SEKALI pandang, Kampung Mogah yang terletak di hadapan Universiti
Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Tanjung Malim, Perak itu tidak ubah
seperti sebuah kampung Melayu lain. Melihat unsur-unsur kemelayuan
menerusi pembinaan rumah-rumah yang berkayu ukir itu, orang luar tidak
akan menyangka ia sebenarnya sebuah kampung Benggali.
Sungguhpun demikian, kampung tersebut sememangnya sudah dikenali
dalam kalangan penduduk setempat memandangkan ia satu-satunya kawasan
yang didiami masyarakat yang berketurunan Pakistan.
Bagi mengetahui lebih lanjut mengenai salasilah kampung itu,
Kosmo! baru-baru ini menemui beberapa penduduk yang masih menetap di kampung yang berusia lebih 60 tahun itu.
Abdul Jalil Jiwa Khan, yang sudah berusia 80 tahun memberitahu,
kewujudan kampung itu bermula apabila bapanya, Allahyarham Jiwa Khan
Hezara bersama rakan-rakan sekampung yang menetap di Moga, Punjab
berhijrah ke Malaysia sekitar tahun 1920.
Sejarah Mogah
Kedatangan mereka keluar dari kampung halaman itu disebabkan
tercetusnya Perang Dunia Kedua. Dengan menaiki kapal, mereka berlabuh di
Kuala Besut, Kuala Terengganu. Menetap di sana beberapa tahun lalu
mereka berhijrah pula ke Behrang Ulu, Tanjung Malim.
SURAU Kampung Mogah yang dibina hasil kutipan penduduk kampung itu.
Sepanjang berada di daerah itu, mereka telah melakukan pelbagai jenis pekerjaan.
Pada masa yang sama, mereka mula mengintai kawasan-kawasan lapang di
sekitar Behrang Ulu untuk dibeli supaya dapat menempatkan kesemua
keluarga mereka di satu tempat.
Pada masa itu terdapat tanah kosong seluas 0.8 hektar, lalu tanpa
berfikir panjang mereka akhirnya membuat keputusan untuk membeli tanah
berkenaan yang bernilai sekitar AS$2,100 (RM6,429).
Bagaimanapun, tanah itu dibeli secara ramai-ramai tetapi di atas satu geran.
Mengulas lanjut, Abdul Jalil yang lebih dikenali dengan panggilan
Gilo memberitahu, selepas pembelian tanah itu, mereka akhirnya menamakan
kampung tersebut sebagai kampung Mogah memandangkan mereka berasal dari
Moga, Punjab.
Selepas pembelian tanah itu kira-kira pada tahun 1948, mereka mula meneroka tanah berkenaan untuk mendirikan rumah.
"Sebelum ini, kawasan ini sememangnya dipenuhi dengan semak-samun dan jalan masuk ke kampung juga hanyalah jalan tanah merah.
"Namun, selepas pembinaan rumah secara satu persatu, akhirnya kampung
ini telah bertukar wajah," katanya sambil memberitahu ketika itu
kesemua rumah tersebut diperbuat daripada kayu kerana kosnya murah.
Bandar Moga merupakan daerah yang terdapat di Punjab, India. Rata-rata penduduk di Moga beragama Sikh.
Kebanyakan masyarakat di situ berkecimpung dalam bidang pertanian dan
industri ternakan selain pemandu lori dan mengusahakan syarikat bas.
Sehingga hari ini, jumlah rumah di Kampung Mogah dianggarkan 13 buah dan majoriti penduduknya adalah kaum Pakistan.
SEKUMPULAN kanak-kanak bermain di Kampung Mogah yang kini hanya didiami sekitar 50 penduduk tetap.
Sementara itu, tinjauan
Kosmo! mendapati pemandangan
rumah-rumah kampung yang menghiasi landskap Kampung Mogah sejak lebih 50
tahun sudah semakin berubah hari ini.
Ia berikutan kebanyakan penduduk dilihat sudah mengubah suai rumah
masing-masing memandangkan keadaan rumah lama yang semakin uzur.
Melihat luaran rumah-rumah sekitar kampung, rata-rata pemilik rumah
di situ telah mengecat rumah semula, selain mendirikan pagar yang
diperbuat daripada batu dan memasang pintu gerigi besi.
Dalam pada itu, kampung tersebut turut mempunyai sebuah surau yang baru didirikan pada tahun 2006.
Kosmo! difahamkan kos pembinaan surau yang memakan belanja kira-kira RM100,000 itu merupakan hasil kutipan penduduk setempat.
Ghairah berbicara lanjut mengenai sejarah kampung berkenaan, Gilo
mengakui nama kampung Mogah tidak pernah tenggelam dalam kalangan
penduduk setempat sehingga hari ini.
Ketika ditanya apa yang menyebabkan nama kampung itu kekal di mulut
orang ramai, Gilo berkata, kampung tersebut pernah mempunyai syarikat
bas pada tahun 1959.
Bas Mogah
Pada masa itu, syarikat tersebut merupakan satu-satunya pengangkutan yang digunakan dari Tanjung Malim, Slim River dan Sungkai.
Tambang yang dikenakan serendah 20 sen sehingga RM1.10 bergantung
kepada lokasi. Gilo memberitahu, ketika itu penduduk Mogah sememangnya
dikenali ramai memandangkan badan-badan bas terpampang dengan nama
Mogah.
Memiliki lebih 40 buah bas Mogah, bas tersebut menjadi pilihan
penumpang yang tingggal di ketiga-tiga kawasan itu untuk ke sekolah,
tempat bekerja dan ke bandar Tanjung Malim.
Malahan, kebanyakan penumpang yang terdiri daripada pelbagai kaum sudah mengenali pemandu dan konduktor bas.
Walau bagaimanapun, syarikat bas Mogah hanya dapat bertahan sehingga
tahun 2000 apabila pemilik syarikat tersebut yang juga penduduk Mogah
membuat keputusan untuk menjual syarikat terbabit.
Kampung Mogah makin sunyi
Bagaimanapun, setelah lebih lima dekad kemeriahan Mogah beransur-ansur sepi hari ini.
Hal ini kerana kebanyakan anak jati Kampung Mogah telah berhijrah ke
Kuala Lumpur untuk mencari rezeki, manakala ramai penduduk yang sudah
berusia pula telah meninggal dunia.
Kini kampung itu hanya didiami kira-kira 50 orang penduduk tetap
sahaja. Perkara itu turut diakui Norizan Abdul Rahman, 33, yang menetap
di kampung itu sejak kecil lagi.
Bagi ibu kepada dua orang anak itu, perkara itu berlaku sejak 10 tahun yang lalu.
 |
|
AISHAH (kanan) dan Norizan (dua dari kiri) antara penduduk yang masih setia mendiami Kampung Mogah.
|