Tuesday 16 April 2013

Undang-undang khas halang perang perlu wujud seluruh dunia

Kami sentiasa menyokong anda

Credit : Utusan

Dr. Mahathir Mohamad bersama Dr. Rosli Mohamed (tiga dari kiri) menunjukkan Piagam Kelab 
Menjenayahkan Peperangan sambil diperhatikan oleh Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali pada majlis Pelancaran Kelab Menjenayahkan Peparangan (CWC) di Kolej Tunku Kurshiah di Bandar Enstek, Nilai, semalam. - UTUSAN/Abd. Razak Aid 
 
SEREMBAN 11 April - Undang-undang khas bagi menghalang peperangan harus diwujudkan di seluruh dunia dalam usaha mencegah usaha itu dijadikan penyelesaian dalam konflik antara negara.

Penaung Yayasan Menjenayahkan Perang Kuala Lumpur (KLFCW), Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, pelaksanaan itu perlu supaya penetapan maksud peperangan merupakan jenayah dapat dicapai.

Beliau yang juga bekas Perdana Menteri berkata, usaha itu juga selari kehendak kemakmuran dan keamanan yang diharapkan seluruh masyarakat dunia.

"Di Jepun, sudah diwujudkan undang-undang yang menghalang mana-mana pihak menggunakan perang bagi penyelesaian pertikaian dengan negara lain.

"Walau bagaimanapun, jika diserang mereka berhak mempertahankan negara. Sebab itulah di Jepun, mereka punyai Pasukan Pertahanan Jepun yang hanya mempertahankan negara semata-semata bukan untuk menyerang," katanya.

Dr. Mahathir berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar sempena majlis Pelancaran Kelab Menjenayahkan Peperangan (CWC) di Kolej Tunku Kurshiah, Bandar Enstek, Nilai, dekat sini hari ini.
Yang turut hadir, isterinya yang juga Pengasas CWC, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali dan Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Datuk Dr. Rosli Mohamed.

Menurut Dr. Mahathir, undang-undang itu sekiranya dapat diwujudkan di setiap negara membolehkan negara yang bertindak memulakan peperangan dikenakan tindakan mengikut peruntukan undang-undang antarabangsa.

"Hari ini pun sudah ada mahkamah akan membicarakan mereka yang terlibat dengan jenayah peperangan, tetapi malangnya peperangan itu sendiri tidak dijadikan jenayah.

"Ini kerana undang-undang di mahkamah itu hanya mencegah daripada melakukan jenayah tertentu semasa peperangan, tetapi peperangan masih diizinkan, sedangkan tujuan kita ialah menjadikan perang itu sendiri sebagai jenayah," katanya.

Beliau turut berpendapat, negara yang kuat dari segi ketenteraan tidak menyokong idea itu kerana mahu menggunakan perang sebagai cara menekan negara lain untuk akur dan menerima desakan mereka.

"Kita tahu Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah dari zaman dahulu suka berperang dan suka mengambil harta orang lain, oleh itu mereka tidak mahu menerima perang dianggap sebagai jenayah," katanya.

No comments:

Post a Comment