Monday 29 October 2012

AES

 Coretan dari CheWal

 

Sistem AES pun nak dipolitikkan ?

1. Kerajaan telah melaksanakan sistem `enforcement' yang baru yang dinamakan Automatic Enforcement System(AES).
2. Sistem ini adalah sistem rakaman berkamera untuk kesalahan-kesalahan tertentu. Sistem ini bukanlah sesuatu yang baru kerana banyak negara-negara maju didunia telah lama menggunakan sistem ini.
3. Di UK, misalnya, sistem berkamera ini telah lama digunakan dan penggunaannya adalah meluas. Di kawasan-kawasan tertentu terutama di jalan raya atau lebuh raya yang menghampiri pusat bandar dan di kawasan-kawasan kediaman, sistem kamera ini digunakan.
4. Semasa di UK, saya suka melihat sikap pemandu di sana yang majoritinya memandu dalam kelajuan yang munasabah. Adalah perkara biasa apabila pemandu-pemandu memperlahankan kenderaan apabila menghampiri kawasan-kawasan berkamera. Walaupun selepas melalui kamera, ada yang memandu agak laju, tapi tidaklah terlampau laju.
5. Pada ketika itu, saya mengharapkan agar Malaysia juga menggunakan sistem sedemikan rupa agar ianya boleh mendidik masyarakat agar memandu dengan perlahan. Bagi saya, sistem seperti ini adalah jauh lebih baik daripada cara yang digunakan di Malaysia sebelum ini iaitu dengan polis menyorok di kawasan-kawasan tertentu. Bagi saya, cara menyorok itu bukanlah boleh mendidik tetapi ianya lebih kepada menghukum. Untuk mengubah sikap masyarakat, mendidik adalah lebih baik.
6. Mendidik sikap pemandu di Malaysia perlu dibuat melalui `strict enforcement'. Mungkin hanya dengan cara tindakan tegas sahajalah sikap pemandu di Malaysia dapat dibentuk agar menjadi lebih bertamadun dan suka mengikut peraturan.
7. Malangnya, sistem yang boleh mendidik seperti AES ini tidak terlepas dari mainan politik pembangkang. Mungkin mereka tiada kerja, oleh itu, mempolitikkan dan membangkang segala-galanya adalah kerja senang yang mereka boleh buat. Sebab itulah boleh dikatakan bahawa pembangkang di Malaysia ini tidak berkualiti.
8. Baru-baru ini, Mahfuz Omar dalam kenyataanya yang disiarkan Harakahdaily mengaitkan sistem AES ini dengan kroni BN. Seperti biasa, perkara yang ada dalam fikiran mereka di kalangan pembangkang ini adalah politik. Mereka tak boleh dipisahkan dari politik. Bagi mereka, politik paling utama sehingga mereka mudah memanipulasi, menipu dan memfitnah semata-mata kerana politik. Kebenaran sudah tidak penting bagi mereka. Kenyataan Mahfuz boleh dibaca di sini.sila klik link ini
9. Mungkin sikap pemimpin pembangkan ini tidak suka mengikut peraturan. Mereka selalu melanggar peraturan dan undang-undang. Mungkin diatas sebab itu, mereka mencipta pelbagai alasan untuk mengelakkan diri daripada mengikut peraturan.
10. Untuk menguruskan sistem seperti AES ini, sudah tentu ianya memerlukan penyelenggaraan, pemantauan dan juga kalibrasi. Oleh itu, tidak menjadi masalah untuk pengurusan sistem ini diswastakan. Kita tidak mahu sistem ini bermasalah dan menjadi gajah putih di kemudian hari sekiranya sistem ini tidak diselenggara dengan baik.
11. Untuk pengetahuan bagi mereka-meraka yang mahu berfikir, sistem ini bukan bertujuan untuk mengutip duit atau menghukum. Sistem ini bertujuan untuk mendidik sikap pemandu agar memandu dengan perlahan dan mematuhi hadlaju yang ditetapkan.
12. Oleh kerana ianya berkonsepkan mendidik, maka lokasi kamera diwarwarkan. Kamera ini juga boleh dilihat dari jauh dan papan kenyataan juga diletakkan sebelum lokasi kamera ini supaya pemandu boleh bersiap sedia untuk memperlahankan kenderaan.
13. Tidak menjadi masalah sekiranya, pemandu hanya memperlahankan kenderaan di lokasi kamera dan selepas itu, melajukan semula kenderaan masing-masing. Ini kerana, pembentukan dan perubahan sikap tidak akan berlaku dengan drastik. Ianya memakan masa. Buat permulaan, pemandu akan memperlahankan kenderaan di kawasan berkamera, dan apabila perkara ini menjadi rutin, maka lama-kelamaan, pemandu akan sentiasa mengambil berat hadlaju sesuatu kawasan dan akan biasa memandu dengan perlahan.
14. Sekiranya pemasangan kamera ini dibuat dengan lebih meluas (difahamkan sebanyak 830 kamera lagi akan dipasang di Seluruh Malaysia), maka pemandu akan terpaksa memperlahankan kenderaan di banyak kawasan. Seterusnya, tabiat memperlahankan kenderaan ini akan menjadi rutin kebiasaan dan pemandu akan memandu dengan hadlaju yang ditetapkan dan tidak lagi memandu dengan begitu laju. InsyaAllah, sistem ini akan memberi kesan dalam mengurangkan kadar kemalangan jalan raya di Malaysia.
15. Saya amat gembira apabila melihat  pemandu memperlahankan kenderaan dikawasan kamera ini dan dapat dilihat semua kereta bergerak dengan halaju yang sama dan teratur. Kalau pemandangan seperti ini berlaku di kebanyakkan jalanraya/lebuhraya di Malaysia, InsyaAllah pemanduan kereta akan menjadi lebih menyenangkan dan lebih berhemah.
16. Lokasi kamera diberitahu, papan kenyataan amaran diletakkan lebih awal, kamera juga terpampang secara jelas. Sekiranya, masih ada pemandu yang memandu dengan laju sehingga ditangkap gambarnya dan disaman, jangan salah kan sistem ini. Salahkan diri anda sendiri yang terlalu bengap dan tak faham bahasa. Jangan gunakan alasan seperti `mengkayakan kroni' untuk menutup kebodohan anda.

No comments:

Post a Comment