Tuesday 2 October 2012

1,000 syarikat tubuh taska

 
 
Najib Tun Razak bersama Rosmah Mansor, Heng Seai Kae (tiga dari kiri) dan para penerima anugerah menyanyikan lagu IM4U pada majlis perasmian Hari Wanita Peringkat Kebangsaan 2012 di Pusat Konvensyen Sunway, Petaling Jaya, Semalam. - UTUSAN/Izham Jaafar 
 
PETALING JAYA 2 Okt. - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan menyasarkan sebanyak 1,000 syarikat swasta akan mendirikan taska di premis masing-masing dalam masa terdekat bagi menggalakkan golongan ibu menyertai pasaran kerja.

Perdana Menteri berkata, ia boleh dilaksanakan kerana kerajaan memberi pelbagai insentif kepada syarikat swasta untuk mendirikan taska seperti geran RM10,000 dan pelbagai potongan cukai menerusi peruntukan Bajet 2013 yang selari dengan pelan pembangunan awal kanak-kanak.

Kata Najib, beliau akan turut meminta Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr. Ali Hamsa melaksanakan usaha pembinaan taska di setiap kementerian, jabatan serta agensi kerajaan bagi tujuan sama.

Katanya, usaha itu diharap menggalakkan golongan ibu berpendidikan menyertai usaha pembangunan ekonomi negara tanpa perlu bimbang mengenai penjagaan anak di rumah akibat kepayahan mendapatkan khidmat pembantu rumah kini.

"Kerajaan berbelanja besar untuk pendidikan sehingga 68 peratus pelajar di universiti adalah wanita, tapi hanya 46 peratus sahaja wanita dalam pasaran kerja dan ini adalah kerugian besar negara kerana ada yang terkeluar daripada pasaran kerja walaupun ada pendidikan.

"Selain itu kita juga akan mendirikan taska untuk orang kurang upaya (OKU) yang tidak pernah kita buat dan kita nak mulakan tidak lama lagi. Inilah dasar mesra wanita serta mesra rakyat," katanya.

Najib yang juga pemangku Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Hari Wanita Kebangsaan 2012 dengan tema 'Wanita Pencetus Ekonomi Baru' di Pusat Konvensyen Sunway di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, kerajaan sentiasa mengiktiraf peranan wanita dalam pembangunan ekonomi negara apabila mereka bukan sahaja digalak menyertai perniagaan kecil-kecilan tetapi turut berperanan di peringkat pembuat dasar dalam sektor awam.

Malahan, katanya, penglibatan wanita dalam merangka dan menentukan dasar di sektor awam kini lebih ramai berbanding penyertaan mereka dalam sektor swasta.

Keadaan itu, menurut beliau, menunjukkan wanita zaman ini bersifat trifungsi iaitu sebagai isteri, ibu dan tenaga kerja.

"Kementerian kini sudah ada senarai 200 wanita berkelayakan tinggi dan syarikat senaraian awam swasta. Jangan beri alasan tidak dapat melantik wanita sebagai ahli lembaga pengarah, datang sahaja ke kementerian dan anda boleh pilih," katanya.

No comments:

Post a Comment