Wednesday 24 October 2012

Cabaran teknologi tingkat hasil pertanian

POPULASI penduduk dunia meningkat, kawasan pertanian mengecil, pemanasan global manakala sumber air dan tenaga semakin berkurangan. 

Apabila populasi meningkat, bagaimana hendak meningkatkan pengeluaran makanan dengan sumber terhad?
Justeru saintis mencipta kaedah organisma yang terubah suai secara genetik atau ringkasnya GM dalam bidang bioteknologi bagi mendapatkan tanaman yang lebih produktif, rintang perosak dan cuaca melampau.
Bagaimanapun pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dunia menentangnya dengan pelbagai alasan.
Ada yang mendakwa produk GM membawa kesan buruk kepada masyarakat dunia sehingga dilabelkan sebagai Frankestein Food.

Sebenarnya apa itu produk GM? Produk GM didefinisi sebagai organisma yang ditambah dengan DNA asing menggunakan kaedah bioteknologi dan tidak berlaku secara semulajadi.

Biasanya DNA asing ditambah bagi meningkatkan kualiti sesuatu tanaman seperti dalam kacang soya bagi rintang terhadap serangga.

Pengarah PG Economics Ltd. UK, Graham Brookes yang menjalankan kajian mengenai impak teknologi baru terhadap ekonomi, pertanian dan alam sekitar selama 25 tahun berkata, tanaman GM mula ditanam secara komersial di seluruh dunia sejak 1996.

"Pada tahun lalu saja 160 juta hektar kawasan pertanian oleh 16.7 juta petani dengan tanaman GM iaitu 90 peratus di negara membangun.

"Semua tanaman bioteknologi yang ditanam perlu menjalani pemeriksaan saintifik yang ketat oleh kerajaan merangkumi kesan kepada kesihatan dan alam sekitar sebelum dibenarkan ditanam," katanya semasa membentangkan kertas kerja bertajuk Impak Global Tanaman Bioteknologi: Kesan Ke Atas Ekonomi dan Alam Sekitar 1996-2010.

Seminar sehari itu bertajuk Teknologi GM bagi Keselamatan Makanan, Kesihatan dan Alam Sekitar Mapan anjuran Pusat Informasi Bioteknologi Malaysia (MABIC) dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) di Serdang, Selangor baru-baru ini.

Brookes berkata, selepas lebih 15 tahun menanam dan menggunakan tanaman GM, tidak terdapat bukti keburukan tanaman berkenaan kepada kesihatan, keselamatan dan alam sekitar.

Sehingga kini, Amerika Syarikat (AS), India, China dan Filipina telah menanam tanaman bioteknologi merangkumi kacang soya, kanola, jagung dan kapas.

"Kebanyakan tanaman yang ditanam sama ada rintang terhadap serangga atau insect resistant (IR) dan toleransi racun rumpai atau herbiside tolerance (HT)," katanya.

Justeru penggunaan kedua-dua tanaman IR dan HT bukan saja dapat meningkatkan pengeluaran bahkan meningkatkan taraf kesihatan dan alam sekitar.

"Penggunaan tanaman IR dan HT dapat mengurangkan pencemaran kerana penggunaan racun perosak dapat dikurangkan menyebabkan kurang kes keracunan di kalangan petani.

"Kajian menunjukkan penggunaan racun serangga di kawasan tanaman kapas di seluruh dunia dapat dikurangkan sehingga 170 juta kilogram setahun," katanya.

Brookes berkata, petani lebih suka tanaman GM kerana kebaikan yang diperolehi tetapi masalah timbul dengan penerimaan pengguna yang hanya mendengar daripada sebelah pihak.

Pengarah Eksekutif MABIC, Mahaletchumy Arujanan dalam kertas kerjanya GM Bukan Frankestein berkata, GM adalah cabaran bagi saintis untuk memberikan penerangan bagi menepis segala tuduhan yang anti-GM.

"Sebenarnya tiada kaitan antara Frankestein dan GM kerana evolusi dalam pertanian telah berlaku sejak beribu-ribu tahun lalu.

"Semua tanaman bermula dengan tumbuhan liar yang kemudiannya berevolusi menjadi tanaman yang boleh dimakan," katanya.

Malah kata Mahaletchumy, sesiapa saja pasti terkejut melihat induk asal jagung, gandum atau lobak sebelum berevolusi.

"Segalanya bagi mendapatkan produk yang lebih bagus," katanya.

Terdapat beberapa cara meningkatkan kualiti tanaman sama ada menggunakan kaedah konvensional atau moden termasuk GM.

Bagi kaedah GM, semuanya perlu mematuhi piawaian keselamatan antarabangsa yang ketat melibatkan pengeluaran biji benih sehingga ke meja makan.

Ini termasuk analisis seluruh tanaman, analisis biji benih, ciri-ciri keselamatan, toksikologi, penghadaman dan alam sekitar.

Pegawai Penyelidik Prinsipal MARDI, Indu Bala Jaganath berkata, Dasar Makanan Negara 2011 -2020 memastikan bekalan makanan mencukupi bagi seluruh rakyat negara ini.

"Satu bilion daripada tujuh bilion penduduk dunia akan kebuluran disebabkan harga makanan meningkat kerana bencana alam akibat pamasan global dan cuaca tidak menentu," katanya semasa membentangkan kertas kerja bertajuk Teknologi GM bagi Menangani masalah Keselamatan Makanan dan Perubahan Cuaca.
Masalah kemarau di Thailand memberi kesan kepada tanaman padi dan ubi, masalah serangga perosak betik, pisang dan padi memberikan kesan buruk kepada petani di negara ini.

"Justeru kajian perlu dijalankan bagi menghasilkan tanaman yang lebih rintang terhadap penyakit, cuaca melampau dan GM adalah jawapannya," katanya.

Buat masa ini MARDI menjalankan kajian mengenai toleransi tanaman terhadap kemarau, meningkatkan jangka hayat dan kerintangan terhadap penyakit.

"Kita tidak boleh terlepas pandang mengenai teknologi GM dalam usaha menangani masalah pertambahan populasi, perubahan cuaca dan kawasan tanah subur yang terhad.

"Faedah yang besar dalam tanaman GM akan membawa kejayaan keselamatan makanan," katanya.
Pensyarah Sains Haiwan, Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr. Jothi Malar Panadam berkata, biasanya GM dalam industri ternakan adalah makanan haiwan yang terdiri daripada jagung dan soya serta haiwan transgenik.

"Bagaimanapun ternakan GM belum lagi dihasilkan kerana kos pengeluaran yang tinggi, isu etika dan polisi.
"Biasanya haiwan ternakan GM lebih kepada kerintangan terhadap penyakit bagi mengelakkan penternak berhadapan dengan kerugian apabila berlaku sesuatu wabak," katanya semasa membentangkan kertas kerja bertajuk Potensi GM dalam Industri Ternakan Malaysia.

Misalnya ayam GM yang tidak menjangkitkan selesema burung kepada manusia dan lembu yang rintang kepada penyakit lembu gila di Korea.

Bagaimanapun semua haiwan ternakan GM perlu mematuhi kelulusan Codex Alimentarius Commission.
Selain untuk makanan, haiwan ternakan GM juga digunakan untuk kegunaan perubatan dan farmaseutikal seperti biopharming (haiwan sebagai bioreaktor) dan xenotransplant (pemindahan organ haiwan kepada manusia).

Masalah timbul apabila terdapat pihak yang bimbang mengenai keselamatan, retrovirus dan kemungkinan menghasilkan makhluk gergasi.

Pensyarah Program Sains Gunaan dengan Pengajian Islam, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM), Shaikh Mohd. Saifuddeen Shaikh Mohd. Salleh berkata, Majlis Fatwa Kebangsaan pada 1999 menetapkan sebarang produk yang menggunakan DNA babi adalah haram mengikut hukum Islam dan tidak dibenarkan sama sekali.

Penggunaan bioteknologi dalam DNA babi belum sampai ke tahap darurat dan mempunyai pilihan lain.
"Pada 2011 pula, penggunaan bahan bagi menghasilkan makanan GM serta berbahaya kepada manusia dan alam sekitar adalah haram.

"Bagaimanapun penggunaan ternakan halal dibenarkan bagi menghasilkan makanan GM asalkan haiwan disembelih mengikut hukum syarak," katanya.

Bioetika Islam berdasarkan pendekatan maqasid sebagai kayu pengukur bagi memastikan produk GM mematuhi hukum syarak.

Credit: Utusan

No comments:

Post a Comment