Wednesday, 24 April 2013

Kebenaraan azab Allah

Credit: Utusan

bahagian hadapan makam Nabi Lut AS. 
 
DALAM pengertian keagamaan, hukuman yang ditimpakan kepada seseorang sebagai akibat daripada perbuatannya disebut azab. Hukuman itu sendiri terbahagi kepada dua, iaitu yang berasal daripada Allah SWT dan yang dilakukan oleh suatu golongan terhadap golongan lain.

Contoh hukuman daripada Allah SWT adalah hukuman yang ditimpakan kepada Firaun dan para pengikutnya agar mereka menyedari kekeliruannya dan kembali ke jalan yang benar. (maksud al-Quran, surah az-Zukhruf, ayat 48). Contoh hukuman daripada suatu golongan kepada golongan yang lain adalah seksaan yang dilakukan Firaun serta para pengikutnya terhadap Bani Israel dan pembunuhan semua bayi lelaki mereka. (al-Baqarah: 49, al-'Araaf: 141, Ibrahim: 6 dan ad-Dukhaan: 30-31)

Dalam al-Quran dijelaskan bentuk dan sebab azab. Contoh sebab azab kerana kafir kepada Allah SWT diterangkan dalam surah al-Anfal ayat 35, dan mendustakan ayat-ayat Allah SWT dalam surah al-'Araaf ayat 36-39.

Salah satu contoh bentuk azab Allah SWT di neraka adalah minuman daripada air yang sedang mendidih. Ini terdapat dalam surah al-An'am ayat 70.

Pada umumnya, kaum Asy'ariyah (penganut aliran Asy'ariyah) meyakini adanya azab Allah SWT yang ditimpakan kepada manusia ketika masih berada di dunia ini. Dalam al-Quran dikisahkan adanya azab dalam pelbagai bentuk bencana alam.

Bangsa-bangsa terdahulu yang ingkar atau zalim tertimpa bencana itu, misalnya angin kencang yang amat dingin dan membinasakan kaum Ad (al-Haqqah: 6)

Nabi Hud AS diutus Allah SWT untuk memberi peringatan kepada kaum Ad yang sesat (al-Ahqaf: 21) kerana mereka menyembah objek lain selain Allah SWT.

Mereka tidak mahu mendengarkan Nabi Hud dan tetap membangkang. Akhirnya, Allah SWT menurunkan azab kepada kaum Ad dalam dua tahap. Salah satu azabnya berupa kekeringan atau kemarau yang sangat dahsyat.

Sebelum bencana banjir diturunkan, Nabi Nuh AS sudah mengingatkan umatnya akan azab Allah SWT. Namun mereka tetap membangkang dan menolak ajakan Nabi Nuh AS. Akhirnya bencana banjir besar ditimpakan kepada kaum Nabi Nuh AS kerana mereka berbuat zalim. Atas perintah Allah SWT, Nabi Nuh AS dan kaumnya yang bertakwa membina bahtera besar agar mereka terhindar daripada bencana bah (banjir besar).

Menurut tafsir Ibnu Katsir, ada dua pendapat tentang azab kubur. Pertama, menyatakan bahawa azab kubur berbentuk penyeksaan secara fizikal, sedangkan yang kedua berpendapat bahawa azab kubur hanya merupakan pengalaman rohani. Meskipun demikian, tidak semua ulama, terutama ulama moden, berpendapat bahawa azab kubur itu ada. Sebahagian daripada mereka tidak percaya akan adanya azab kubur.

Para ahli ilmu kalam berpendapat bahawa azab di akhirat berlaku secara fizikal. Hal ini didasarkan pada keyakinan mereka tentang adanya kebangkitan jasmani seperti dinyatakan dalam firman Allah SWT yang bermaksud: Siapakah yang dapat menghidupkan tulang belulang yang telah hancur luluh? Katakanlah: Ia akan dihidupkan oleh Tuhan yang menciptakannya kali pertama. (Yaasin: 78-79)

Kaum sufi menolak kebangkitan (dibangunkan kembali) jasmani. Menurut mereka, jasmani bersifat sementara. Apa yang akan dibangkitkan (dibangunkan kembali) di akhirat adalah rohani. Oleh hal yang demikian itu, azab akhirat itu bersifat rohani.

Kekal sihat dengan beribadat

Credit: Utusan

Berpuasa itu amat digalakkan bukan sahaja manfaat pahalanya tetapi pada masa sama, ia memberi kerehatan kepada perut. - Gambar hiasan
 
TIDAK salah sesekali berbelanja dan mengeluarkan sejumlah wang untuk mengekalkan kesihatan selain meluangkan masa bagi melakukan aktiviti senaman.

Malah ia dituntut dan dititikberatkan menurut Islam kerana memelihara tubuh agar sentiasa dalam keadaan baik merupakan anugerah Allah SWT kepada hambanya.

Ia sebagaimana sabda Rasulullah SAW bermaksud: Sesungguhnya kamu mempunyai tanggungjawab untuk menunaikan hak terhadap tubuh badan kamu. (riwayat Bukhari)

Namun, tidak ramai menyedari, tidak perlu keterlaluan dalam berbelanja dan memperuntukan masa yang lama untuk kekal sihat. Tetapi dengan hanya melakukan ibadat berupaya mengekalkan kesihatan malah lebih lagi daripada yang diingini.

Ini kerana, di samping memperoleh ganjaran di akhirat, di sebalik setiap amalan ibadah yang disyariatkan oleh Allah SWT kepada umat Islam mempunyai kelebihan tersendiri.

Bukan sahaja digambarkan melalui al-Quran dan hadis, malah ia turut diakui menurut kajian sains moden yang membuktikan fadilat melaksanakan ibadah.

Pensyarah Kanan Fakulti Perubatan, Universiti Sains Malaysia, Dr. Irfan Mohamad berkata, tidak akan habis dan mampu dikaji untuk menghuraikan segala kelebihan amalan yang Allah SWT perintahkan.

Beliau yang banyak membuat pemerhatian melalui penyelidikan dan rujukan pakar mengenai kelebihan melaksanakan ibadah mengakui segala perintah Allah SWT adalah tidak sia-sia dan mempunyai pelbagai manfaat yang tidak kita ketahui.

Kelebihan wuduk

Dr. Irfan berkata, mengambil air sembahyang mampu mengelakkan tubuh daripada pelbagai penyakit yang mudah merebak ke dalam anggota tubuh.

Setiap basuhan seperti berkumur, membasuh tangan dan mencuci hidung mampu mencegah pelbagai wabak.
“Tangan yang tidak bersih boleh menjadi punca merebaknya wabak terutamanya penyakit bawaan bakteria yang merebak secara laluan fekal-oral. Penyakit-penyakit seperti gastroenteritis, hepatitis A, tifiod, kolera dan banyak lagi merupakan contoh penyakit yang boleh dicegah atau dikurangkan jika aspek kebersihan tangan diambil berat.

“Manakala, kepentingan menjaga kebersihan mulut merupakan suatu perkara yang tidak perlu diperdebatkan lagi. Sebab itulah muncul pelbagai jenis ubat kumur serta bentuk berus dan ubat gigi. Walaupun tidak disyariatkan dalam amalan berwuduk, tetapi digalakkan sebagaimana di dalam hadis.

“Begitu juga amalan memasukkan air ke dalam hidung. Kajian dalam bidang rinologi (perubatan hidung) menunjukkan bahawa amalan memasukkan air ke hidung (nasal wash) adalah berkesan untuk mengurangkan tanda-tanda penyakit alahan, sinusitis.

“Selain itu, amalan membersihkan hidung turut didapati dapat mengurangkan selesema dan membersihkan kaviti sinus, mengurangkan hidung tersumbat, melembapkan rongga hidung, mengurangkan batuk dan ‘post nasal drip’, membersihkan laluan hidung, mengembalikan fungsi silia dalam hidung, memperbaiki saliran sekresi, memperbaiki fungsi suara dan pernafasan, meningkatkan deria bau dan rasa serta mengurangkan alahan hidung sewaktu mengandung," kata Dr. Irfan.

Kelebihan solat

Sementara itu, Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Malaya, Profesor Dr. Fatimah Ibrahim dalam kajian yang dilakukan mendapati setiap pergerakan yang dilakukan dalam solat merupakan satu kaedah senaman yang bermanfaat kepada kesihatan manusia.

Antara hasil kajian tersebut adalah kesan pergerakan solat terhadap komposisi badan yang didapati mampu merawat denyutan jantung, terapi mati pucuk dan diet seimbang untuk menguruskan tubuh manusia.

Kajian kesan pergerakan solat terhadap komposisi badan yang dilakukan kepada 120 peserta mendapati keputusan yang berbeza. Ia diukur mengikut lima kaedah tabiat lazim solat sebagaimana yang dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW.

Kaedah tersebut adalah kekerapan bersolat, tahap memahami bacaan dalam solat, solat berjemaah, posisi ketika rukuk dan ketika sujud serta duduk tahiyat.

Kelima-lima kaedah tersebut katanya jika dilakukan dengan sempurna mampu memberi kesan positif kepada tubuh seperti menenangkan fikiran, menyihatkan badan, menambah tenaga dan mengurangkan kolestrol dalam tubuh.

Kelebihan puasa

Dalam pada itu, Dr. Irfan berkata, kajian menunjukkan proses metabolisme melibatkan karbohidrat menurun ketika berpuasa dan aktiviti pembakaran lemak meningkat (El Ati J, Beji C, Danguir J).

“Kajian yang berbeza menunjukkan penurunan berat badan sebanyak 1.7 kg, 1.8 kg, 2.0 kg dan 3.8 kg berlaku ke atas mereka yang berpuasa Ramadan sebulan penuh.

“Dengan berpuasa juga dapat mengurangkan kesan negatif ke atas pesakit yang mengalami kecederaan sederhana di bahagian otak. Malah fungsi buah pinggang menjadi stabil serta merendahkan risiko penyakit jantung.

“Beberapa hari selepas ibadah puasa, paras hormon endorphins, meningkat di dalam darah menjadikan seseorang lebih fokus dan tenang, menurunkan berat badan, mengawal penyakit kencing manis serta darah tingi," jelasnya.

Kelebihan berkhatan

Dr. Irfan menjelaskan, manakala kulit yang dibuang pada kemaluan manusia merupakan perangkap kepada kekotoran dan najis terutama sisa-sisa pembuangan air kecil.

Jika tidak dibersihkan dengan begitu berhati-hati dan sempurna, maka kekotoran tersebut akan terperangkap di kemaluan.

Beliau berkata, kesannya, tubuh sentiasa membawa najis dan ini boleh mengakibatkan Jangkitan kuman.
“Bakteria amat suka kepada suasana sebegini kerana ia menjadi medium yang amat sesuai untuk pertumbuhan koloni bakteria.

“Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO, 2007) dan Pusat Kawalan & Pencegahan Penyakit Berjangkit (CDC, 2008) telah menyatakan bahawa amalan berkhatan mampu membantu mencegah risiko jangkitan HIV.

“Phimosis adalah keadaan di mana kulit di hujung kemaluan lelaki tidak dapat ditarik atau tertarik ke belakang sewaktu ereksi. Keadaan ini memberikan kesakitan kepada mangsa yang mengalaminya selain potensi gangguan kepada perjalanan air kencing, fungsi seksual dan sebagainya.

“Ada juga kajian yang menunjukkan phimosis ialah faktor risiko untuk mendapat kanser (Willcourt, 2000). Walaupun terdapat beberapa kaedah lain untuk merawatnya, namun berkhatan ialah salah satu cara yang paling awal dilaksanakan, dan ia berkesan," ujar Dr. Irfan.

Beri satu dapat 10

Teringat kata-kata dr Azizan....Beri,beri, beri, berkat


Credit: Utusan


PADA suatu hari, Siti Fatimah teringin memakan epal. Lalu Saidina Ali keluar mencarinya buat isteri tercinta. Dalam perjalanan pulang, Saidina Ali terserempak dengan seorang lelaki miskin yang meminta sedikit makanan daripadanya kerana sudah lama tidak makan.

Saidina Ali menjadi berbelah bahagi antara isteri serta membantu si miskin itu. Namun, atas dasar kemanusiaan dan persaudaraan sesama Islam, disulami rasa tanggungjawab sebagai suami, dia memotong buah epal itu kepada dua bahagian. Sebelah disimpan untuk isterinya dan sebelah diberikan kepada lelaki miskin tersebut.

Lelaki itu meminta lagi kerana terlalu lapar. Situasi ini membuatkan Saidina Ali berada dalam dilema. Oleh kerana terlalu belas kepada si miskin itu, maka baki epal yang sebelah itu turut diberikan kepada lelaki miskin itu.

Lalu pulanglah menantu Rasulullah SAW itu dengan tangan kosong. Setibanya di rumah dilihat Siti Fatimah sedang menanti-nanti kepulangannya dengan tersenyum lebar.

Saidina Ali rasa bersalah lantas terus menceritakan kejadian yang berlaku serta meminta maaf kepada isterinya dan berjanji akan membawakannya epal yang lain.

Saidina Ali terkejut apabila Siti Fatimah memberitahu baharu tadi ada seseorang datang memberikan mereka sebakul epal seraya menunjukkan bekas yang berisi sembilan biji epal.

Saidina Ali lantas bertanyakan di mana sebiji lagi epal tersebut. Sungguhpun dalam terkejut, Siti Fatimah mengakui yang dia telah memakannya kerana terlalu teringin.

Dalam kehairanan, Siti Fatimah sempat bertanya bagaimana suaminya mengetahui bahawa di dalam bakul itu ada 10 biji epal?

Lalu Saidina Ali tersenyum dan berkata: “Sayang, bukankah ayahmu mengajar kita bahawa setiap satu amalan yang kita perbuat, Allah akan membalasnya dengan 10 kali ganda ganjaran. Tadi abang memberikan sebiji epal kepada orang yang memerlukan, lalu abang yakin imbalan yang kita terima adalah ibarat epal ini. Sudah tentu Allah mentakdirkannya agar 10 biji, bukannya sembilan."

Kisah ini bukannya bermaksud setiap apa yang kita keluarkan akan mendapat balas terus pada masa itu juga dengan gandaan 10, namun itu juga tidak mustahil dengan kuasa Allah SWT.

Apa yang lebih penting untuk kita fahami, betapa tinggi dan besarnya kasih sayang Allah SWT kepada kita dan betapa hebatnya iman para sahabat.

l Susunan daripada buku Bertanya Tentang Tuhan terbitan Mustread Sdn. Bhd.

Tuesday, 23 April 2013

HFG sedia pindah teknologi, kepakaran hasil daging wagyu



Pastikan anda mempunyai perancangan rapi apabila ingin memasuki persaingan/peperangan baru. Sebagai contoh syarikat jepun dari Jepun ini

Credit: Berita Harian


Hannan Foods Group (HFG) bercadang menjadikan Malaysia pusat pengeluaran Asia bagi daging premium yang sama mutunya dengan daging 'wagyu' yang dihasilkan di negara matahari terbit itu.

Pengarah syarikat tujuan khas pelaburannya Aruk Mert Co Ltd, Kakishima Takaaki, berkata pihaknya sudah pun mempunyai nama bagi produk bergred tinggi itu, iaitu 'Malay Beef'.
Katanya, kumpulan itu berhasrat membawa teknologi ternakan dan penghasilan produk premium itu jika kerjasamanya dengan Otoshitos Sdn Bhd untuk terbabit dalam projek Pusat Fidlot Nasional (NFC) menerusi pengambilalihan National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCSB) menjadi kenyataan.


"Kami ingin membangunkan industri itu di sini. Kami mempunyai pengalaman lebih 65 tahun dalam industri ternakan lembu di Jepun. Namun, berikutan kos tenaga kerja di Jepun yang tinggi sementara penghasilan daging wagyu mempunyai kaedah ternakan tersendiri yang mana hanya memakan bahan organik tanpa kimia, ia menjadikan harga produk itu mahal.

Pindah teknologi ke Malaysia

"Sasaran kami di pasaran Asia adalah untuk menjadikan Malaysia pengeluar daging berkualiti sama seperti daging wagyu yang dikeluarkan di Jepun," katanya. pada temubual dengan akhbar kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) di Kuala Lumpur, kelmarin. Yang turut hadir, Pengerusi KASB dan Pengarah Eksekutif Otoshitos, Datuk Nik Mod Amin Abd Majid.

Takaaki berkata, lembu yang menghasilkan daging wagyu kini berharga kira-kira RM60,000 seekor dan negara pengeluar daging utama seperti Australia dan Amerika Syarikat juga sudah mula mengeluarkan produk sama.
Katanya, syarikat Jepun itu bercadang menjalinkan kerjasama dengan Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi urusan pemindahan teknologi dan latihan tenaga kerja mahir.

"Kami akan memindahkan teknologi itu ke sini, namun ada masalah dari segi bekalan makanan ternakan dan latihan tenaga mahir. Kami yakin UPM dapat menyokong menerusi kerjasama modal insan," jelasnya.

Sementara itu, Nik Mod Amin berkata, projek NFC dapat mewujudkan pelbagai industri sampingan termasuk penghasilan daging bergred tinggi seperti wagyu, selain pengeluaran makanan ternakan daripada sisa sawit serta gelatin dan bahan kosmetik halal.

Hannan Foods minat ambil alih projek NFC

Syarikat Jepun pun berminat dengan pasaran lembu di Malaysia, bagaimana dengan orang tempatan..takkan nak biarkan orang luar mengawal pasaran dalam negara..jom mulakan perniagaan/perternakan anda


Credit: Berita Harian


Hannan Foods minat ambil alih  projek NFC
 
Hannan Foods Group (HFG) memutuskan untuk turut terbabit dalam pengambilalihan projek Pusat Fidlot Nasional (NFC) berikutan konsep perniagaannya yang berdaya maju, peluang meneroka industri halal serta infrastruktur yang sudah sedia dibangunkan.

Firma penternak lembu terbesar dan kumpulan pengeluar produk makanan kedua terbesar di Jepun itu menerusi Kirimitonas Agro Sdn Bhd (KASB) iaitu syarikat usaha samanya dengan Otoshitos Sdn Bhd, Jumaat lalu memeterai surat hasrat bagi memulakan rundingan untuk mengambil alih semua aset dan liabiliti National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCSB), iaitu pengendali projek berkenaan.

HFG menerusi syarikat tujuan khas (SPV) pelaburan dan pengembangan perniagaan antarabangsanya, Aruk Mert Co Ltd (Aruk Mert) memiliki 40 peratus ekuiti dalam KASB, manakala 60 peratus lagi dimiliki syarikat tempatan, Otoshitos Sdn Bhd.


Pengarah Aruk Mert, Kakishima Takaaki, berkata HFG yakin konsep perniagaan NFC adalah berdaya maju kerana ia hampir menyamai perniagaan HFG yang dimulakan di Jepun selepas Perang Dunia Kedua lebih 65 tahun lalu susulan kebimbangan kerajaan negara itu mengenai isu jaminan makanan.

Berdasarkan pengalaman, jika kita mahu berdaya maju dalam industri sebegini, kita perlu terbabit dalam menyediakan penyelesaian menyeluruh, daripada aktiviti penternakan, pemprosesan daging, pengeluaran makanan ternakan dan pemasaran.

Projek berpotensi besar

Apabila melihat NFC, kami seolah-olah menemui konsep sama seperti dilaksanakan di Jepun. Kami memiliki teknologi dan kaedah pengeluaran yang boleh dipindahkan ke sini. Projek ini berpotensi besar. Kami mahu bertapak di sini untuk mengembangkan perniagaan ke pasaran baru," katanya pada sesi temubual bersama akhbar kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) di Kuala Lumpur, kelmarin.
Yang hadir sama ialah Pengerusi KASB dan Pengarah Eksekutif Otoshitos, Datuk Nik Mod Amin Abd Majid.

Takaaki berkata, pasaran daging lembu di Jepun yang sudah mencapai tahap tepu menjadi antara sebab kumpulan itu mula mengembangkan perniagaan di peringkat global khususnya pasaran produk makanan halal yang berpotensi besar.

"Penerokaan produk makanan halal adalah matlamat utama dalam langkah pengembangan perniagaan kami di luar Jepun dan negara terbaik untuk menjadi tapak pengeluaran produk halal tentunya Malaysia.

Ini berikutan penjenamaan produk halal Malaysia sudah diterima di peringkat global. Malaysia juga adalah pusat kepada ekonomi ASEAN. Hannan mahu menjadikan Malaysia sebagai hab pengembangan perniagaan di rantau ini dan Asia Barat, dan kami melihat peluang itu ada pada NFC," jelas beliau.

Sementara itu, Nik Mod Amin berkata, Hannan melihat NFC sebagai jalan pintas untuk meneroka pasaran produk makanan halal dan mengembangkan perniagaan di rantau ini.

Katanya, jika mereka mahu meneroka sendiri dengan memulakan tapak dari peringkat bawah, ia akan memakan masa.

Edar daging berkualiti

NFC sebaliknya sudah siap membangunkan ladang model seluas 1,500 hektar. Ketika melaksanakan kajian terperinci kira-kira setahun lalu, kami dapati semua kemudahan sudah tersedia termasuk rumah penyembelihan. Jika nak mulakan sendiri kemudahan seperti itu, ia akan mengambil masa hingga lima tahun.

Selain itu, sebahagian ladang satelit juga sudah dibangunkan. Seperti dalam Perjanjian Pelaksanaan NFC, kerajaan akan membangunkan 310 ladang ternakan satelit dan kontrak. Setakat ini, 71 sudah beroperasi dan ia adalah satu daya tarikan. NFC setakat ini juga sudah berupaya mengedar daging berkualiti," katanya.

Industri bekalan daging lembu di negara ini juga dilihat berpotensi besar kerana kini hanya 24 peratus bekalan daging di dalam negara dibekalkan pembekal tempatan, manakala baki 76 peratus lagi adalah diimport.

Caj tambahan 1 peratus untuk dana tenaga boleh baharu

Kenapa penguna perlu membayar caj tambahan untuk perkhidmatan yg akan dikenakan kepada mereka? Adakah ini bermaksud, suatu hari nanti TNB akan memberikan elektrik percuma apabila FiT dilaksanakan


Credit: Kosmo


KUALA LUMPUR - Tenaga Nasional Bhd mengulangi yang caj tambahan satu peratus yang dikenakan ke atas pengguna berat tenaga elektrik ialah untuk dana tenaga boleh baharu di bawah mekanisme Feed-in-Tariff (FiT).

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Azman Mohd berkata, Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) telah ditubuhkan untuk mentadbir dan melaksanakan mekanisme FiT bagi meningkatkan pertumbuhan tenaga boleh baharu dan merancakkan pembangunan industri dan teknologi di dalam negara.

Beliau berkata, bagi memastikan mekanisme FiT, Akta Tenaga Boleh Baharu 2011, telah membolehkan penubuhan Dana Tenaga Boleh Baharu.

"TNB hanya mengumpulkan wang yang dianggarkan bernilai RM30 juta setahun dan jumlah itu terus disalurkan ke SEDA,” kata beliau kepada pemberita selepas pelancaran Taska 1TNB oleh Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin di sini hari ini. - BERNAMA

Friday, 19 April 2013

Kuzmanovic cipta kereta F1 di dalam bengkel

Orang bosnia boleh bina kereta F1 sendiri buatan bengkel tempatan, bagaimana orang Malaysia.

 

Credit: Kosmo



KERETA itu dipandu di sebatang jalan raya yang turut digunakan kenderaan lain.



PRNJAVOR, Bosnia - Seorang penduduk di sini, Miso Kuzmanovic membina sebuah kereta lumba Formula Satu (F1) di dalam sebuah bengkel sejak dua tahun lalu.

Dia membina kereta tersebut bersama rakan-rakan dan anggota keluarganya dengan kos sebanyak AS$33,000 (RM100,006).

Ia menggunakan enjin kereta sport, Porche.

Apabila dia berpindah ke Kanada pada tahun depan, Kuzmanovic merancang untuk mencari sebuah syarikat yang akan mengeluarkan reka bentuk kereta itu. - Reuters