Saturday 18 May 2013

Sate tilapia sedap

Inisiatif Jabatan Perikanan mempromosikan sate ikan menerusi rangkaian Restoran Sate Kajang Hj Samuri memberi nilai tambah kepada produk hiliran bagi industri akuakultur yang semakin berkembang di negara ini. Sumber ikan tilapia yang diperoleh menerusi projek ternakan dalam sangkar ‘polar circle’ itu menggunakan teknologi unggul dari Norway sekali gus menghasilkan ikan berkualiti dan tidak hanyir.

Sesuai dengan slogan Enak Berkualiti dan Halal, sate ikan tilapia yang baru dilancarkan itu memenuhi cita rasa pengguna kerana mengandungi nut­risi makanan diperlukan seperti sumber protin serta kurang lemak tepu.

Timbalan Ketua Setiausaha Perancangan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Raihan Sharif berkata, sate ikan tilapia yang diperkenalkan itu adalah produk nilai tambah terbaru bagi pemprosesan ikan.

“Sate ikan ini disahkan Jabatan perikanan diproses daripada ikan tilapia dihasilkan dari ladang ternakan yang memenuhi Skim Pensijilan Ladang Akuakultur Malaysia (SPLAM).

“Projek ternakan dilaksanakan Syarikat Trapia Malaysia Sdn Bhd di Tasik Temenggor, Perak itu mentransformasikan industri ternakan ikan air tawar di negara ini kepada projek yang berasaskan kemajuan saintifik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap mempromosikan Sate Ikan Tilapia 2013 di Sate Kajang Hj Samuri, Kajang, anjuran Jabatan Perikanan dengan kerjasama Sate Kajang dan Tilapia Market, Tilapia House Sdn Bhd.

Hadir sama Ketua Pe­ngarah Perikanan, Jabatan Perikanan, Datuk Ahamad Sabki Mahmood, Pengarah Urusan Sate Kajang Hj Samuri, Datuk Samuri Juraimi dan Pengarah Urusan Tilapia Market, Mufadzir Huzaireen Mazlan.

Sempena promosi itu, semua rangkaian restoran berkenaan menerima sijil peng­iktirafan kepada pengurus cawangannya.

Raihan berkata, kualiti struktur daging ikan tilapia mempunyai struktur yang seakan-akan sama de­ngan daging.

“Struktur daging yang lebih kurang sama memboleh­kan ikan tilapia dijadikan sate. Menerusi idea itu, Jabatan Perikanan dan Samuri melakukan penyelidikan menghasilkan sate ikan tilapia.

“Menerusinya, kita dapati sate ikan tilapia sama dengan sate daging dan ayam yang kita biasa makan. Kebaikan ikan ini tidak banyak lemak, selain mempunyai nilai kesihatan yang baik,” katanya.

Promosi sate ikan tilapia itu sudah menemui pelang­gan Sate Kajang Hj Samuri sejak Januari lalu de­ngan hasil jualan mencecah 50,000 cucuk sebulan.

Menerusi jualan 70 sen secucuk, pengguna boleh mendapatkan produk terbaru itu di semua rangkaian Sate Kajang Hj Samuri termasuk di Lembah Klang dan Negeri Sembilan.

Selain penggunaan tempatan, sate ikan tilapia bakal dieksport ke Hong Kong dan Taiwan.

“Kami berhasrat memasarkan produk ini ke luar negara di dalam promosi yang bakal dilakukan pada masa depan.

“Sekarang ini kita nak pastikan pengeluaran ikan tilapia adalah mencukupi. Ini penting kerana kita tidak mahu permintaan tinggi, tapi pengeluaran tiada,” katanya.

Beliau turut menyeru penternak ikan tilapia bekerjasama dengan Syarikat Trapia Malaysia menerusi kaedah ladang kontrak menggunakan teknologi Norway.

“Disebabkan hasil keluaran syarikat berkenaan tidak hanyir sedikit pun dan kualiti seperti itu diperlukan untuk promosi sate.

“Mungkin lebih banyak kaedah terbaru bakal diperkenalkan. Malah baka yang dihasilkan juga lebih baik sekali gus menjadikan isi dan kualiti ikan juga lebih baik pada masa depan,” katanya.

Produk sate ikan tilapia diharap dapat dipaten dan menyumbang kepada pembangunan negara bagi menjadikan negara ini sebagai pengeluar sate terulung di dunia.

Sementara itu, Samuri berkata pihaknya me­nyambut baik usaha Jabatan Perikanan mempromosi sate ikan tilapia.

“Ia juga selaras dengan matlamat kerajaan bagi memperkenal dan meng­galakkan pemakanan ikan air tawar di kalangan peng­guna di negara ini.

“Seterusnya menyahut seruan Jabatan Perikanan bagi menggalakkan pe­nyertaan syarikat swasta supaya meningkatkan pengeluaran ikan dan produk berasaskan ikan untuk penggunaan domestik,” katanya.

Katanya, kira-kira empat tan filet ikan tilapia digunakan untuk menghasil­kan sate berkenaan dengan setiap satu kilogram me­ngeluarkan 40 cucuk sate.

“Sambutan kalangan pengguna memang baik dan setiap seminggu kira-kira 10,000 cucuk sate sudah terjual, selain dijangka permintaannya meningkat sebaik promosi dilakukan di rangkaian restoran kami,” katanya.

Credit: Metro

No comments:

Post a Comment