Hannan Foods Group (HFG) bercadang menjadikan Malaysia pusat pengeluaran Asia bagi daging premium yang sama mutunya dengan daging 'wagyu' yang dihasilkan di negara matahari terbit itu.

Pengarah syarikat tujuan khas pelaburannya Aruk Mert Co Ltd, Kakishima Takaaki, berkata pihaknya sudah pun mempunyai nama bagi produk bergred tinggi itu, iaitu 'Malay Beef'.
Katanya, kumpulan itu berhasrat membawa teknologi ternakan dan penghasilan produk premium itu jika kerjasamanya dengan Otoshitos Sdn Bhd untuk terbabit dalam projek Pusat Fidlot Nasional (NFC) menerusi pengambilalihan National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCSB) menjadi kenyataan.


"Kami ingin membangunkan industri itu di sini. Kami mempunyai pengalaman lebih 65 tahun dalam industri ternakan lembu di Jepun. Namun, berikutan kos tenaga kerja di Jepun yang tinggi sementara penghasilan daging wagyu mempunyai kaedah ternakan tersendiri yang mana hanya memakan bahan organik tanpa kimia, ia menjadikan harga produk itu mahal.

Pindah teknologi ke Malaysia

"Sasaran kami di pasaran Asia adalah untuk menjadikan Malaysia pengeluar daging berkualiti sama seperti daging wagyu yang dikeluarkan di Jepun," katanya. pada temubual dengan akhbar kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) di Kuala Lumpur, kelmarin. Yang turut hadir, Pengerusi KASB dan Pengarah Eksekutif Otoshitos, Datuk Nik Mod Amin Abd Majid.

Takaaki berkata, lembu yang menghasilkan daging wagyu kini berharga kira-kira RM60,000 seekor dan negara pengeluar daging utama seperti Australia dan Amerika Syarikat juga sudah mula mengeluarkan produk sama.
Katanya, syarikat Jepun itu bercadang menjalinkan kerjasama dengan Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi urusan pemindahan teknologi dan latihan tenaga kerja mahir.

"Kami akan memindahkan teknologi itu ke sini, namun ada masalah dari segi bekalan makanan ternakan dan latihan tenaga mahir. Kami yakin UPM dapat menyokong menerusi kerjasama modal insan," jelasnya.

Sementara itu, Nik Mod Amin berkata, projek NFC dapat mewujudkan pelbagai industri sampingan termasuk penghasilan daging bergred tinggi seperti wagyu, selain pengeluaran makanan ternakan daripada sisa sawit serta gelatin dan bahan kosmetik halal.