Tuesday 23 April 2013

Hannan Foods minat ambil alih projek NFC

Syarikat Jepun pun berminat dengan pasaran lembu di Malaysia, bagaimana dengan orang tempatan..takkan nak biarkan orang luar mengawal pasaran dalam negara..jom mulakan perniagaan/perternakan anda


Credit: Berita Harian


Hannan Foods minat ambil alih  projek NFC
 
Hannan Foods Group (HFG) memutuskan untuk turut terbabit dalam pengambilalihan projek Pusat Fidlot Nasional (NFC) berikutan konsep perniagaannya yang berdaya maju, peluang meneroka industri halal serta infrastruktur yang sudah sedia dibangunkan.

Firma penternak lembu terbesar dan kumpulan pengeluar produk makanan kedua terbesar di Jepun itu menerusi Kirimitonas Agro Sdn Bhd (KASB) iaitu syarikat usaha samanya dengan Otoshitos Sdn Bhd, Jumaat lalu memeterai surat hasrat bagi memulakan rundingan untuk mengambil alih semua aset dan liabiliti National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCSB), iaitu pengendali projek berkenaan.

HFG menerusi syarikat tujuan khas (SPV) pelaburan dan pengembangan perniagaan antarabangsanya, Aruk Mert Co Ltd (Aruk Mert) memiliki 40 peratus ekuiti dalam KASB, manakala 60 peratus lagi dimiliki syarikat tempatan, Otoshitos Sdn Bhd.


Pengarah Aruk Mert, Kakishima Takaaki, berkata HFG yakin konsep perniagaan NFC adalah berdaya maju kerana ia hampir menyamai perniagaan HFG yang dimulakan di Jepun selepas Perang Dunia Kedua lebih 65 tahun lalu susulan kebimbangan kerajaan negara itu mengenai isu jaminan makanan.

Berdasarkan pengalaman, jika kita mahu berdaya maju dalam industri sebegini, kita perlu terbabit dalam menyediakan penyelesaian menyeluruh, daripada aktiviti penternakan, pemprosesan daging, pengeluaran makanan ternakan dan pemasaran.

Projek berpotensi besar

Apabila melihat NFC, kami seolah-olah menemui konsep sama seperti dilaksanakan di Jepun. Kami memiliki teknologi dan kaedah pengeluaran yang boleh dipindahkan ke sini. Projek ini berpotensi besar. Kami mahu bertapak di sini untuk mengembangkan perniagaan ke pasaran baru," katanya pada sesi temubual bersama akhbar kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) di Kuala Lumpur, kelmarin.
Yang hadir sama ialah Pengerusi KASB dan Pengarah Eksekutif Otoshitos, Datuk Nik Mod Amin Abd Majid.

Takaaki berkata, pasaran daging lembu di Jepun yang sudah mencapai tahap tepu menjadi antara sebab kumpulan itu mula mengembangkan perniagaan di peringkat global khususnya pasaran produk makanan halal yang berpotensi besar.

"Penerokaan produk makanan halal adalah matlamat utama dalam langkah pengembangan perniagaan kami di luar Jepun dan negara terbaik untuk menjadi tapak pengeluaran produk halal tentunya Malaysia.

Ini berikutan penjenamaan produk halal Malaysia sudah diterima di peringkat global. Malaysia juga adalah pusat kepada ekonomi ASEAN. Hannan mahu menjadikan Malaysia sebagai hab pengembangan perniagaan di rantau ini dan Asia Barat, dan kami melihat peluang itu ada pada NFC," jelas beliau.

Sementara itu, Nik Mod Amin berkata, Hannan melihat NFC sebagai jalan pintas untuk meneroka pasaran produk makanan halal dan mengembangkan perniagaan di rantau ini.

Katanya, jika mereka mahu meneroka sendiri dengan memulakan tapak dari peringkat bawah, ia akan memakan masa.

Edar daging berkualiti

NFC sebaliknya sudah siap membangunkan ladang model seluas 1,500 hektar. Ketika melaksanakan kajian terperinci kira-kira setahun lalu, kami dapati semua kemudahan sudah tersedia termasuk rumah penyembelihan. Jika nak mulakan sendiri kemudahan seperti itu, ia akan mengambil masa hingga lima tahun.

Selain itu, sebahagian ladang satelit juga sudah dibangunkan. Seperti dalam Perjanjian Pelaksanaan NFC, kerajaan akan membangunkan 310 ladang ternakan satelit dan kontrak. Setakat ini, 71 sudah beroperasi dan ia adalah satu daya tarikan. NFC setakat ini juga sudah berupaya mengedar daging berkualiti," katanya.

Industri bekalan daging lembu di negara ini juga dilihat berpotensi besar kerana kini hanya 24 peratus bekalan daging di dalam negara dibekalkan pembekal tempatan, manakala baki 76 peratus lagi adalah diimport.

No comments:

Post a Comment