Saturday 18 May 2013

Beri peluang UMNO terajui BN Pulau Pinang


REEZAL MERICAN (berdiri) ketika meraikan tetamu di Penang Golf Resort, Bertam, Pulau Pinang malam kelmarin.


KEPALA BATAS - Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang wajar memberi peluang kepada UMNO untuk mengetuai barisan kepimpinan parti itu bagi memulihkan kepercayaan rakyat kepada BN di negeri ini.

Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, selepas kekalahan teruk BN di Pulau Pinang pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) baru-baru ini, satu pembaharuan perlu dilakukan bagi memastikan BN terus relevan dan diterima baik penduduk di negeri itu.

"Pada pandangan peribadi saya, kepimpinan BN negeri wajar diserahkan kepada UMNO kerana ini sudah masuk dua penggal (selepas PRU-12 dan PRU-13) MCA dan Gerakan di Pulau Pinang ditolak dan diperlakukan seperti itu oleh pengundi Cina.

"Jadi adalah wajar sekiranya kepimpinan tertinggi BN memberi peluang kepada UMNO Negeri untuk menerajui BN Pulau Pinang sebagai satu cara untuk memulihkan semula sokongan rakyat termasuk kaum Cina kepada BN," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada majlis jamuan makan malam meraikan petugas jentera pilihan raya BN yang membantu kemenangan beliau dan tiga calon BN di kerusi Dewan Undangan Negeri kawasan Parlimen itu di Penang Golf Resort di sini malam kelmarin.

Reezal Merican yang juga Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO berkata, pertimbangan bagi meletakkan pemimpin UMNO untuk menerajui kepimpinan BN Negeri juga harus dilihat kepada kemenangan 10 kerusi DUN dan tiga kerusi Parlimen yang dimenangi BN di negeri itu dalam PRU-13 baru-baru ini.

"Kesemua 10 kerusi DUN dan tiga kerusi Parlimen dimenangi oleh calon UMNO dan ini menunjukkan MCA dan Gerakan terang-terang ditolak oleh pengundi Cina sehinggakan mereka gagal meraih sebarang kemenangan.

"Memang secara tradisinya jawatan Pengerusi BN Negeri diberikan kepada Gerakan tetapi kita tidak harus terikat dengan tradisi itu sekiranya kita ingin membaiki semula keadaan dan meraih semula kepercayaan rakyat kepada BN," katanya.

No comments:

Post a Comment