara majoriti di Dewan Rakyat.

"Tak perlu persetujuan Majlis Raja-Raja, tetapi nak bawa masuk Singapura ke dalam Malaysia memerlukan hanya Akta Parlimen, Pas dengan satu majoriti maka masuklah Singapura ke Malaysia. Bayangkan akibatnya. Ini agenda pengkhianatan.

"Sebab itu (isu) kalimah Allah 'dicampakkan' agar orang Pas dan UMNO, orang Melayu berpecah dengan matlamat akhirnya untuk menawan hati orang bumiputera Sabah dan Sarawak. Nampak tak telunjuknya ke mana? Tetapi orang Melayu termakan umpan, nasib baik bumiputera Sabah dan Sarawak masih menyokong kita," tegasnya.

Sebab itu jelasnya, pengkhianatan orang Cina terhadap ikatan setia kawan orang Melayu adalah sesuatu perkara yang benar-benar berlaku.

Selain persoalan terhadap Perlembagaan, orang Melayu juga perlu berjuang dalam memperkasa dan menambah tanah rizab Melayu yang tertakluk di dalam Perlembagaan.

"Isytiharkan tanah rizab ini di kawasan-kawasan bandar dan dalam erti kata lain, menyusun semula masyarakat. Isytiharkan tanah rizab Melayu untuk berladang dan menternak, cari tanah yang baik untuk Melayu berladang dan berniaga dan kalau ada bukit, beri kepada Melayu buat kuari.

"Kita susun atur tanah ini dan agih-agihkan untuk Melayu. Begitu juga dalam bidang ekonomi yang sehingga kini 20 peratus daripadanya dimiliki orang Melayu. Jadi susunlah strategi supaya dalam tempoh 10 tahun ini, kekayaan Melayu menguasai 67 peratus," katanya.

Beliau turut menasihatkan semua pihak supaya bekerjasama menghapuskan rasuah dalam kalangan orang Melayu iaitu daripada kelompok ahli politik sehingga ke kakitangan kerajaan.

AIM sedia RM2b naik taraf usahawan mikro


Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) memperuntukkan dana pinjaman berjumlah RM2 bilion tahun ini dalam usahanya untuk menaik taraf lebih banyak perniagaan usahawan mikro kepada status perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Pengarah Urusan, Datuk Zabidah Ismail (gambar), berkata AIM yang diberikan mandat menyalurkan pinjaman kepada usahawan mikro kini menumpukan kepada usaha meningkatkan keupayaan dan kemajuan usahawannya untuk menjana pendapatan lebih tinggi.

Ketika ini, kira-kira 20 peratus daripada 340,000 peminjam AIM yang dikenali ‘Sahabat’ sudah berjaya mencapai status PKS dengan kemampuan meraih pendapatan melebihi RM3,500 sebulan.

Katanya, AIM menyasarkan 30 peratus daripada ahlinya yang dalam pelbagai bidang perniagaan mencapai status usahawan PKS menjelang 2015.

“AIM memperuntukkan pinjaman lebih tinggi tahun ini dalam usaha membantu lebih ramai peniaga kecil terutama di kawasan luar bandar mengembangkan perniagaan mereka bagi meraih pendapatan yang lebih tinggi.

Pinjaman hingga RM50,000

“Tumpuan kami adalah menaik taraf perniagaan usahawan sedia ada dan membantu mereka mengembangkan perniagaan hingga ke peringkat eksport,” katanya kepada BH sini.

Daripada RM2 bilion yang diperuntukkan, sebanyak RM389 juta sudah disalurkan kepada peminjam bagi suku pertama tahun ini.

Pada masa ini, Zabidah berkata AIM menawarkan pembiayaan daripada RM3,000 hingga RM50,000 dengan tempoh bayaran balik antara setahun hingga lima tahun, menerusi kaedah bayaran balik secara mingguan.

Bagaimanapun, bermula tahun lalu, katanya peminjam AIM yang berkemampuan menjalankan perniagaan berskala be-sar boleh mendapatkan pinjaman lebih RM50,000 menerusi Koperasi Amanah Ikhtiar Malaysia Bhd yang ditubuhkan Ogos 2012.

“Kami sentiasa peka dengan keperluan peminjam dan hingga kini AIM mencatat kadar bayaran balik yang baik iaitu hingga 96.6 peratus, dengan sebahagian besar cawangan kami mencatat bayaran balik 100 peratus,” katanya.

Beliau berkata, AIM tidak akan menambah cawangan baru bagi memberi sepenuh tumpuan kepada 123 cawangan sedia ada di seluruh negara. 
 
Credit: Berita Harian

Tiada masalah jika tak ada suara Cina dalam kerajaan - Ahli Akademik

KUALA LUMPUR: Sekiranya berlaku ketiadaan wakil kaum Cina dalam Kabinet maka ia tidak akan menimbulkan masalah besar kepada kerajaan atau masyarakat Cina, kata seorang ahli akademik hari ini.

Dr Ser Wue Hiong, Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Bahasa Asing di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), berkata jika scenario itu berlaku maka sebarang kebimbangan hanya untuk jangka masa pendek dan boleh diatasi.

MCA dan Gerakan mengambil keputusan tidak mahu menerima jawatan dalam Kabinet atas dasar 'menghormati keputusan pengundi' selepas kedua-dua parti komponen Barisan Nasional (BN) itu mencapai prestasi buruk pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), 5 Mei lalu.

Pendirian kedua-dua parti itu telah menimbulkan persoalan daripada semua pihak.
Sebilangan pihak khuatir masyarakat itu akan dipinggirkan sekiranya mereka tidak mempunyai suara dalam Kabinet manakala ramai termasuk Ser mempunyai pandangan sebalik.

Ser memberitahu Bernama bahawa hakikat pengundi Cina menolak calon MCA dan Gerakan membuktikan isu wakil Cina dalam Kabinet juga tidak menjadi kebimbangan kepada mereka.

Beliau berkata politik dalam era baharu ini perlu juga berpisah daripada tradisi dan lebih penting lagi, ahli politik yang dipilih harus mewakili semua kaum dan bukan bangsa tertentu atau parti politik.
Katanya ahli politik yang hanya memperjuangkan untuk sesuatu kaum sahaja bukan sesuatu yang baik dalam masyarakat berbilang kaum di negara ini.

"Saya fikir ini adalah realiti di Malaysia hari ini. Kita perlu beralih daripada tradisi," katanya.

Ser, seorang pakar dalam pengajian kaum Cina di Malaysia, berpendapat sektor yang mungkin mempunyai kesan ialah pendidikan Cina tetapi masalah itu mungkin hanya sementara sahaja.

Beliau yakin Datuk Seri Najib Razak sebagai perdana menteri untuk semua dan dengan pendekatan 1Malaysia, beliau tidak akan meminggirkan pembangunan masyarakat Cina termasuk pendidikan Cina selepas PRU13.

"Saya percaya beliau akan melakukan perubahan dan melihat pendekatan baru bagi memenuhi keperluan dan kepentingan pendidikan Cina.

"Salah satu cara yang boleh saya lihat ialah beliau akan melantik seorang pendidik Cina untuk duduk dalam kerajaan bagi menjaga pendidikan Cina," katanya.

Sebelum ini, seorang timbalan menteri Cina memegang portfolio untuk menjaga pendidikan Cina. - BERNAMA

Beri peluang UMNO terajui BN Pulau Pinang


REEZAL MERICAN (berdiri) ketika meraikan tetamu di Penang Golf Resort, Bertam, Pulau Pinang malam kelmarin.


KEPALA BATAS - Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang wajar memberi peluang kepada UMNO untuk mengetuai barisan kepimpinan parti itu bagi memulihkan kepercayaan rakyat kepada BN di negeri ini.

Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, selepas kekalahan teruk BN di Pulau Pinang pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) baru-baru ini, satu pembaharuan perlu dilakukan bagi memastikan BN terus relevan dan diterima baik penduduk di negeri itu.

"Pada pandangan peribadi saya, kepimpinan BN negeri wajar diserahkan kepada UMNO kerana ini sudah masuk dua penggal (selepas PRU-12 dan PRU-13) MCA dan Gerakan di Pulau Pinang ditolak dan diperlakukan seperti itu oleh pengundi Cina.

"Jadi adalah wajar sekiranya kepimpinan tertinggi BN memberi peluang kepada UMNO Negeri untuk menerajui BN Pulau Pinang sebagai satu cara untuk memulihkan semula sokongan rakyat termasuk kaum Cina kepada BN," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada majlis jamuan makan malam meraikan petugas jentera pilihan raya BN yang membantu kemenangan beliau dan tiga calon BN di kerusi Dewan Undangan Negeri kawasan Parlimen itu di Penang Golf Resort di sini malam kelmarin.

Reezal Merican yang juga Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO berkata, pertimbangan bagi meletakkan pemimpin UMNO untuk menerajui kepimpinan BN Negeri juga harus dilihat kepada kemenangan 10 kerusi DUN dan tiga kerusi Parlimen yang dimenangi BN di negeri itu dalam PRU-13 baru-baru ini.

"Kesemua 10 kerusi DUN dan tiga kerusi Parlimen dimenangi oleh calon UMNO dan ini menunjukkan MCA dan Gerakan terang-terang ditolak oleh pengundi Cina sehinggakan mereka gagal meraih sebarang kemenangan.

"Memang secara tradisinya jawatan Pengerusi BN Negeri diberikan kepada Gerakan tetapi kita tidak harus terikat dengan tradisi itu sekiranya kita ingin membaiki semula keadaan dan meraih semula kepercayaan rakyat kepada BN," katanya.

Sate tilapia sedap

Inisiatif Jabatan Perikanan mempromosikan sate ikan menerusi rangkaian Restoran Sate Kajang Hj Samuri memberi nilai tambah kepada produk hiliran bagi industri akuakultur yang semakin berkembang di negara ini. Sumber ikan tilapia yang diperoleh menerusi projek ternakan dalam sangkar ‘polar circle’ itu menggunakan teknologi unggul dari Norway sekali gus menghasilkan ikan berkualiti dan tidak hanyir.

Sesuai dengan slogan Enak Berkualiti dan Halal, sate ikan tilapia yang baru dilancarkan itu memenuhi cita rasa pengguna kerana mengandungi nut­risi makanan diperlukan seperti sumber protin serta kurang lemak tepu.

Timbalan Ketua Setiausaha Perancangan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Raihan Sharif berkata, sate ikan tilapia yang diperkenalkan itu adalah produk nilai tambah terbaru bagi pemprosesan ikan.

“Sate ikan ini disahkan Jabatan perikanan diproses daripada ikan tilapia dihasilkan dari ladang ternakan yang memenuhi Skim Pensijilan Ladang Akuakultur Malaysia (SPLAM).

“Projek ternakan dilaksanakan Syarikat Trapia Malaysia Sdn Bhd di Tasik Temenggor, Perak itu mentransformasikan industri ternakan ikan air tawar di negara ini kepada projek yang berasaskan kemajuan saintifik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap mempromosikan Sate Ikan Tilapia 2013 di Sate Kajang Hj Samuri, Kajang, anjuran Jabatan Perikanan dengan kerjasama Sate Kajang dan Tilapia Market, Tilapia House Sdn Bhd.

Hadir sama Ketua Pe­ngarah Perikanan, Jabatan Perikanan, Datuk Ahamad Sabki Mahmood, Pengarah Urusan Sate Kajang Hj Samuri, Datuk Samuri Juraimi dan Pengarah Urusan Tilapia Market, Mufadzir Huzaireen Mazlan.

Sempena promosi itu, semua rangkaian restoran berkenaan menerima sijil peng­iktirafan kepada pengurus cawangannya.

Raihan berkata, kualiti struktur daging ikan tilapia mempunyai struktur yang seakan-akan sama de­ngan daging.

“Struktur daging yang lebih kurang sama memboleh­kan ikan tilapia dijadikan sate. Menerusi idea itu, Jabatan Perikanan dan Samuri melakukan penyelidikan menghasilkan sate ikan tilapia.

“Menerusinya, kita dapati sate ikan tilapia sama dengan sate daging dan ayam yang kita biasa makan. Kebaikan ikan ini tidak banyak lemak, selain mempunyai nilai kesihatan yang baik,” katanya.

Promosi sate ikan tilapia itu sudah menemui pelang­gan Sate Kajang Hj Samuri sejak Januari lalu de­ngan hasil jualan mencecah 50,000 cucuk sebulan.

Menerusi jualan 70 sen secucuk, pengguna boleh mendapatkan produk terbaru itu di semua rangkaian Sate Kajang Hj Samuri termasuk di Lembah Klang dan Negeri Sembilan.

Selain penggunaan tempatan, sate ikan tilapia bakal dieksport ke Hong Kong dan Taiwan.

“Kami berhasrat memasarkan produk ini ke luar negara di dalam promosi yang bakal dilakukan pada masa depan.

“Sekarang ini kita nak pastikan pengeluaran ikan tilapia adalah mencukupi. Ini penting kerana kita tidak mahu permintaan tinggi, tapi pengeluaran tiada,” katanya.

Beliau turut menyeru penternak ikan tilapia bekerjasama dengan Syarikat Trapia Malaysia menerusi kaedah ladang kontrak menggunakan teknologi Norway.

“Disebabkan hasil keluaran syarikat berkenaan tidak hanyir sedikit pun dan kualiti seperti itu diperlukan untuk promosi sate.

“Mungkin lebih banyak kaedah terbaru bakal diperkenalkan. Malah baka yang dihasilkan juga lebih baik sekali gus menjadikan isi dan kualiti ikan juga lebih baik pada masa depan,” katanya.

Produk sate ikan tilapia diharap dapat dipaten dan menyumbang kepada pembangunan negara bagi menjadikan negara ini sebagai pengeluar sate terulung di dunia.

Sementara itu, Samuri berkata pihaknya me­nyambut baik usaha Jabatan Perikanan mempromosi sate ikan tilapia.

“Ia juga selaras dengan matlamat kerajaan bagi memperkenal dan meng­galakkan pemakanan ikan air tawar di kalangan peng­guna di negara ini.

“Seterusnya menyahut seruan Jabatan Perikanan bagi menggalakkan pe­nyertaan syarikat swasta supaya meningkatkan pengeluaran ikan dan produk berasaskan ikan untuk penggunaan domestik,” katanya.

Katanya, kira-kira empat tan filet ikan tilapia digunakan untuk menghasil­kan sate berkenaan dengan setiap satu kilogram me­ngeluarkan 40 cucuk sate.

“Sambutan kalangan pengguna memang baik dan setiap seminggu kira-kira 10,000 cucuk sate sudah terjual, selain dijangka permintaannya meningkat sebaik promosi dilakukan di rangkaian restoran kami,” katanya.

Credit: Metro

Kapal terbang tanpa pilot buat penerbangan sulung

London: Sebuah pesawat udara tanpa juruterbang melakukan penerbangan sulung di ruang udara Britain semalam, sekali gus membuka jalan kepada permulaan operasi kapal terbang penumpang tanpa juruterbang.
Kapal terbang eksekutif BAE Jetstream itu terbang sejauh kira-kira 483 kilometer dari Warton, Lancashire ke Inverness di Scotland.

Pesawat itu dikendalikan sepenuhnya melalui komputer oleh seorang juruterbang di darat.
Jurucakap BAE berkata, ada dua juruterbang menaiki pesawat berkenaan untuk mengendalikan pesawat itu ketika berlepas dan mendarat.

“Bagaimanapun, selain daripada berlepas dan mendarat, pesawat berkenaan - yang terbang pada ketinggian 20,000 kaki - dikendalikan pakar di Warton serta dipantau pengawal trafik udara,” katanya. Pengarah BAR, Lambert Dopping-Hepenstal berkata, projek bernilai £62 juta (RM 285 juta) itu adalah detik baru dalam sejarah penerbangan.

“Pesawat tanpa juruterbang bakal menjadi sebahagian daripada kehidupan harian tidak lama lagi,” katanya. Lebih banyak penerbangan percubaan dijangka dilakukan dalam tempoh lima tahun akan datang. - Reuters

Credit: Kosmo