Friday 19 April 2013

Potensi industri perkahwinan

Salah satu bidang yang menjanjikan peluang peniagaan yang berterusan dan keunutngan lumayan..


Potensi industri perkahwinan

 
Pasangan bertemu dan bercinta, mengikat janji setia, lantas berakhir di jenjang pelamin. Sudah pasti majlis perkahwinan diadakan untuk meraikan raja sehari sama ada secara sederhana atau besar-besaran semuanya bergantung kepada bajet individu.

Pastinya, orang yang paling sibuk apabila tiba musim perkahwinan ialah mereka yang terbabit dalam industri berkaitan terutama pada zaman ini semakin ramai yang menggunakan khidmat perunding perkahwinan, selain butik, katering, jurukamera dan jurufoto.
Meskipun nampak seakan kecil, namun industri berkaitan mampu menjana pendapatan kepada rakyat dan negara. Malah dengan kepelbagaian budaya, agama dan tradisi perkahwinan mengikut kaum masing-masing menjadikan industri ini tidak pernah mati, sebaliknya sentiasa ada orang yang ingin menamatkan zaman bujang.


Mengulas mengenai laba dalam bidang ini, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Donald Lim, berkata lebih 1,000 butik perkahwinan di Malaysia dianggarkan memperoleh pendapatan sehingga RM150,000 sebulan bagi setiap butik.

Katanya, ini membuktikan cinta dapat mengatasi segala-galanya sekalipun ketika menghadapi kegawatan ekonomi.

“Dalam apa juga keadaan, semua pihak mampu menyumbang kepada peningkatan ekonomi negara. Di Pejabat Pendaftaran Perkahwinan, umpamanya memperlihatkan seramai 180,000 pasangan mendaftarkan diri untuk perkahwinan, sepanjang tahun lalu.

“Melihat barisan yang panjang di Pejabat Pendaftaran Perkahwinan itu sudah cukup jelas menunjukkan potensi industri perkahwinan di Malaysia semakin berkembang. Perniagaan perkahwinan bukan saja dapat memberi pulangan yang menguntungkan kepada negara, tetapi pada masa sama, boleh menjadi faktor yang menarik pelancong asing datang ke Malaysia,” katanya pada majlis pelancaran Pameran Pengantin ‘Romance in Fate’ 2013, di pusat konvensyen Mid Valley, baru-baru ini.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Life’s Magazine, Law Beng Chee.

Potensi rentas dunia

Donald Lim berkata, jumlah pendapatan yang diperoleh daripada industri perkahwinan tempatan akan terus meningkat sekiranya masyarakat tempatan tidak menggunakan perkhidmatan perunding perkahwinan luar negara.

“Masyarakat tempatan perlu beringat bahawa ‘hanya jauhari mengenal manikam’ kerana ramai pakar perunding perkahwinan tanah air sudah berjaya memasuki pasaran luar negara. Malah, lebih bangga apabila ada pelanggan asing yang sanggup datang ke Malaysia untuk mendapatkan hasil kerja tangan lebih berkualiti daripada bakat dan kebolehan pereka tempatan,” katanya.

Contohnya, pakaian pengantin dalam majlis perkahwinan bukan sekadar pakaian untuk perkahwinan, tetapi rekaan tempatan menjadi lambang dan wajah untuk Malaysia di pasaran antarabangsa.

Beliau yakin industri perkahwinan akan terus berkembang tidak saja di negara ini, malah merentasi sempadan dunia.

Ketika ini, Malaysia bukan hanya lagi terkenal menghasilkan kelapa sawit dan getah, malah mungkin suatu hari nanti berpotensi dalam industri perkahwinan. Melihat kepada prospek lebih meluas, industri perkahwinan perlu dipromosikan untuk faedah pembangunan negara.

Bawah satu bumbung

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Life’s Magazine, Law Beng Chee, berkata sebelum menempuh alam itu, pelbagai persediaan perlu dilakukan bagi memastikan majlis berjalan lancar dan meninggalkan seribu kenangan indah.

Katanya, ia bermula dengan perancangan majlis, sesi fotografi, memilih busana pengantin, solekan hingga pemilihan menu untuk tetamu.

“Meskipun kini di pasaran ada banyak khidmat perancangan perkahwinan yang menyediakan segala kelengkapan perkahwinan tetapi dengan variasi yang ada bakal pengantin masih lagi menghadapi masalah memilihnya. Oleh kerana itu, kita menganjurkan pameran pengantin bagi menghimpunkan semua pengamal industri perkahwinan di bawah satu bumbung,” katanya ditemui pada majlis sama.

Sebanyak 75 syarikat dengan lebih 150 gerai pameran termasuk butik perkahwinan, dewan majlis di hotel dan restoran serta pusat kecantikan itu diadakan sebagai panduan bakal pengantin mendapatkan maklumat sebelum mengadakan majlis bersejarah.

Law berkata, pameran pengantin itu mempamerkan segala keperluan di bawah satu bumbung dan semestinya dapat menyelesaikan segala persoalan.

Pelancaran itu turut menampilkan beberapa pertunjukan fesyen pakaian pengantin yang indah dengan rekaan terkini. Mengambil tempat menyerikan majlis pameran, pereka gaun pengantin yang terkemuka iaitu D&L Couture, Dominique Chan, David Tay dan juga Key Ng, masing-masing tampil dengan rekaan unik dan tersendiri.

No comments:

Post a Comment