Wednesday 17 April 2013

Van sekolah jadi rezeki Azmi

Seorang usahawan bumiputra yang xkenal perkataan berputus asa

Credit: Utusan

Azmi wahab kini memiliki tiga buah van sekolah dan dia turut menggajikan pembantu. 
 
AZMI Wahab, 52, memang sibuk orangnya. Beberapa kali penulis dengan dibantu Eksekutif Agihan Daerah Petaling, Syahril Ritin cuba mengaturkan pertemuan namun sering kandas di pertengahan. Akhirnya, Allah SWT mengizinkan kami bertemu. Di suatu pagi yang cerah di sebuah bangku batu di tepi sebuah rumah di Seksyen 8, Shah Alam, kami menghabiskan masa dengan sedikit tergopoh-gapah kerana dia memang perlu segera bergegas untuk melunaskan kewajipannya sebagai pemandu van sekolah.

"Saya ini berasal dari Johor dan pada 1984 saya berpindah ke Selangor. Dahulu saya pernah menjawat jawatan pegawai kerajaan, tetapi saya tidak betah makan gaji dan ia bertahan selama dua tahun sahaja. Selepas itu, bermulalah episod jatuh dan bangun saya dalam dunia perniagaan yang saya ceburi sehingga ke saat ini," kata Azmi.

Berdasarkan kisah yang dipaparkan, penulis melihat bahawa Azmi mempunyai latar belakang perniagaan yang rencam. Maklumlah, sejak 1989 sehingga sekarang, dia telah menjalankan pelbagai jenis perniagaan.
"Saya pernah menjual barangan elektrik dengan membuka kedai barangan elektrik, pernah menjual gas. Kemudian saya meniaga makanan di kantin sebuah kilang dan ia memang menguntungkan. Pada masa yang sama, saya juga cuba mengembangkan cabang perniagaan saya dalam dunia pembinaan dengan mengambil kerja-kerja kontrak pembinaan di Kuala Lumpur," katanya.

Selalunya begitulah, adat orang berniaga tidak akan duduk diam demi mencari sebanyak mungkin laba. Bagi Azmi, keputusannya berhenti makan gaji dan penat lelah menceburi dunia perniagaan, memang telah mendatangkan hasil yang amat lumayan.

"Waktu itu, pendapatan saya pernah mencecah RM50 ribu sebulan," tegasnya.

Namun, Azmi menyedari bahawa dalam tindak-tanduknya, sentiasa ada ruang-ruang yang memungkinkan dia terjerlus dan melakukan kekhilafan. Bagi Azmi, beberapa kali mendapat teguran daripada Allah SWT dengan diberikan musibah demi musibah ke atas dirinya, adalah suatu peringatan agar dia tidak boleh sama sekali merasa reda dengan sebarang elemen 'dosa' yang meresap masuk dalam perniagaannya.
"Saya masih ingat, dulu sewaktu menjalankan perniagaan gas, saya telah didatangi seseorang dan menawarkan kepada saya untuk membeli tong-tong gas kosong pada harga yang murah, kira-kira separuh harga daripada tong gas yang ada di pasaran.

"Saya membeli banyak sekali tong gas itu, dua lori. Akibatnya, tidak lama kemudian saya kemalangan. Saya sedar, ini adalah teguran daripada Allah SWT sebabnya dari awal lagi saya sudah mengesyaki bahawa tong gas yang saya beli itu adalah tong gas curi, kerana harganya amat murah dan tidak masuk akal," kata Azmi.
Beberapa pengalaman lain mengukuhkan lagi kepercayaan di minda dan hati Azmi, bahawa dia memang tidak boleh sama sekali bertoleransi dengan sebarang anasir tidak baik, seperti menipu dan sebagainya. Natijahnya, sehingga kini Azmi amat menjaga agar dirinya tidak terjebak lagi dengan sebarang keraguan dalam urusan perniagaan.

"Namun, adakalanya saya diuji dengan kejahatan di pihak lain dan juga tiadanya persefahaman dengan rakan kongsi. Ini juga perkara yang tidak baik untuk sesebuah perniagaan, kerana ia akan memberikan kesan negatif. Saya sendiri sudah melaluinya."

Azmi juga masih ingat, sekitar awal tahun 2000 dia mendapat peluang menceburi bidang pembinaan dengan terlibat secara langsung dalam pembinaan sebuah kompleks besar di Kuala Lumpur.

"Mula-mulanya, saya hanya diberikan projek sekadar puluhan ribu sahaja. Lama-kelamaan, ia meningkat sehingga ratusan ribu. Saya melihat, peluang untuk saya menjadi jutawan bagaikan sudah terbuka, sehinggalah saya mendapat tahu di dalam transaksi yang berlaku, wujudnya elemen rasuah dan menzalimi orang lain. Dari situ saya sedar, saya tidak akan bertahan lama kerana Allah SWT pasti akan 'memperingatkan' saya," katanya.

Benar telahan Azmi, tidak lama kemudian dia jatuh terduduk. Bisnesnya luluh dan dia mencari peluang lain menjana kehidupan. Daripada berniaga ratusan ribu, dia akhirnya menjalankan perniagaan apam balik di tepi jalan.

"Sehinggalah suatu hari pada 2004, ada pihak yang meminta saya menghantar anak-anak mereka ke sekolah. Itulah permulaannya saya menjalankan perniagaan ini."

No comments:

Post a Comment