Saturday 18 May 2013

MITI fokus bantu tingkat ekonomi

Tahniah kepada Datuk Seri Mustapa Mohamed kerana berjaya mengekalkan propofil yang sama. Semoga datuk seri dapat meneruskan segala perancangan dan projek yang telah dirangka dan seterusnya meningkatkan pertumbuhan ekonomi khususnya ekonomi bumiputra.

 
 
Mustapa Mohamed (kiri) mencetak perakam waktu sambil diperhatikan oleh Hamim Samuri di Kuala Lumpur, semalam. 
 
KUALA LUMPUR 17 Mei - Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) telah menetapkan fokus utama terhadap pelaburan dan perdagangan dalam usaha meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pertumbuhan ekonomi suku pertama yang perlahan merupakan cabaran kepada MITI untuk mempertingkatkan usaha dalam bahagian yang terlibat.

"Suku seterusnya harus lebih baik untuk mencapai matlamat keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebanyak lima hingga enam peratus pada tahun ini.

"MITI akan menumpukan pembangunan sektor, pelaburan, perdagangan dan pembuatan yang boleh menyumbang kepada KDNK. Kami tidak hanya melihat kepada kuantiti tetapi kualiti," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri mesyuarat pertama berliau dengan MITI bagi penggal baharu, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang baharu iaitu, Hamim Samuri.

Kelmarin, Bank Negara Malaysia mengumumkan pertumbuhan ekonomi negara pada suku pertama menyederhana kepada 4.1 peratus berbanding 5.1 peratus pada tempoh yang sama tahun lalu.

Mustapa berkata, semasa mesyuarat kabinet yang pertama semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah menggesa setiap kementerian untuk mencapai matlamat yang ditetapkan dalam usaha menjadikan Malaysia sebuah negara yang berjaya.

"Beliau mahu setiap kementerian perlu lebih telus, menjawab isu berbangkit pada kadar segera dan mencapai matlamat. MITI akan menyokong usaha berkenaan.

"Masalah utama rakyat yang perlu diselesaikan segera adalah banyak peluang pekerjaan yang diwujudkan tetapi tidak disokong dengan gaji yang berpatutan. Kami akan mengusahakan perkara ini," jelasnya.
Menurutnya, selepas ini beliau akan mengadakan lawatan ke Kelantan dan Kedah bagi meninjau keadaan di sana bagi menyalurkan bantuan yang boleh diberikan oleh MITI.

"Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Tun Mahathir telah hadir ke MITI untuk meminta sokongan bagi merancakkan sektor ekonomi di negeri berkenaan terutamanya dalam sektor minyak dan gas.

"Kulim High Tech Park merupakan antara kawasan industri moden paling berjaya di Malaysia dan MITI bersedia menghulurkan bantuan kepada Kedah," katanya lagi.

Tambah beliau, MITI akan mengadakan perjumpaan dengan media minggu hadapan bagi menerangkan perancangan kementerian berkenaan bagi penggal kali ini secara terperinci.

Difahamkan antara isu yang akan dibentangkan adalah Dasar Automotif Negara, Perkongsian Trans-Pasifik (TPP), Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan beberapa perancangan lain.



Credit: Utusan

No comments:

Post a Comment