Wednesday 17 April 2013

Senjata baru salur maklumat

Selamat berkempen PRU-13, gunakan segala senjata yang anda. Moga tidak menyesal kemudian hari.

Credit: Metro

Selepas parlimen dibubarkan pada 3 April 2013 lalu, secara tidak langsung ia memulakan perang kempen yang rancak.

Pada zaman moden, perang kempen bukan lagi hanya terhad kepada tingginya bendera tergantung di pokok, ‘banner’ di tepi jalan berhampiran lampu isyarat dan risalah dari rumah ke rumah yang diedarkan petugas parti bertanding.

Perkemba­ngan media alternatif, terutama laman blog yang dipandang sebelah mata oleh beberapa pihak hingga ada yang menggelarkan penulis blog atau blogger sebagai ‘goblok’ (bahasa Jawa yang bermaksud bodoh) mula menonjol pada pilihan raya umum (PRU) ke-12 2008.

Tiada siapa menjang­kakan waktu itu, blog mampu menjadi senjata sehingga menghasilkan tsunami politik yang tercatat dalam sejarah Malaysia.

FotoGOOGLE+ mudah digunakan.


Kini, lima tahun selepas PRU ke-12, rakyat negara sekali lagi bakal mengundi yang bermakna parti bertanding memikirkan strategi berkesan untuk menambat hati mereka sekali gus memberi undi diharapkan.

Apatah lagi, PRU 2013 kini boleh disifatkan sebagai acara membuang undi untuk orang muda yang mana statistik dikeluarkan menunjukkan pengundi muda merangkumi 38.8 peratus atau 4.5 juta daripada keseluruhan 12 juta pengundi di negara ini.

Oleh itu, timbul pula persoalan sejauh mana golongan muda mampu menjadi penentu keputusan pilihan raya dan apakah jenis kempen yang diinginkan mereka pada zaman moden sesuai dengan selera minda mereka.

Tambahan pula, statistik Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menunjukkan penembusan jalur lebar kini mencecah lebih 65 peratus yang membuka peluang kepada medium baru terutama membabitkan video serta ‘stream’ untuk akses di kalangan pengguna.

Statistik pada akhir 2012 juga menunjukkan kadar penembusan telefon bimbit sehingga 142 peratus yang membuka peluang baru kepada kempen efektif dan bukan terhad kepada khidmat pesanan ringkas semata-mata.

Selain itu, kepopularan tablet juga akan menjadi pendorong utama kepada mobiliti yang mempengaruhi kempen online.

Agensi penyelidik Gartner menganggarkan pada 2012 pembelian tablet mencapai 13 juta unit dan menjadi lebih tiga kali ganda menjelang 2016 iaitu sebanyak 53 juta unit.

Bagi sebuah parti politik, mereka perlu mengambil perhatian terhadap penggunaan teknologi dan mengguna pakai kecanggihan maklumat supaya tidak ketinggalan dan terus kekal bersaing dalam politik moden.

Mana-mana ahli yang tidak memberikan maklum balas sewajarnya kepada implikasi penggerak sosial, mudah alih, ‘cloud’ dan maklumat berdepan dengan cabaran sengit.

Implikasi yang dipacu pendesak ini menerusi pel­bagai medium alternatif di dunia online dan teknologi amat signifikan sekali gus menunjukkan kepentingan berkempen secara efektif dan berkesan.

Ketika ini, terdapat kempen menggunakan SMS yang dihantar kepada pengguna daripada organisasi tidak dikenali meminta kita sebagai pengguna memperhalusi tindakan mengundi memberi kesan kepada masa depan.

Namun, ada juga yang memperkenalkan diri dalam SMS itu mewakili parti tertentu untuk meminta pengguna telefon mengundi mereka.

Peliknya, pengguna sendiri tidak mengetahui bagaimana nombor telefon mereka diperoleh pihak tertentu sehingga menerima SMS yang kadang kala menjangkau sehingga lebih lima SMS seminggu.

Rata-rata pengguna terutama golongan muda yang menyalin semula SMS terbabit dan memindah turunnya ke laman sosial seperti Facebook atau Twitter mengatakan mereka kurang menggemari taktik terbabit disifatkan sudah lapuk.

Malah, pengguna beranggapan ia mengganggu kehidupan peribadi apabila telefon mereka berdering pada masa tidak sesuai.

Jadi, trend PRU 2013 bakal menyaksikan keupayaan video dan aplikasi pada peranti mudah alih yang membuka peluang kepada dimensi baru mewujudkan perkongsian maklumat yang membabitkan rakyat negara ini lebih berilmu sebelum membuat keputusan.

Kebanjiran laman video yang menyalurkan siaran secara langsung menjelang PRU ke-13 bakal mening­galkan kesan, sekali gus mengejutkan pihak yang ada memperkecilkan kemampuannya mempe­ngaruhi minda pengundi.

Kehangatan pengaruh siaran langsung online seperti stream mahupun YouTube terbukti memberi kesan besar apabila ia digunakan secara berkesan dalam kempen pilihan raya, terutama daripada parti pembangkang atau individu yang kebanyakannya lebih cenderung kepada mereka.

Sekiranya pada 2008, terdapat kajian yang mendapati 70 peratus keputusan pilihan raya dipengaruhi maklumat yang dipaparkan dalam blog, apatah lagi maklumat secara visual menerusi video mudah mengubah satu pangkah rakyat.

Sebelum ini, Malaysia memiliki hampir 500,000 blog aktif membuktikan penggunaan blog sangat berkuasa dalam mempe­ngaruhi pemikiran rakyat berkaitan politik.

Namun pada masa kini terutama kepada penduduk bandar besar seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor Bahru, Kuching dan Kota Kinabalu, stream kini mempunyai jangkauan penyebaran maklumat yang sangat berkesan memandangkan jumlah pengguna Internet bertambah setiap hari.

Pengaruhnya terhadap senario politik tempatan sudah bermula sejak Facebook dan Twitter digunakan secara meluas di kala­ngan ahli politik yang berjaya memanfaatkan media alternatif terus bergerak pantas dan menarik lebih ramai pembaca atau penonton.

Trend itu diteruskan apabila seorang ahli politik negara diiktiraf Google sebagai ahli politik pertama di Asia Tenggara yang menggunakan laman sosial video Google Hangout untuk berinteraksi dengan penyokong dan masyarakat umum.

Google Hangout adalah sidang video yang membolehkan subjek utama berkomunikasi dengan pelbagai pengguna lain memaparkan wajahnya di skrin utama selain wajah pengguna lain di skrin bawah.

Sebelum ini, Presiden Amerika Syarikat, Barrack Obama dan Perdana Menteri Australia, Julia Gillard turut menggunakan Google Hangout untuk berinteraksi dengan rakyat. Menurut Google, ia menerima lebih 22,000 tontonan secara langsung dan lebih 100,000 tontonan secara keseluruhannya selepas acara terbabit.

Kaedah kempen baru menggunakan stream menerusi laman tersedia seperti Ustream dan Livestream memberi kesan positif kepada penyebaran maklumat.

Misalnya, ceramah tokoh politik terkenal yang berlangsung di Perlis turut mampu ditonton secara langsung di depan skrin besar di Taman Medan, Petaling Jaya sekiranya anggota parti bersedia menyiapkan prasarana teknologi mudah dan tidak berkos tinggi.

Cukup sekadar mempunyai laptop, kamera video, langganan data Internet dan projektor untuk memancarkan ceramah secara langsung.

Stream video bakal menjadi kemudahan yang diperkenalkan kepada pengguna di rumah mampu menyiarkan rancangan menggunakan standard jalur lebar mampu diakses di kebanyakan lokasi disediakan syarikat telekomunikasi.

Stream video yang disesuai dengan standard terbaru H.264 mampu merealisasikan komunikasi moden di kalangan pengguna.

Standard H.264/AVC mampu mewujudkan piawaian yang mampu menghasilkan mutu video terbaik pada kadar bit jauh lebih rendah berbanding piawaian terawal.

H.264/AVC banyak digunakan dalam pelbagai aplikasi termasuk penyiaran televisyen secara stream ke video untuk peranti mudah alih.

Di samping itu, parti politik mampu berkempen hanya dengan menggunakan telefon pintar dengan aplikasi stream untuk berceramah.

Aktifkan aplikasi terbabit dan promosikannya di laman sosial dan ceramah anda sudah bersedia ke dunia online pada bila-bila masa.

Bayangkan, pada Ahad lalu terdapat seorang ahli politik tidak dibenarkan memasuki negeri tertentu mampu menyiarkan ceramahnya secara langsung terus kepada penduduk yang hadir ceramahnya secara online menunjukkan teknologi canggih melangkaui sempadan halangan.

Semuanya terhasil dengan teknologi seperti kamkoder yang turut boleh dipasang di kepala seperti set kepala atau di helmet, produk ini berfungsi dengan baik manakala saiznya yang kecil dan ringan tidak mengganggu pergerakan di bahagian kepala.

Unit kamkorder terbabit dihubungkan dengan kabel sepanjang 60 sentimeter kepada unit perakam seberat 115g yang kebiasaannya di letakkan di pinggang boleh ditetapkan untuk pandangan ‘fish eye’ atau biasa, sokongan WiFi dan penyiaran langsung Ustream membolehkan aksi rakaman dipindah naik terus ke laman web atau peranti mudah alih yang berada dalam jarak liputan WiFi.

Teknologi mudah alih juga menyaksikan beberapa parti politik mempunyai aplikasi telefon pintar sendiri yang membawa berita terkini, kemudahan semakan daftar pengundi, infografik penuh data, video ceramah dan jadual aktiviti.

Salah satu parti politik di Malaysia, Parti Keadilan Rakyat (PKR) mempunyai aplikasi itu yang beroperasi pada platform iOS dan Android yang dipindah turun secara percuma bermula 25 Mac lalu.

Zaman kini menyaksikan perubahan moden yang bukan bergantung kepada berapa banyak bendera yang digantung ataupun kain rentang untuk menyampaikan maklumat.
Malah, dengan hanya menggunakan telefon, kempen anda mampu menemui 12 juta pengundi negara ini.

No comments:

Post a Comment