Tuesday, 2 October 2012

Islam terhakis andai tiada kuasa politik atau berpecah ketika berkuasa

Sebahagian yang hadir pada program Istighasah Al-Kubra yang diadakan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, kelmarin.
 
SABTU lalu, sekali lagi Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengadakan program Istighasah Al-Kubra iaitu berzikir atau berwirid memohon petunjuk dan keredaan Allah secara beramai-ramai. Majlis kelmarin berlangsung di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz, Shah Alam Selangor dengan kerjasama Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK).

Kali pertama, acara ini berlangsung di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Zikir dan wirid berlangsung di tempat terbuka. Semasa di- Kuala Lumpur pada 19 Mei lalu, cuaca yang panas tidak menghalang kira-kira 5,000 orang memohon keamanan dan kesejahteraan ummah. Khabarnya suasana panas tiba-tiba ‘dilindungi’ awan.

Perhimpunan itu terbuka kepada semua umat Islam tanpa mengira kedudukan atau fahaman politik. Syukurlah masih ada pihak mahu mengusahakan agar umat Islam diberi petunjuk dan keredaan Allah. Yadim sebenarnya menyedari betapa perpecahan yang berlaku sesama Islam yang sudah tentu jika ditimpa musibah seluruh umat sama ada baik, jahat, kaya atau miskin akan terkena kesannya.

Justeru kata Yang Dipertua Yadim, Dr. Aziz Jamaludin Mhd. Tahir, pihaknya mengambil inisiatif menjadi ikon untuk menggerakkan istighasah ke seluruh negara bagi menyedarkan peri pentingnya perpaduan serta kesatuan ummah itu. Tanpa kesatuan, musuh akan menyelinap masuk dan memusnahkan kita semua. Baginya, bala atau musibah itu telah berlaku kepada umat Melayu iaitu perpecahan.

Bagi Pengerusi YBK, Zainal Abidin Sakom pula, program seumpama itu diharap dapat memperkukuh kekuatan umat tanpa mengira fahaman politik, bangsa dan budaya demi memastikan negara sentiasa berada dalam keadaan aman dan harmoni.

Mungkin himpunan ini tidak sehebat perhimpunan seperti solat hajat anjuran parti politik yang tujuannya untuk kepentingan politik kepartian pada waktu malam yang dingin di stadium. Ia juga tidak sehebat perhimpunan solat hajat yang memohon kemusnahan orang lain disebabkan fahaman politik. Dan perhimpunan ini juga tentunya tidak sehebat Istighasah di Riau, Indonesia tahun lalu yang berjaya menghimpunkan 30,000 orang.

Namun dengan kehadiran kira-kira 5,000 orang pada setiap majlis yang sudah dilangsungkan itu, sekurang-kurangnya masih ada sekumpulan umat yang mahu melihat penyatuan umat Islam termasuk orang Melayu dalam sebuah negara yang majoritinya umat Islam.

Memetik kata-kata Mufti Perak, Harussani Zakaria pada perhimpunan pertama yang lalu: Kita juga harus menganjur dan mengikuti perhimpunan yang memberikan kebaikan kepada negara dengan sama-sama memohon pertolongan dan keampunan daripada Allah SWT. Ini penting bagi mengekalkan keamanan dan kesejahteraan negara daripada sebarang bencana dan huru-hara,’’.

Tidak dinafikan program seumpama ini yang dipenuhi dengan solat tahajud, solat hajat, solat witir, zikir dan wirid ada ketikanya kurang mendapat sambutan. Bukan mudah untuk menghimpunkan ribuan orang pada majlis seperti ini.

Mungkin kerana pengisiannya bukan seperti ceramah politik yang kadangkala sarat dengan ‘aktiviti’ memaki hamun orang, menabur fitnah, mendoakan bala terhadap orang lain yang seagama atau mengajak orang supaya tidak bersyukur apa yang dinikmati sekarang. Entah kenapa orang lebih gemar dengan aktiviti yang boleh memandu mereka ke arah memecah belahkan umat dan bermusuh sesama sendiri.

Mereka lupa bahawa keasyikan itu akhirnya akan menghilangkan segala-galanya- politik dan agama.
Tanpa politik, sebarang kemungkinan boleh berlaku terhadap agama. Amalan, nilai agama malahan kewajipan dalam ibadat mungkin terhakis perlahan-lahan tanpa disedari. Mungkin atas semangat menghormati orang lain, amalan selama ini akan hilang begitu sahaja. Tidak mustahil juga ketika kuasa politik dalam tangan, disebabkan perpecahan, Islam tidak mampu dipertahankan malahan dipermainkan.

Justeru, amat penting untuk umat Melayu Islam bersatu demi mempertahankan kuasa politik demi bangsa dan agama. Usaha ini jangan pula dianggap rasis kerana setiap orang berhak mempertahankan haknya. Ketika kita sedia mengiktiraf hak orang lain, hak diri sendiri perlu dipertahankan.

Justeru bagi umat Islam di negara ini, berpada-padalah dalam segala bentuk tindakan berkaitan masa depan mereka. Bersyukurlah dengan ‘nikmat’ yang dikecapi dalam bentuk keamanan, perlindungan daripada bencana alam dan pentadbiran yang cekap di dalam negara kita.

Belajarlah bersyukur dan berterima kasih kepada tangan yang memberi!
 

Mohon umat Islam bersatu

 
Sebahagian yang hadir pada Program Istighasah al-Kubra di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, semalam. 
 
SHAH ALAM 7 Julai - Hampir 5,000 orang menadah tangan sambil bermunajat dan berdoa dalam program Istighasah al-Kubra di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini, bagi memohon umat Islam bersatu-padu serta meninggalkan ketaksuban terhadap ideologi politik masing-masing sehingga sanggup berpecah-belah.

Majlis tersebut bermula seawal pukul 4 pagi dengan acara qiamullail iaitu para jemaah mendirikan solat sunat tahajud, solat sunat hajat, solat sunat witir dan kemudiannya diikuti dengan solat subuh, tazkirah dan bacaan zikir munajat beramai-ramai di pekarangan masjid sebelum ia berakhir pada pukul 8 pagi.

Pengerusi Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK), Datuk Zainal Abidin Sakom berkata, yayasan tersebut dengan kerjasama Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) dan 25 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berganding bahu menganjurkan program Istighasah al-Kubra itu.

''Selepas gagal menyatukan umat Islam dengan cara pujuk rayu, timbul inisiatif kita untuk berdoa kepada Allah supaya penyatuan dapat dilaksana demi keamanan dan kesejahteraan rakyat negara ini," katanya kepada pemberita selepas majlis tersebut di sini hari ini .

Hadir sama ialah Pengerusi Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) Selangor, Tan Sri Abu Hassan Omar; Naib Yang Dipertua Yadim, Datuk Shamsul Najmi Shamsuddin; Pengerusi Seranta Majlis Istighasah al-Kubra, Datuk Abdul Samad Marudin dan Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Noriah Kasnon.

Zainal Abidin berkata, melalui program tersebut, pihaknya berharap hati umat Islam di negara ini akan dapat ditaut kembali tanpa mengira latar belakang parti politik dan bersatu demi memartabatkan kedudukan Islam.
''Ini adalah apa yang Rasulullah ajar pada kita. Baginda juga dahulu berdoa dan memohon kepada Allah sekiranya mahu memohon sesuatu dan saya berharap doa ini akan dimakbulkan sekali gus menyatukan kembali umat Islam di negara ini," katanya.

Zainal berkata, pihaknya merancang untuk menganjurkan program itu ke seluruh negara dan berharap ia akan turut dihadiri oleh lebih ramai pemimpin kerajaan di setiap negeri kerana doa pemimpin adalah antara yang akan dimakbulkan.

''Buat masa ini kami sedang menunggu permohonan daripada setiap negeri supaya program seperti ini dapat dibawa dan dianjurkan ke negeri-negeri lain," katanya.

Zainal turut menzahirkan kegembiraannya dengan kehadiran begitu ramai generasi muda ke program itu dan menganggap ia ada kaitan dengan promosi yang dijalankan melalui media sosial seperti Facebook.
''Ini membuktikan yang media sosial juga boleh digunakan untuk mempromosikan program-program keagamaan yang boleh menarik minat generasi muda," katanya.

Industri kapal jana 20,000 peluang kerja

Kuala Lumpur: Industri pembinaan dan baik pulih kapal dijangka menjana sehingga 20,000 peluang pekerjaan tambahan menjelang 2020.

Ia selaras dengan Pelan Strategik Pembinaan/Pembaikan Kapal Malaysia 2020 (SBSR 2020) yang dirangka bagi mengangkat Malaysia sebagai antara negara pembina kapal utama dunia.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata pelan strategik itu dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi (LIMA) tahun lalu.

Ia bertujuan membantu meningkatkan pertumbuhan sektor terbabit dan memberikan rangka kerja bagi pembangunannya secara lebih berstruktur dan terancang.

Beliau berkata, industri itu yang kini mempunyai kira-kira 30,000 kakitangan adalah antara sektor berpotensi berkembang selaras hasrat kerajaan untuk mentransformasikan ekonomi dengan menjana aktiviti yang menghasilkan pendapatan tinggi dan nilai tambah.

Namun, katanya antara cabaran besar yang dihadapi dalam industri itu kini ialah kekurangan modal insan yang mana sebahagian besar pekerjaan bernilai tinggi serta memerlukan kemahiran tinggi terpaksa dilaksanakan di luar negara.

Kebanyakan operasi baik pulih dan pembinaan kapal asas dijalankan di Malaysia tetapi kemasan akhir terpaksa dilakukan di tempat lain kerana kekurangan tenaga kerja. Itulah yang kita mahu atasi, katanya kepada media pada Forum Industri Perkapalan Nasional Kedua (2NMIF) di sini, semalam.
Mustapa berkata, selain menjana peluang pekerjaan, SBSR 2020 juga menetapkan sasaran untuk meraih 80 peratus pasaran pembinaan kapal tempatan dan dua peratus pasaran global menjelang 2020.

Ia turut membabitkan penguasaan pasaran pembaikan kapal untuk sektor tenaga pesisir pantai masing-masing 80 peratus dan tiga peratus di Laut China Selatan dan Selat Melaka.

Katanya, industri pembinaan dan pembaikan kapal mempunyai skop yang luas dan mampu mewujudkan kesan gandaan yang sempurna terhadap ekonomi negara kerana ia bukan saja tertumpu di limbungan, tetapi turut membabitkan industri lain seperti besi, plastik, kayu, pembuatan, logistik, penyenggaraan, kewangan serta cukai dan perkhidmatan perundangan.

Beliau berkata, tahun lalu, industri terbabit menjana pendapatan sebanyak RM7.05 bilion yang mana RM1.02 bilion daripadanya adalah pendapatan daripada eksport.

Tahun lalu, sebanyak 90 projek bernilai RM4.4 bilion diluluskan untuk kerja-kerja berkaitan pembinaan dan pembaikan kapal serta kerja kejuruteraan yang berkaitan, katanya.

Crdit: Kosmo

Runtuhan al-Aqsa jenayah Yahudi





DEWAN Auditorium D8, Putrajaya dipenuhi kira-kira 500 umat Islam yang mahu melihat secara dekat dan mendengar amanat Presiden Pertubuhan Islam Palestin 48, Syeikh Raed Solah.

Tokoh Pejuang Kebebasan Baitulmuqaddis yang berusia 54 tahun itu kelihatan gigih menyampaikan ceramahnya. Beliau yang menyeru umat Islam di negara ini dan seluruh dunia agar bersatu mempertahankan Baitulmuqaddis.

Baitulmuqaddis merupakan sebuah kota yang terletak di dalam wilayah Palestin dan diiktiraf sebagai kota ketiga paling suci bagi umat Islam selepas Mekah dan Madinah.

Pertama kali menjejakkan kaki ke negara ini atas undangan Aman Palestin Berhad (Aman Palestin), warga Israel itu mempunyai perwatakan yang serius, semangat yang kental tetapi mudah mesra.

Dilahirkan di perkampungan Arab Israel, Umm al-Fahm, keluarganya mempunyai hubungan yang kuat dalam mempertahankan Israel.

Bapa dan salah seorang daripada adik-beradiknya merupakan pegawai polis.

“Saya rasa gembira dengan pertemuan ini dan apabila pulang kelak akan saya khabarkan kepada warga Islam Palestin bahawa mereka tidak bersendirian kerana saudara-saudara Islam di Malaysia turut menyokong perjuanganmereka mempertahankan Kota Suci Baitulmuqaddis,” kata Syeikh Raed yang berada di Malaysia selama 11 hari pada awal September lalu.

Sepanjang berada di negara ini, beliau telah melakukan beberapa siri ceramah dan membuat lawatan kepada para pembesar negara.

Presiden Pertubuhan Islam Palestin 48 itu juga berpeluang melawat Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak di pejabat rasmi Perdana Menteri di Putrajaya.

Pada kesempatan itu, Syeikh Raed telah menceritakan kedudukan sebenar keadaan Masjid al-Aqsa yang sehingga kini menjadi sasaran pihak Zionis.

Syeikh Raed telah mengimamkan solat Jumaat di Masjid Putrajaya. Kemudian, rombongan yang disertai oleh Pengerusi Eksekutif Aman Palestin itu turut berjumpa dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.



TERPENJARA. Rakyat Palestin tidak bebas bergerak dan mereka dikenakan pemeriksaan ketat oleh tentera Israel di negara mereka sendiri.



Syeikh Raed juga bertemu dengan bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad di bangunan Yayasan Al-Bukhari, Kuala Lumpur. Selain itu, beliau turut memberi ceramah kepada para pelajar di universiti tempatan seperti di Universiti Putra Malaysia.

Bapa kepada tiga anak lelaki dan lima perempuan tidak banyak bercerita mengenai hal-hal peribadi tentang diri dan ahli keluarganya.

Ini berikutan dirinya menjadi buruan dan beliau bimbang pendedahan itu mengundang bahaya kepada diri, ahli keluarga atau mereka yang berkaitan.

Pendidikan awal beliau bermula di Sekolah Ibnu Sina (1965 hingga 1973). Beliau kemudian menyambung pendidikannya ke peringkat menengah di Sekolah Menengah Umm al-Fahm (1973 hingga 1976) sebelum meneruskan pengajian ke peringkat universiti dalam pengkhususan jurusan Syariah, Universiti al-Khalil.
Tamat pengajian beliau menjadi guru. Namun tidak lama kemudian Syeikh Raed menceburi bidang perniagaan ekoran sekatan yang dikenakan oleh Israel.

Sejak itu, beliau mulai aktif dalam gerakan mempertahankan Islam yang diketuai oleh Syeikh Abdullah Nimer Darwish. Bintangnya semakin bersinar apabila pada tahun 1989 beliau dipilih sebagai Datuk Bandar Umm al-Fahm.

Pembabitan dan ikatan yang kuat dengan pergerakan Islam dengan ideologi jihad menyebabkan Syeikh Raed dilarang keluar dari Israel pada tahun 2001.

Pernah dipenjara

Antara sumbangan besar beliau ialah memakmurkan Musolla al-Marwani, iaitu satu ruang solat bawah tanah yang ditemui dalam kawasan Masjid al-Aqsa dan melancarkan program mengimarahkan Masjid al-Aqsa semasa menjawat jawatan Pengerusi Institusi al-Aqsa. Beliau merupakan individu pertama yang menjumpai dan mendedahkan jenayah Yahudi yang berusaha melemahkan struktur Masjid al-Aqsa dengan menggali terowong di bawahnya.

Pada tahun 2003, beliau dipenjara selama dua tahun oleh polis Israel ekoran mengumpul dana untuk disalurkan kepada Hamas di Jenin, Samaria utara.

Kebangkitan Intifada Palestin kedua berlaku pada tahun 2000. Ekoran itu, pergerakan Islam telah memperkenalkan slogan, Al-Aqsa dalam bahaya.

Sejak itu puluhan ribu golongan muda mula terbabit dalam memperjuangkan isu Masjid al-Aqsa yang diancam keruntuhan ekoran perbuatan Yahudi menggali terowong hingga ke bawah masjid berkenaan.
Pihak Yahudi turut menggunakan asid dalam kerja-kerja penggalian terowong itu bagi memberi kesan yang lebih teruk kepada struktur masjid. Tindakan itu juga menyebabkan pokok berusia ratusan tahun tumbang.

Pesta arak

Beberapa tiang di masjid itu ada yang retak malah ada lantai yang berlubang. Akibatnya, ia menyemarakkan lagi gelombang umat Islam seluruh dunia untuk mempertahankan Masjid al-Aqsa.



LELAKI Palestin ini perlu melalui balai pemeriksaan Israel dalam perjalanan untuk menunaikan solat di Masjid al-Aqsa di Baitulmuqaddis.



“Kita cukup sedih dan terkilan apabila musuh berjaya memecah-belahkan umat Islam. Mulanya, Israel menjadikan isu Masjid al-Aqsa sebagai isu tempatan tetapi kita berjaya menarik perhatian umat Islam seluruh dunia untuk sama-sama mempertahankan masjid ini.

“Umat Islam juga perlu mengetahui isu Baitulmuqaddis dan Masjid al-Aqsa. Isu ini penting dan kita perlu sama-sama mempertahankan masjid yang menjadi kiblat pertama umat Islam ini,” tegas Syeikh Raed.
Beliau menjelaskan, sejak kurun ke-19, Yahudi cuba memusnah dan menghancurkan segala-gala atau lambang yang mempunyai kaitan dengan Islam di bumi Palestin.

Sebanyak 1,200 masjid telah musnah dan segala usaha mereka masih berterusan dengan harapan Islam hancur di Baitulmuqaddis.

“Masih ada ratusan masjid lagi di Palestin tetapi ia masih belum selamat, sebahagian telah diambil oleh Yahudi untuk dijadikan kedai arak. Baru-baru ini, mereka telah menganjurkan pesta arak di Masjid Telaga Tujuh dan telah menumpahkan arak di dalam masjid tersebut.

“Selain itu, mereka turut merampas tanah wakaf penduduk Islam, meratakan tanah perkuburan Islam bagi dijadikan hotel, kedai dan perkampungan Yahudi,” katanya.

Terowong itu dipercayai mula dikorek sejak kurun ke-18 atas alasan mencari kesan sejarah The King Solomon Temple. Ia semakin giat dilakukan sejak tahun 1968.

Sehingga kini, kajian yang dilakukan oleh penyelidik Britian dan Jerman masih gagal mencari kesan sejarah itu. Malah, menurut Syeikh Raed, usaha tersebut merupakan satu pembohongan kerana hasrat utama mereka adalah untuk menghancurkan Masjid al-Aqsa dan digantikan dengan kuil penganut agama Yahudi.
Fasa akhir
Beliau menambah, beberapa media Yahudi juga mendedahkan perbincangan pemimpin mereka yang dalam peringkat akhir untuk merobohkan Masjid al-Aqsa.

Usaha-usaha yang dilakukan oleh masyarakat Yahudi telah menimbulkan kesedaran dalam kalangan umat Islam seluruh dunia agar bangkit mempertahankan kesucian Masjid al-Aqsa.

Syeikh Raed memberitahu, ibu-ibu Islam di Algeria telah mengambil inisiatif mendodoikan anak-anak mereka dengan kata-kata: “Tidurlah anak-anak yang bakal bebaskan Masjid al-Aqsa”.

Selain itu, pemuda-pemudi di Turki juga telah sedar dan mereka sanggup berjuang untuk mempertahankan masjid suci itu.

Syeikh Raed yakin segala usaha yang dilakukan Yahudi untuk menghancurkan Masjid al-Aqsa akan menemui kegagalan pada masa yang sama agama Islam akan terus mencapai kejayaan.

Credit: Kosmo

Pelajar meninggal selepas wuduk

PONTIAN: “Afiff baring di pangkuan saya dan kira-kira 15 minit kemudian, dia menghembuskan nafas terakhir,” kata ibunya, Russiah Ibrahim, 44, ketika ditemui di kediamannya di Taman Nong Chik, Batu 36, Jalan Johor, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 6 pagi kelmarin, anaknya, Muhammad Afiff Faris Ahmad Seri, 15, meninggal dunia di pangkuannya ibunya selepas mengadu pening kepala.

Russiah berkata, Afiff sebelum itu baru saja selesai berwuduk dan mahu menunaikan solat Subuh.
“Afiff mengadu pening kepala dan saya terus meribanya. Saya kemudiannya mengurut dahi Afiff dengan minyak.

“Bagaimanapun, saya terkejut apabila mendapati bibir, kuku tangan dan kakinya bertukar kebiruan. Saya terus mengusap dadanya, manakala Afiff seolah-olah tidur berdengkur sebelum nafasnya terhenti,” katanya.

Menurut Russiah, dia memanggil jiran sebelum menghubungi Hospital Pontian serta suaminya, Ahmad Seri Abu Bakar, 48, yang ketika itu bekerja di Tanjung Bin.
Katanya, pasukan perubatan yang tiba kemudiannya melakukan pemeriksaan sebelum mengesahkan Afiff sudah meninggal dunia.

Ahmad Seri pula berkata, Afiff yang juga pelajar pintar adalah anak ketiga daripada lima beradik dan bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Penggawa Barat (SMKDPB).
Afiff bakal menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) minggu depan.

Menurut Ahmad Seri, dia bergegas pulang ke rumah sejurus menerima panggilan telefon daripada isterinya pada jam 6.15 pagi.

“Tiba di rumah, Afiff sudah meninggal dunia. Saya reda di atas pemergian Afiff kerana Allah lebih menyayanginya.

“Afiff seorang yang rajin dan suka menolong ibunya memasak,” katanya.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Zahaliman Jamin ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan tiada unsur jenayah,” katanya.

Credit: Metro

Cantiknya cara dia meninggal, moga arwah berada bersama orng beriman

600 dapat kuali percuma

GLOUCESTER: Sebuah syarikat menanggung kerugian akibat kesilapan komputer. Kesilapan berkenaan menyebabkan kuali tidak melekat yang biasanya dijual dengan harga �18 (RM90) setiap satu diiklankan menerusi Internet dengan harga �0.00.
Berita mengenai tawaran menakjubkan itu tersebar begitu pantas di Internet pada Jumaat dan Sabtu lalu.

Kira-kira 600 orang memesannya dan ada yang memesan sehingga 40 buah.
Dengan harga jualan RM90 setiap satu, syarikat itu dianggarkan rugi sebanyak RM250,000 jika ia memenuhi semua pesanan itu.

Bagaimanapun ProCook mengambil keputusan untuk memberi secara percuma satu kuali kepada setiap pelanggan yang memesannya sebagai tanda muhibah.

Jurucakap syarikat, Sarah Savory-Smith berkata: “Kami tidak terikat dengan undang-undang untuk membekalkan kuali itu secara percuma. Tetapi kami memutuskan untuk memberikan secara percuma satu kuali kepada setiap orang yang memesannya.” - DM

Credit: Metro

Suka la etika berniaga seperti syarikat ini

Babi makan petani

OREGON (Amerika Syarikat) : Satu siasatan dilancarkan selepas seorang petani dipercayai mati dimakan oleh babi peliharaannya.
Terry Garner, 69, tidak pulang selepas memberi makan haiwan yang kelaparan itu di ladangnya di Oregon.

Seorang anggota keluarga kemudian menemui cebisan anggota tubuh dan giginya selepas babi itu memakan sebahagian besar mayat petani terbabit.
Pendakwa raya, Paul Frasier berkata, berat sebahagian babi itu melebihi 318 kilogram.

Siasatan dilancarkan untuk memastikan kematian Garner kerana laporan patologi tidak lengkap.

Frasier memberitahu akhbar The Register-Guard: “Apa yang kami tahu, ia kemalangan ngeri. Tetapi kami perlu melihat pada semua kemungkinan.” Adik petani itu, Michael, berkata, Garner pernah dibaham seekor babi betina yang besar selepas dia terpijak seekor anak binatang itu. - Agensi

Credit: Metro

Macam-macam hal di dunia ni