Saturday 18 May 2013

MMC Corp peruntuk RM2.21 bilion naik taraf pelabuhan di Johor


KUALA LUMPUR 13 Mei - MMC Corp Bhd memperuntukkan RM2.21 bilion untuk menaik taraf pelabuhan-pelabuhannya di Johor bagi menarik lebih banyak syarikat perkapalan ke gerbang selatan itu serta mengekalkan peserta yang kompetitif dalam industri perkapalan.

Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Hasni Harun berkata, syarikat itu mengunjurkan untuk membelanjakan RM1.6 bilion bagi Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) bagi menambah keupayaan pengendalian kepada 10.5 juta unit bersamaan dua puluh kaki (TEU) setahun mulai tahun depan daripada 7.7 juta pada masa ini.
Syarikat itu memperuntukkan RM421 juta untuk Pelabuhan Johor bagi menambah kapasiti kepada 45 juta tan kargo (FWT) pada 2015 daripada 35 juta FWT pada masa ini, katanya kepada pemberita selepas mesyuarat agung tahunan syarikat itu hari ini.

Beliau berkata, peluasan PTP membuktikan hasrat syarikat untuk membawa perniagaan kargo AP Moller-Maersk Group (Maersk), yang menguasai 30 saham pelabuhan itu, ke PTP.

"Daripada tujuh juta TEU yang dikendalikan oleh PTP tahun lepas, kira-kira enam juta TEU disumbangkan oleh Maersk, beberapa juta TEU yang kargonya turut dikendalikan oleh pelabuhan Singapura.
"Jika pelabuhan anda sedia dari segi kapasiti dan kecekapan, beberapa juta TEU yang dikendalikan oleh Singapura mungkin beralih ke PTP," katanya.

Hasni berkata, walaupun PTP dirancang untuk mengendalikan lebih banyak kontena, pembesaran Pelabuhan Johor akan menampung perniagaan minyak dan gas yang semakin berkembang.

"Kami mereka bentuk semula Pelabuhan Johor supaya kita boleh melakukan lebih banyak perniagaan dalam sektor minyak dan gas," katanya.

PTP dan Pelabuhan Johor secara gabungan menguasai 42 peratus perniagaan pelabuhan di Malaysia.
Sementara itu, Hasni berkata, pengurusan akan terus mengenal pasti peluang baharu dan memanfaatkan keupayaan kukuh perniagaan terasnya dalam tenaga dan utiliti serta kejuruteraan dan pembinaan untuk membawa syarikat itu ke tahap baharu.

Beliau berkata, syarikat itu menjangkakan prestasi kukuh tahun ini, dipacu oleh faktor penghantaran yang kukuh daripada loji tenaga Malakoff Corp Bhd. serta jumlah jualan yang lebih tinggi daripada Gas Malaysia Bhd menerusi bahagian tenaga dan utiliti dan sumbangan lebih tinggi daripada projek Mass Rapid Transit (MRT) dalam bahagian kejuruteraan dan pembinaan.

Hasni berkata, syarikat itu juga komited untuk memanfaatkan nilai bank tanah yang seluas 1,800 hektar di Iskandar Malaysia dan kini berunding dengan pelanggan berpotensi selain rakan usaha sama bagi membangunkan kawasan itu.

Untuk masa depan, beliau berkata, syarikat itu sedang mengenal pasti peluang baharu menerusi pembabitan aktifnya dalam projek MRT serta potensi penyertaan dalam cadangan projek kereta api laju Kuala Lumpur-Singapura, bagi menambah projek pembinaan dalam tangan yang kini bernilai RM5.5 bilion.

Sementara itu, mengenai kelewatan penyenaraian anak syarikat Malakoff Corp Bhd. di Bursa Malaysia, beliau berkata, penggantungan itu disebabkan oleh kerja penyelenggaraan di stesen jana kuasa tenaga Tanjung Bin dan penyenaraian pendek syarikat itu dalam pembinaan stesen jana kuasa arang batu 2,000 megawatt (MW) oleh Suruhanjaya Tenaga.

"Kami mahu stesen jana kuasa tenaga itu berapa pada kedudukan terbaik semasa penyenaraian dan pemerolehan tambahan 2,000 MW profil penjanaan tenaga dalam profil penjanaan tenaga Malakoff.
Beliau berkata, syarikat itu juga membida projek penjanaan tenaga di Indonesia dan Asia Barat, Afrika Utara dalam usaha memperoleh kapasiti penjanaan tenaga berjumlah 10,000 MW menjelang 2020.
Malakoff kini mempunyai kapasiti penjanaan tenaga sebanyak 5,000 MW. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment