Wednesday 24 April 2013

Kebenaraan azab Allah

Credit: Utusan

bahagian hadapan makam Nabi Lut AS. 
 
DALAM pengertian keagamaan, hukuman yang ditimpakan kepada seseorang sebagai akibat daripada perbuatannya disebut azab. Hukuman itu sendiri terbahagi kepada dua, iaitu yang berasal daripada Allah SWT dan yang dilakukan oleh suatu golongan terhadap golongan lain.

Contoh hukuman daripada Allah SWT adalah hukuman yang ditimpakan kepada Firaun dan para pengikutnya agar mereka menyedari kekeliruannya dan kembali ke jalan yang benar. (maksud al-Quran, surah az-Zukhruf, ayat 48). Contoh hukuman daripada suatu golongan kepada golongan yang lain adalah seksaan yang dilakukan Firaun serta para pengikutnya terhadap Bani Israel dan pembunuhan semua bayi lelaki mereka. (al-Baqarah: 49, al-'Araaf: 141, Ibrahim: 6 dan ad-Dukhaan: 30-31)

Dalam al-Quran dijelaskan bentuk dan sebab azab. Contoh sebab azab kerana kafir kepada Allah SWT diterangkan dalam surah al-Anfal ayat 35, dan mendustakan ayat-ayat Allah SWT dalam surah al-'Araaf ayat 36-39.

Salah satu contoh bentuk azab Allah SWT di neraka adalah minuman daripada air yang sedang mendidih. Ini terdapat dalam surah al-An'am ayat 70.

Pada umumnya, kaum Asy'ariyah (penganut aliran Asy'ariyah) meyakini adanya azab Allah SWT yang ditimpakan kepada manusia ketika masih berada di dunia ini. Dalam al-Quran dikisahkan adanya azab dalam pelbagai bentuk bencana alam.

Bangsa-bangsa terdahulu yang ingkar atau zalim tertimpa bencana itu, misalnya angin kencang yang amat dingin dan membinasakan kaum Ad (al-Haqqah: 6)

Nabi Hud AS diutus Allah SWT untuk memberi peringatan kepada kaum Ad yang sesat (al-Ahqaf: 21) kerana mereka menyembah objek lain selain Allah SWT.

Mereka tidak mahu mendengarkan Nabi Hud dan tetap membangkang. Akhirnya, Allah SWT menurunkan azab kepada kaum Ad dalam dua tahap. Salah satu azabnya berupa kekeringan atau kemarau yang sangat dahsyat.

Sebelum bencana banjir diturunkan, Nabi Nuh AS sudah mengingatkan umatnya akan azab Allah SWT. Namun mereka tetap membangkang dan menolak ajakan Nabi Nuh AS. Akhirnya bencana banjir besar ditimpakan kepada kaum Nabi Nuh AS kerana mereka berbuat zalim. Atas perintah Allah SWT, Nabi Nuh AS dan kaumnya yang bertakwa membina bahtera besar agar mereka terhindar daripada bencana bah (banjir besar).

Menurut tafsir Ibnu Katsir, ada dua pendapat tentang azab kubur. Pertama, menyatakan bahawa azab kubur berbentuk penyeksaan secara fizikal, sedangkan yang kedua berpendapat bahawa azab kubur hanya merupakan pengalaman rohani. Meskipun demikian, tidak semua ulama, terutama ulama moden, berpendapat bahawa azab kubur itu ada. Sebahagian daripada mereka tidak percaya akan adanya azab kubur.

Para ahli ilmu kalam berpendapat bahawa azab di akhirat berlaku secara fizikal. Hal ini didasarkan pada keyakinan mereka tentang adanya kebangkitan jasmani seperti dinyatakan dalam firman Allah SWT yang bermaksud: Siapakah yang dapat menghidupkan tulang belulang yang telah hancur luluh? Katakanlah: Ia akan dihidupkan oleh Tuhan yang menciptakannya kali pertama. (Yaasin: 78-79)

Kaum sufi menolak kebangkitan (dibangunkan kembali) jasmani. Menurut mereka, jasmani bersifat sementara. Apa yang akan dibangkitkan (dibangunkan kembali) di akhirat adalah rohani. Oleh hal yang demikian itu, azab akhirat itu bersifat rohani.

Kekal sihat dengan beribadat

Credit: Utusan

Berpuasa itu amat digalakkan bukan sahaja manfaat pahalanya tetapi pada masa sama, ia memberi kerehatan kepada perut. - Gambar hiasan
 
TIDAK salah sesekali berbelanja dan mengeluarkan sejumlah wang untuk mengekalkan kesihatan selain meluangkan masa bagi melakukan aktiviti senaman.

Malah ia dituntut dan dititikberatkan menurut Islam kerana memelihara tubuh agar sentiasa dalam keadaan baik merupakan anugerah Allah SWT kepada hambanya.

Ia sebagaimana sabda Rasulullah SAW bermaksud: Sesungguhnya kamu mempunyai tanggungjawab untuk menunaikan hak terhadap tubuh badan kamu. (riwayat Bukhari)

Namun, tidak ramai menyedari, tidak perlu keterlaluan dalam berbelanja dan memperuntukan masa yang lama untuk kekal sihat. Tetapi dengan hanya melakukan ibadat berupaya mengekalkan kesihatan malah lebih lagi daripada yang diingini.

Ini kerana, di samping memperoleh ganjaran di akhirat, di sebalik setiap amalan ibadah yang disyariatkan oleh Allah SWT kepada umat Islam mempunyai kelebihan tersendiri.

Bukan sahaja digambarkan melalui al-Quran dan hadis, malah ia turut diakui menurut kajian sains moden yang membuktikan fadilat melaksanakan ibadah.

Pensyarah Kanan Fakulti Perubatan, Universiti Sains Malaysia, Dr. Irfan Mohamad berkata, tidak akan habis dan mampu dikaji untuk menghuraikan segala kelebihan amalan yang Allah SWT perintahkan.

Beliau yang banyak membuat pemerhatian melalui penyelidikan dan rujukan pakar mengenai kelebihan melaksanakan ibadah mengakui segala perintah Allah SWT adalah tidak sia-sia dan mempunyai pelbagai manfaat yang tidak kita ketahui.

Kelebihan wuduk

Dr. Irfan berkata, mengambil air sembahyang mampu mengelakkan tubuh daripada pelbagai penyakit yang mudah merebak ke dalam anggota tubuh.

Setiap basuhan seperti berkumur, membasuh tangan dan mencuci hidung mampu mencegah pelbagai wabak.
“Tangan yang tidak bersih boleh menjadi punca merebaknya wabak terutamanya penyakit bawaan bakteria yang merebak secara laluan fekal-oral. Penyakit-penyakit seperti gastroenteritis, hepatitis A, tifiod, kolera dan banyak lagi merupakan contoh penyakit yang boleh dicegah atau dikurangkan jika aspek kebersihan tangan diambil berat.

“Manakala, kepentingan menjaga kebersihan mulut merupakan suatu perkara yang tidak perlu diperdebatkan lagi. Sebab itulah muncul pelbagai jenis ubat kumur serta bentuk berus dan ubat gigi. Walaupun tidak disyariatkan dalam amalan berwuduk, tetapi digalakkan sebagaimana di dalam hadis.

“Begitu juga amalan memasukkan air ke dalam hidung. Kajian dalam bidang rinologi (perubatan hidung) menunjukkan bahawa amalan memasukkan air ke hidung (nasal wash) adalah berkesan untuk mengurangkan tanda-tanda penyakit alahan, sinusitis.

“Selain itu, amalan membersihkan hidung turut didapati dapat mengurangkan selesema dan membersihkan kaviti sinus, mengurangkan hidung tersumbat, melembapkan rongga hidung, mengurangkan batuk dan ‘post nasal drip’, membersihkan laluan hidung, mengembalikan fungsi silia dalam hidung, memperbaiki saliran sekresi, memperbaiki fungsi suara dan pernafasan, meningkatkan deria bau dan rasa serta mengurangkan alahan hidung sewaktu mengandung," kata Dr. Irfan.

Kelebihan solat

Sementara itu, Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Malaya, Profesor Dr. Fatimah Ibrahim dalam kajian yang dilakukan mendapati setiap pergerakan yang dilakukan dalam solat merupakan satu kaedah senaman yang bermanfaat kepada kesihatan manusia.

Antara hasil kajian tersebut adalah kesan pergerakan solat terhadap komposisi badan yang didapati mampu merawat denyutan jantung, terapi mati pucuk dan diet seimbang untuk menguruskan tubuh manusia.

Kajian kesan pergerakan solat terhadap komposisi badan yang dilakukan kepada 120 peserta mendapati keputusan yang berbeza. Ia diukur mengikut lima kaedah tabiat lazim solat sebagaimana yang dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW.

Kaedah tersebut adalah kekerapan bersolat, tahap memahami bacaan dalam solat, solat berjemaah, posisi ketika rukuk dan ketika sujud serta duduk tahiyat.

Kelima-lima kaedah tersebut katanya jika dilakukan dengan sempurna mampu memberi kesan positif kepada tubuh seperti menenangkan fikiran, menyihatkan badan, menambah tenaga dan mengurangkan kolestrol dalam tubuh.

Kelebihan puasa

Dalam pada itu, Dr. Irfan berkata, kajian menunjukkan proses metabolisme melibatkan karbohidrat menurun ketika berpuasa dan aktiviti pembakaran lemak meningkat (El Ati J, Beji C, Danguir J).

“Kajian yang berbeza menunjukkan penurunan berat badan sebanyak 1.7 kg, 1.8 kg, 2.0 kg dan 3.8 kg berlaku ke atas mereka yang berpuasa Ramadan sebulan penuh.

“Dengan berpuasa juga dapat mengurangkan kesan negatif ke atas pesakit yang mengalami kecederaan sederhana di bahagian otak. Malah fungsi buah pinggang menjadi stabil serta merendahkan risiko penyakit jantung.

“Beberapa hari selepas ibadah puasa, paras hormon endorphins, meningkat di dalam darah menjadikan seseorang lebih fokus dan tenang, menurunkan berat badan, mengawal penyakit kencing manis serta darah tingi," jelasnya.

Kelebihan berkhatan

Dr. Irfan menjelaskan, manakala kulit yang dibuang pada kemaluan manusia merupakan perangkap kepada kekotoran dan najis terutama sisa-sisa pembuangan air kecil.

Jika tidak dibersihkan dengan begitu berhati-hati dan sempurna, maka kekotoran tersebut akan terperangkap di kemaluan.

Beliau berkata, kesannya, tubuh sentiasa membawa najis dan ini boleh mengakibatkan Jangkitan kuman.
“Bakteria amat suka kepada suasana sebegini kerana ia menjadi medium yang amat sesuai untuk pertumbuhan koloni bakteria.

“Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO, 2007) dan Pusat Kawalan & Pencegahan Penyakit Berjangkit (CDC, 2008) telah menyatakan bahawa amalan berkhatan mampu membantu mencegah risiko jangkitan HIV.

“Phimosis adalah keadaan di mana kulit di hujung kemaluan lelaki tidak dapat ditarik atau tertarik ke belakang sewaktu ereksi. Keadaan ini memberikan kesakitan kepada mangsa yang mengalaminya selain potensi gangguan kepada perjalanan air kencing, fungsi seksual dan sebagainya.

“Ada juga kajian yang menunjukkan phimosis ialah faktor risiko untuk mendapat kanser (Willcourt, 2000). Walaupun terdapat beberapa kaedah lain untuk merawatnya, namun berkhatan ialah salah satu cara yang paling awal dilaksanakan, dan ia berkesan," ujar Dr. Irfan.

Beri satu dapat 10

Teringat kata-kata dr Azizan....Beri,beri, beri, berkat


Credit: Utusan


PADA suatu hari, Siti Fatimah teringin memakan epal. Lalu Saidina Ali keluar mencarinya buat isteri tercinta. Dalam perjalanan pulang, Saidina Ali terserempak dengan seorang lelaki miskin yang meminta sedikit makanan daripadanya kerana sudah lama tidak makan.

Saidina Ali menjadi berbelah bahagi antara isteri serta membantu si miskin itu. Namun, atas dasar kemanusiaan dan persaudaraan sesama Islam, disulami rasa tanggungjawab sebagai suami, dia memotong buah epal itu kepada dua bahagian. Sebelah disimpan untuk isterinya dan sebelah diberikan kepada lelaki miskin tersebut.

Lelaki itu meminta lagi kerana terlalu lapar. Situasi ini membuatkan Saidina Ali berada dalam dilema. Oleh kerana terlalu belas kepada si miskin itu, maka baki epal yang sebelah itu turut diberikan kepada lelaki miskin itu.

Lalu pulanglah menantu Rasulullah SAW itu dengan tangan kosong. Setibanya di rumah dilihat Siti Fatimah sedang menanti-nanti kepulangannya dengan tersenyum lebar.

Saidina Ali rasa bersalah lantas terus menceritakan kejadian yang berlaku serta meminta maaf kepada isterinya dan berjanji akan membawakannya epal yang lain.

Saidina Ali terkejut apabila Siti Fatimah memberitahu baharu tadi ada seseorang datang memberikan mereka sebakul epal seraya menunjukkan bekas yang berisi sembilan biji epal.

Saidina Ali lantas bertanyakan di mana sebiji lagi epal tersebut. Sungguhpun dalam terkejut, Siti Fatimah mengakui yang dia telah memakannya kerana terlalu teringin.

Dalam kehairanan, Siti Fatimah sempat bertanya bagaimana suaminya mengetahui bahawa di dalam bakul itu ada 10 biji epal?

Lalu Saidina Ali tersenyum dan berkata: “Sayang, bukankah ayahmu mengajar kita bahawa setiap satu amalan yang kita perbuat, Allah akan membalasnya dengan 10 kali ganda ganjaran. Tadi abang memberikan sebiji epal kepada orang yang memerlukan, lalu abang yakin imbalan yang kita terima adalah ibarat epal ini. Sudah tentu Allah mentakdirkannya agar 10 biji, bukannya sembilan."

Kisah ini bukannya bermaksud setiap apa yang kita keluarkan akan mendapat balas terus pada masa itu juga dengan gandaan 10, namun itu juga tidak mustahil dengan kuasa Allah SWT.

Apa yang lebih penting untuk kita fahami, betapa tinggi dan besarnya kasih sayang Allah SWT kepada kita dan betapa hebatnya iman para sahabat.

l Susunan daripada buku Bertanya Tentang Tuhan terbitan Mustread Sdn. Bhd.

Tuesday 23 April 2013

HFG sedia pindah teknologi, kepakaran hasil daging wagyu



Pastikan anda mempunyai perancangan rapi apabila ingin memasuki persaingan/peperangan baru. Sebagai contoh syarikat jepun dari Jepun ini

Credit: Berita Harian


Hannan Foods Group (HFG) bercadang menjadikan Malaysia pusat pengeluaran Asia bagi daging premium yang sama mutunya dengan daging 'wagyu' yang dihasilkan di negara matahari terbit itu.

Pengarah syarikat tujuan khas pelaburannya Aruk Mert Co Ltd, Kakishima Takaaki, berkata pihaknya sudah pun mempunyai nama bagi produk bergred tinggi itu, iaitu 'Malay Beef'.
Katanya, kumpulan itu berhasrat membawa teknologi ternakan dan penghasilan produk premium itu jika kerjasamanya dengan Otoshitos Sdn Bhd untuk terbabit dalam projek Pusat Fidlot Nasional (NFC) menerusi pengambilalihan National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCSB) menjadi kenyataan.


"Kami ingin membangunkan industri itu di sini. Kami mempunyai pengalaman lebih 65 tahun dalam industri ternakan lembu di Jepun. Namun, berikutan kos tenaga kerja di Jepun yang tinggi sementara penghasilan daging wagyu mempunyai kaedah ternakan tersendiri yang mana hanya memakan bahan organik tanpa kimia, ia menjadikan harga produk itu mahal.

Pindah teknologi ke Malaysia

"Sasaran kami di pasaran Asia adalah untuk menjadikan Malaysia pengeluar daging berkualiti sama seperti daging wagyu yang dikeluarkan di Jepun," katanya. pada temubual dengan akhbar kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) di Kuala Lumpur, kelmarin. Yang turut hadir, Pengerusi KASB dan Pengarah Eksekutif Otoshitos, Datuk Nik Mod Amin Abd Majid.

Takaaki berkata, lembu yang menghasilkan daging wagyu kini berharga kira-kira RM60,000 seekor dan negara pengeluar daging utama seperti Australia dan Amerika Syarikat juga sudah mula mengeluarkan produk sama.
Katanya, syarikat Jepun itu bercadang menjalinkan kerjasama dengan Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi urusan pemindahan teknologi dan latihan tenaga kerja mahir.

"Kami akan memindahkan teknologi itu ke sini, namun ada masalah dari segi bekalan makanan ternakan dan latihan tenaga mahir. Kami yakin UPM dapat menyokong menerusi kerjasama modal insan," jelasnya.

Sementara itu, Nik Mod Amin berkata, projek NFC dapat mewujudkan pelbagai industri sampingan termasuk penghasilan daging bergred tinggi seperti wagyu, selain pengeluaran makanan ternakan daripada sisa sawit serta gelatin dan bahan kosmetik halal.

Hannan Foods minat ambil alih projek NFC

Syarikat Jepun pun berminat dengan pasaran lembu di Malaysia, bagaimana dengan orang tempatan..takkan nak biarkan orang luar mengawal pasaran dalam negara..jom mulakan perniagaan/perternakan anda


Credit: Berita Harian


Hannan Foods minat ambil alih  projek NFC
 
Hannan Foods Group (HFG) memutuskan untuk turut terbabit dalam pengambilalihan projek Pusat Fidlot Nasional (NFC) berikutan konsep perniagaannya yang berdaya maju, peluang meneroka industri halal serta infrastruktur yang sudah sedia dibangunkan.

Firma penternak lembu terbesar dan kumpulan pengeluar produk makanan kedua terbesar di Jepun itu menerusi Kirimitonas Agro Sdn Bhd (KASB) iaitu syarikat usaha samanya dengan Otoshitos Sdn Bhd, Jumaat lalu memeterai surat hasrat bagi memulakan rundingan untuk mengambil alih semua aset dan liabiliti National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCSB), iaitu pengendali projek berkenaan.

HFG menerusi syarikat tujuan khas (SPV) pelaburan dan pengembangan perniagaan antarabangsanya, Aruk Mert Co Ltd (Aruk Mert) memiliki 40 peratus ekuiti dalam KASB, manakala 60 peratus lagi dimiliki syarikat tempatan, Otoshitos Sdn Bhd.


Pengarah Aruk Mert, Kakishima Takaaki, berkata HFG yakin konsep perniagaan NFC adalah berdaya maju kerana ia hampir menyamai perniagaan HFG yang dimulakan di Jepun selepas Perang Dunia Kedua lebih 65 tahun lalu susulan kebimbangan kerajaan negara itu mengenai isu jaminan makanan.

Berdasarkan pengalaman, jika kita mahu berdaya maju dalam industri sebegini, kita perlu terbabit dalam menyediakan penyelesaian menyeluruh, daripada aktiviti penternakan, pemprosesan daging, pengeluaran makanan ternakan dan pemasaran.

Projek berpotensi besar

Apabila melihat NFC, kami seolah-olah menemui konsep sama seperti dilaksanakan di Jepun. Kami memiliki teknologi dan kaedah pengeluaran yang boleh dipindahkan ke sini. Projek ini berpotensi besar. Kami mahu bertapak di sini untuk mengembangkan perniagaan ke pasaran baru," katanya pada sesi temubual bersama akhbar kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) di Kuala Lumpur, kelmarin.
Yang hadir sama ialah Pengerusi KASB dan Pengarah Eksekutif Otoshitos, Datuk Nik Mod Amin Abd Majid.

Takaaki berkata, pasaran daging lembu di Jepun yang sudah mencapai tahap tepu menjadi antara sebab kumpulan itu mula mengembangkan perniagaan di peringkat global khususnya pasaran produk makanan halal yang berpotensi besar.

"Penerokaan produk makanan halal adalah matlamat utama dalam langkah pengembangan perniagaan kami di luar Jepun dan negara terbaik untuk menjadi tapak pengeluaran produk halal tentunya Malaysia.

Ini berikutan penjenamaan produk halal Malaysia sudah diterima di peringkat global. Malaysia juga adalah pusat kepada ekonomi ASEAN. Hannan mahu menjadikan Malaysia sebagai hab pengembangan perniagaan di rantau ini dan Asia Barat, dan kami melihat peluang itu ada pada NFC," jelas beliau.

Sementara itu, Nik Mod Amin berkata, Hannan melihat NFC sebagai jalan pintas untuk meneroka pasaran produk makanan halal dan mengembangkan perniagaan di rantau ini.

Katanya, jika mereka mahu meneroka sendiri dengan memulakan tapak dari peringkat bawah, ia akan memakan masa.

Edar daging berkualiti

NFC sebaliknya sudah siap membangunkan ladang model seluas 1,500 hektar. Ketika melaksanakan kajian terperinci kira-kira setahun lalu, kami dapati semua kemudahan sudah tersedia termasuk rumah penyembelihan. Jika nak mulakan sendiri kemudahan seperti itu, ia akan mengambil masa hingga lima tahun.

Selain itu, sebahagian ladang satelit juga sudah dibangunkan. Seperti dalam Perjanjian Pelaksanaan NFC, kerajaan akan membangunkan 310 ladang ternakan satelit dan kontrak. Setakat ini, 71 sudah beroperasi dan ia adalah satu daya tarikan. NFC setakat ini juga sudah berupaya mengedar daging berkualiti," katanya.

Industri bekalan daging lembu di negara ini juga dilihat berpotensi besar kerana kini hanya 24 peratus bekalan daging di dalam negara dibekalkan pembekal tempatan, manakala baki 76 peratus lagi adalah diimport.

Caj tambahan 1 peratus untuk dana tenaga boleh baharu

Kenapa penguna perlu membayar caj tambahan untuk perkhidmatan yg akan dikenakan kepada mereka? Adakah ini bermaksud, suatu hari nanti TNB akan memberikan elektrik percuma apabila FiT dilaksanakan


Credit: Kosmo


KUALA LUMPUR - Tenaga Nasional Bhd mengulangi yang caj tambahan satu peratus yang dikenakan ke atas pengguna berat tenaga elektrik ialah untuk dana tenaga boleh baharu di bawah mekanisme Feed-in-Tariff (FiT).

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Azman Mohd berkata, Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) telah ditubuhkan untuk mentadbir dan melaksanakan mekanisme FiT bagi meningkatkan pertumbuhan tenaga boleh baharu dan merancakkan pembangunan industri dan teknologi di dalam negara.

Beliau berkata, bagi memastikan mekanisme FiT, Akta Tenaga Boleh Baharu 2011, telah membolehkan penubuhan Dana Tenaga Boleh Baharu.

"TNB hanya mengumpulkan wang yang dianggarkan bernilai RM30 juta setahun dan jumlah itu terus disalurkan ke SEDA,” kata beliau kepada pemberita selepas pelancaran Taska 1TNB oleh Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin di sini hari ini. - BERNAMA

Friday 19 April 2013

Kuzmanovic cipta kereta F1 di dalam bengkel

Orang bosnia boleh bina kereta F1 sendiri buatan bengkel tempatan, bagaimana orang Malaysia.

 

Credit: Kosmo



KERETA itu dipandu di sebatang jalan raya yang turut digunakan kenderaan lain.



PRNJAVOR, Bosnia - Seorang penduduk di sini, Miso Kuzmanovic membina sebuah kereta lumba Formula Satu (F1) di dalam sebuah bengkel sejak dua tahun lalu.

Dia membina kereta tersebut bersama rakan-rakan dan anggota keluarganya dengan kos sebanyak AS$33,000 (RM100,006).

Ia menggunakan enjin kereta sport, Porche.

Apabila dia berpindah ke Kanada pada tahun depan, Kuzmanovic merancang untuk mencari sebuah syarikat yang akan mengeluarkan reka bentuk kereta itu. - Reuters

Pelabuhan zaman Firaun ditemukan

4500 tahun dahulu pelabuhan untuk mengeksport tembaga dan bijih lain dah ada di Mesir. Berapa ribu tahun dulu ya bot pertama dicipta? 

Credit: Utusan

Sebuah pelabuhan yang dipercayai berusia 4,500 tahun ditemukan oleh pakar arkeologi di kawasan perairan Laut Merah, di Mesir, kelmarin. - AGENSI 
 
KAHERAH 17 April - Pakar arkeologi menemukan satu pelabuhan tertua di dunia yang terletak di kawasan perairan Laut Merah di Mesir.

Pelabuhan tersebut dipercayai berusia 4,500 tahun yang digunakan ketika pemerintahan Firaun Khufu (Cheops) pada Dinasti Keempat.

Pelabuhan itu ditemui di kawasan Wadi el-Jarf, selatan Suez, Mesir bersama beberapa manuskrip papirus dalam aksara hiroglif.

Struktur yang dipercayai 1,000 tahun lebih tua dari pelabuhan lain di dunia itu ditemui oleh pasukan Institut Pengajian Arkeologi Perancis.

Akhbar Daily Mail semalam melaporkan pasukan arkeologi itu percaya, pelabuhan berkenaan merupakan pelabuhan komersial paling penting pada zaman purba Mesir dan digunakan untuk mengeksport tembaga dan bahan mineral lain dari Semenanjung Sinai.

Manuskrip tersebut mengandungi maklumat pengurusan untuk mendapatkan roti dan arak kepada pekerja yang akan keluar dari pelabuhan itu.

Satu daripada manuskrip itu juga menceritakan maklumat tentang kehidupan penduduk Mesir purba.
Pihak berkuasa Mesir berkata, pasukan arkeologi tersebut menemukan pelbagai jenis limbungan dan batu sauh. - AGENSI

Cabaran teknologi tingkat hasil pertanian

POPULASI penduduk dunia meningkat, kawasan pertanian mengecil, pemanasan global manakala sumber air dan tenaga semakin berkurangan. 

Apabila populasi meningkat, bagaimana hendak meningkatkan pengeluaran makanan dengan sumber terhad?
Justeru saintis mencipta kaedah organisma yang terubah suai secara genetik atau ringkasnya GM dalam bidang bioteknologi bagi mendapatkan tanaman yang lebih produktif, rintang perosak dan cuaca melampau.
Bagaimanapun pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dunia menentangnya dengan pelbagai alasan.
Ada yang mendakwa produk GM membawa kesan buruk kepada masyarakat dunia sehingga dilabelkan sebagai Frankestein Food.

Sebenarnya apa itu produk GM? Produk GM didefinisi sebagai organisma yang ditambah dengan DNA asing menggunakan kaedah bioteknologi dan tidak berlaku secara semulajadi.

Biasanya DNA asing ditambah bagi meningkatkan kualiti sesuatu tanaman seperti dalam kacang soya bagi rintang terhadap serangga.

Pengarah PG Economics Ltd. UK, Graham Brookes yang menjalankan kajian mengenai impak teknologi baru terhadap ekonomi, pertanian dan alam sekitar selama 25 tahun berkata, tanaman GM mula ditanam secara komersial di seluruh dunia sejak 1996.

"Pada tahun lalu saja 160 juta hektar kawasan pertanian oleh 16.7 juta petani dengan tanaman GM iaitu 90 peratus di negara membangun.

"Semua tanaman bioteknologi yang ditanam perlu menjalani pemeriksaan saintifik yang ketat oleh kerajaan merangkumi kesan kepada kesihatan dan alam sekitar sebelum dibenarkan ditanam," katanya semasa membentangkan kertas kerja bertajuk Impak Global Tanaman Bioteknologi: Kesan Ke Atas Ekonomi dan Alam Sekitar 1996-2010.

Seminar sehari itu bertajuk Teknologi GM bagi Keselamatan Makanan, Kesihatan dan Alam Sekitar Mapan anjuran Pusat Informasi Bioteknologi Malaysia (MABIC) dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) di Serdang, Selangor baru-baru ini.

Brookes berkata, selepas lebih 15 tahun menanam dan menggunakan tanaman GM, tidak terdapat bukti keburukan tanaman berkenaan kepada kesihatan, keselamatan dan alam sekitar.

Sehingga kini, Amerika Syarikat (AS), India, China dan Filipina telah menanam tanaman bioteknologi merangkumi kacang soya, kanola, jagung dan kapas.

"Kebanyakan tanaman yang ditanam sama ada rintang terhadap serangga atau insect resistant (IR) dan toleransi racun rumpai atau herbiside tolerance (HT)," katanya.

Justeru penggunaan kedua-dua tanaman IR dan HT bukan saja dapat meningkatkan pengeluaran bahkan meningkatkan taraf kesihatan dan alam sekitar.

"Penggunaan tanaman IR dan HT dapat mengurangkan pencemaran kerana penggunaan racun perosak dapat dikurangkan menyebabkan kurang kes keracunan di kalangan petani.

"Kajian menunjukkan penggunaan racun serangga di kawasan tanaman kapas di seluruh dunia dapat dikurangkan sehingga 170 juta kilogram setahun," katanya.

Brookes berkata, petani lebih suka tanaman GM kerana kebaikan yang diperolehi tetapi masalah timbul dengan penerimaan pengguna yang hanya mendengar daripada sebelah pihak.

Pengarah Eksekutif MABIC, Mahaletchumy Arujanan dalam kertas kerjanya GM Bukan Frankestein berkata, GM adalah cabaran bagi saintis untuk memberikan penerangan bagi menepis segala tuduhan yang anti-GM.

"Sebenarnya tiada kaitan antara Frankestein dan GM kerana evolusi dalam pertanian telah berlaku sejak beribu-ribu tahun lalu.

"Semua tanaman bermula dengan tumbuhan liar yang kemudiannya berevolusi menjadi tanaman yang boleh dimakan," katanya.

Malah kata Mahaletchumy, sesiapa saja pasti terkejut melihat induk asal jagung, gandum atau lobak sebelum berevolusi.

"Segalanya bagi mendapatkan produk yang lebih bagus," katanya.

Terdapat beberapa cara meningkatkan kualiti tanaman sama ada menggunakan kaedah konvensional atau moden termasuk GM.

Bagi kaedah GM, semuanya perlu mematuhi piawaian keselamatan antarabangsa yang ketat melibatkan pengeluaran biji benih sehingga ke meja makan.

Ini termasuk analisis seluruh tanaman, analisis biji benih, ciri-ciri keselamatan, toksikologi, penghadaman dan alam sekitar.

Pegawai Penyelidik Prinsipal MARDI, Indu Bala Jaganath berkata, Dasar Makanan Negara 2011 -2020 memastikan bekalan makanan mencukupi bagi seluruh rakyat negara ini.

"Satu bilion daripada tujuh bilion penduduk dunia akan kebuluran disebabkan harga makanan meningkat kerana bencana alam akibat pamasan global dan cuaca tidak menentu," katanya semasa membentangkan kertas kerja bertajuk Teknologi GM bagi Menangani masalah Keselamatan Makanan dan Perubahan Cuaca.
Masalah kemarau di Thailand memberi kesan kepada tanaman padi dan ubi, masalah serangga perosak betik, pisang dan padi memberikan kesan buruk kepada petani di negara ini.

"Justeru kajian perlu dijalankan bagi menghasilkan tanaman yang lebih rintang terhadap penyakit, cuaca melampau dan GM adalah jawapannya," katanya.

Buat masa ini MARDI menjalankan kajian mengenai toleransi tanaman terhadap kemarau, meningkatkan jangka hayat dan kerintangan terhadap penyakit.

"Kita tidak boleh terlepas pandang mengenai teknologi GM dalam usaha menangani masalah pertambahan populasi, perubahan cuaca dan kawasan tanah subur yang terhad.

"Faedah yang besar dalam tanaman GM akan membawa kejayaan keselamatan makanan," katanya.
Pensyarah Sains Haiwan, Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr. Jothi Malar Panadam berkata, biasanya GM dalam industri ternakan adalah makanan haiwan yang terdiri daripada jagung dan soya serta haiwan transgenik.

"Bagaimanapun ternakan GM belum lagi dihasilkan kerana kos pengeluaran yang tinggi, isu etika dan polisi.
"Biasanya haiwan ternakan GM lebih kepada kerintangan terhadap penyakit bagi mengelakkan penternak berhadapan dengan kerugian apabila berlaku sesuatu wabak," katanya semasa membentangkan kertas kerja bertajuk Potensi GM dalam Industri Ternakan Malaysia.

Misalnya ayam GM yang tidak menjangkitkan selesema burung kepada manusia dan lembu yang rintang kepada penyakit lembu gila di Korea.

Bagaimanapun semua haiwan ternakan GM perlu mematuhi kelulusan Codex Alimentarius Commission.
Selain untuk makanan, haiwan ternakan GM juga digunakan untuk kegunaan perubatan dan farmaseutikal seperti biopharming (haiwan sebagai bioreaktor) dan xenotransplant (pemindahan organ haiwan kepada manusia).

Masalah timbul apabila terdapat pihak yang bimbang mengenai keselamatan, retrovirus dan kemungkinan menghasilkan makhluk gergasi.

Pensyarah Program Sains Gunaan dengan Pengajian Islam, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM), Shaikh Mohd. Saifuddeen Shaikh Mohd. Salleh berkata, Majlis Fatwa Kebangsaan pada 1999 menetapkan sebarang produk yang menggunakan DNA babi adalah haram mengikut hukum Islam dan tidak dibenarkan sama sekali.

Penggunaan bioteknologi dalam DNA babi belum sampai ke tahap darurat dan mempunyai pilihan lain.
"Pada 2011 pula, penggunaan bahan bagi menghasilkan makanan GM serta berbahaya kepada manusia dan alam sekitar adalah haram.

"Bagaimanapun penggunaan ternakan halal dibenarkan bagi menghasilkan makanan GM asalkan haiwan disembelih mengikut hukum syarak," katanya.

Bioetika Islam berdasarkan pendekatan maqasid sebagai kayu pengukur bagi memastikan produk GM mematuhi hukum syarak.

Credit: Utusan

Harga emas terendah sejak 2011



Dalam minggu ni, harga emas pada tahun 2013 turun serendah pada tahun 2011. Antara berita pelik dalam urus niaga komoditi. Harga barang menurun, huhuhu.

Bagi orang yang menyimopan emas untuk pelaburan jangka masa panjang, beli tambah stok anda. Moga ia memberi manfaat pada anda di amsa depan
Bagi pelabur jangka masa pendek, moga anda dapat mengambik kesempatan seelok-eloknya.

Bagaimanapun, jangan jual emas pada masa sekarang, beli dan simpan banyak2 untuk masa depan.

Credit: Utusan

 


HARGA emas dunia menyaksikan penurunan sejak dua tahun lepas disebabkan keadaan 
ekonomi dunia yang tidak menentu. â€" REUTERS


KUALA LUMPUR 17 April - Harga emas dunia mencatat penurunan mendadak dalam tempoh enam bulan dengan kemerosotan harga lebih 20 peratus apabila didagangkan pada harga AS$44.3 (RM134) segram hari ini.

Harga komoditi berkenaan mencatatkan rekod tertinggi sepanjang tahun iaitu mencecah AS$60 (RM181.7) segram pada 2011 dan kemudiannya menunjukkan trend menurun kepada AS$50 (RM151) segram pada separuh pertama 2012.

Pada Oktober 2012, harga emas kembali bangkit untuk mencecah AS$57 (RM173) segram, namun momentum berkenaan tidak kekal lama sekali gus terus mencatatkan penurunan mendadak.

Harga emas didagangkan pada AS$54 (RM164) segram pada Januari tahun ini dan nilainya terus merosot dengan ketara bulan ini dengan mencatatkan harga AS$50 (RM151) segram pada 1 April dan kemudiannya jatuh lagi kepada AS$44 (RM133) segram.

Semalam komoditi berkenaan jatuh ke paras terendah sejak 2011 dengan didagangkan pada harga AS$43 (RM130) segram.

Penganalisis berpendapat penurunan berkenaan disebabkan oleh faktor kelembapan ekonomi China dalam tempoh tiga bulan ini sehingga menyebabkan industri emas dan besi berdepan dengan situasi sukar.
China merupakan negara kuasa ekonomi kedua terbesar dunia dengan rekod pertumbuhan 7.7 peratus setahun namun semakin perlahan disebabkan banyak faktor.

Bagaimanapun, dari segi prestasi emas dalam tempoh 12 tahun sebelum ini, komoditi berkenaan mengekalkan rekod pertumbuhan tahunan positif untuk tempoh 12 tahun berturut-turut dan dalam perkiraan lima tahun kebelakangan ini pertumbuhan lebih 46 peratus dicatatkan.

Penganalisis berpendapat harga emas akan bangkit semula dari fenomena kejatuhan ini untuk mencatat pertumbuhan positif untuk tempoh sepanjang tahun ini.

Berdasarkan perangkaan ini, situasi kejatuhan harga emas, sekarang adalah masa terbaik untuk pelabur emas mengambil peluang meningkatkan pelaburan masing-masing.

Walaupun harga emas kadang kala tidak menentu, namun prestasi jangka panjangnya adalah lebih baik berbanding pelaburan dalam komoditi lain.

Bantu celik saham

Tahniah kepada syarikat bumiputra ini yang berjuang dalam kewangan Islam

Previu buku keluaran mereka boleh dilihat di sini (click here)

Credit: Metro

Kuala Lumpur: Afiq Training & Advisory, syarikat 100 peratus Bumiputera yang mengkhusus dalam bidang latihan pengurusan kewangan Islam yang memperkenalkan e-buku Panduan Cash Flow akan memperkenalkan portal saham berkonsep majalah dalam talian.

Perunding Utama dan Perancang Kewangan Islamnya, Suzardi Maulan berkata, konsep itu masih dalam draf dan akan diperkenal pertengahan tahun ini menggunakan medium bahasa Melayu.

Katanya, objektif utama syarikat mewujudkan portal saham itu untuk memberi pengetahuan serta mendidik masyarakat terutama Bumiputera celik pelaburan.

“Masyarakat kurang mengetahui cara melabur dengan betul dan tugas kami di sini memberi maklumat mengenai pelaburan daripada asas sehingga ke peringkat paling utama.

“Selain portal terbabit, kami turut mengadakan bengkel saham kepada orang ramai,” katanya.

Suzardi berkata, pihaknya juga menstrukturkan pelbagai penyelesaian patuh syariah untuk produk deposit berstruktur, kad kredit, kewangan dagang, unit amanah, khazanah, akaun pelaburan emas dan sebagainya.
Menurutnya, menerusi kejayaan jualan e-buku Panduan Cash Flow yang berjaya dijual lebih 2,000 salinan, pihaknya juga merancang mengeluarkan edisi semakan semula buku Rancang Wang Dari Sekarang.

Sementara itu, beliau turut berkongsi mengenai perancangan utama jangka panjang syarikatnya untuk mewujudkan syarikat pengurus dana bersaiz kecil.

“Ia dipanggil sebagai Boutique Fund Manager (BFM) dan mempunyai saiz dana minimum RM100 juta. Jika di Malaysia, konsep ini masih tidak begitu popular lagi berbanding di luar negara. Namun, kami menyasarkan BFM dapat diwujudkan lima tahun lagi selepas mendapat kelulusan,” katanya.

Otzi manusia Zaman Ais

 Hasil kajian saintis barat terhadap mumia di negara mereka...satu fakta yang menarik %300 tahun dulu pun orang dah start makan roti...

Credit: Metro
..................................................................


Manusia prasejarah sejak dulu lagi menjadi tumpuan kajian ahli ilmuwan dan arkeologi.
Namun, penemuan seterusnya ini turut membuka lembaran baru mengenai diet makanan ringan yang diamalkan.

Otzi, lelaki prasejarah berusia 5,300 tahun yang ditemui membeku di kawasan pergunungan Itali dikatakan memakan banyak bahan karbohidrat terutama roti dan bubur bijirin, ujar saintis selepas melakukan pemeriksaan gigi Otzi.

Mumia terbabit ditemui pada September 1991 di Otztal Alps iaitu berhampiran Gunung Similaun dan Hauslabjoch di sempadan antara Austria dan Itali.

Otzi mendapat nama sempena tempat penemuannya itu.

Penyelidik mendapati keadaan gigi Otzi amat menyedihkan dan menghidap beberapa kerosakan kaviti selain gigi depannya yang rosak teruk mungkin disebabkan kemalangan.

Menurut penyelidik, manusia Zaman Ais mungkin tidak pernah membersihkan gigi, sekali gus menyebabkan mereka mengalami nafas berbau.

Pendedahan yang berkait dengan penyakit mulut dan masalah gigi ini merupakan satu kejutan besar kerana masih berleluasa hingga ke hari ini.

Ketua kajian, Profesor Frank Ruhli berkata, Otzi mengalami kesan calar yang berat pada giginya, beberapa luka lesi karies iaitu kemusnahan struktur gigi yang bermula dari enamel dan boleh merebak ke bahagian dentin dan pulpa jika tidak dirawat.

Lebih 20 tahun kajian dijalankan ke atas mumia ini namun giginya hampir-hampir tidak dapat diperiksa.

Doktor Gigi, Roger Seiler dari Pusat Perubatan Evolusi, Universiti Zurich memeriksa gigi Otzi berdasarkan data tomografi komputer yang terkini.

Pembinaan semula tomografi tiga dimensi itu membolehkan mereka memahami rongga mulut manusia Zaman Ais dan menganalisa masalah yang dihadapi.

Seiler mendapati di bahagian belakang gigi geraham, berlakunya kehilangan tisu sokongan periodontal hingga sampai ke hujung akar.

Meskipun Otzi jarang atau lebih tepat tidak mungkin membersihkan gigi, diet pemakanannya yang kasar menyumbang kepada proses pembersihan dengan sendirinya.

Manusia Zaman Ais mengalami kerosakan gigi disebabkan mereka memakan banyak makanan berkanji seperti roti dan bubur bijirin.

Makanan terbabit dikatakan sangat kasar kerana ia bahan tercemar dan dimakan dengan kasar.

Pasukan penyelidik percaya, kemalangan yang berkaitan dengan kerosakan gigi serta kecederaan lain sebagai petunjuk bahawa Otzi turut mengalami masalah dalam kehidupan.

“Satu antara gigi hadapannya mengalami trauma mekanikal dengan perubahan warna yang jelas kelihatan. Manakala satu gigi geraham kehilangan kuspa akibat mengunyah sesuatu yang keras, kemungkinan batu-batu kecil yang secara tidak sengaja berada dalam bubur.

“Penemuan Otzi membolehkan masyarakat mengetahui dengan jelas peringkat awal penyakit ini,” kata Seiler.

Manusia Zaman Ais dikenali dengan meluasnya manakala Otzi merupakan mumia ‘basah’ yang tertua di dunia.

Sejak penemuan Otzi, banyak pemeriksaan saintifik dilakukan, antaranya pada 2007 oleh Frank Ruhli yang mendapati kematian lelaki itu mungkin akibat pendarahan dalaman.


INFO:

Kenali Otzi

  • Mumia ais yang berusia 5,300 tahun dikenali sebagai Otzi mengalami kes pertama di dunia yang menderita penyakit Lyme, parasit bakteria yang disebarkan kutu mengikut analisis DNA terbaru.
  • Otzi mempunyai ketinggian 158 sentimeter, mata berwarna coklat dan mempunyai saudara-mara di Sardinia.
  • Dia juga terdedah kepada penyakit jantung.
  • Mayat lelaki itu ditemui pada September 1991 dekat sempadan Itali dengan Austria oleh sepasang pelancong Jerman yang berjalan di Lembah Oetz.
  • Dia berusia 46 tahun sewaktu ditemui.
  • Penyelidik mendapati, isi perutnya yang terakhir mengandungi hidangan terdiri daripada daging rusa dan kambing gurun.
  • Otzi mungkin seorang pemburu atau pahlawan kerana membawa busur, anak panah dan kapak tembaga. Dia dipercayai terbunuh dalam pertelingkahan dengan puak saingannya.
  • Mayatnya dipelihara dengan sempurna di dalam kebuk simpanan sejuk yang dipamerkan di Muzium Arkeologi Tyrol Selatan, Itali pada suhu -6 darjah Celsius.
  • Model wajah Otzi dicipta menggunakan teknologi imej tiga dimensi (3D) dan dihasilkan dua artis dari Belanda, Alfons dan Adrie Kennis. - DM
  • MSC Malaysia sedia 85,000 peluang kerja

     MSC Malaysia sedia 85,000 peluang kerja  
     
    Inisiatif tingkat kemahiran pekerja pikat pelabur luar negara

    MSC Malaysia bakal mewujudkan sehingga 85,000 peluang pekerjaan berpendapatan tinggi baru sehingga 2015.

    Ia adalah tambahan kepada 119,000 pekerjaan yang telah diwujudkan daripada inisiatif teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) perdana negara itu setakat akhir 2011.
    Ketua Eksekutif Multimedia Development Corporation (MDeC), Datuk Badlisham Ghazali, berkata jumlah pekerjaan yang bakal diwujudkan itu berdasarkan kepada peningkatan arah aliran pelaburan ke MSC Malaysia sejak beberapa tahun kebelakangan ini.


    “MSC Malaysia terus menerima pelaburan baru dari luar negara, di samping pelaburan domestik yang sekali gus mewujudkan banyak peluang pekerjaan.

    “Pelabur menggemari Malaysia sebagai pusat pengembangan operasi mereka memandangkan kita sentiasa berusaha meningkatkan dan menaik taraf tahap kemahiran pekerja,” katanya pada sidang media selepas majlis pertukaran memorandum persetujuan (MoA) Skim Pengurusan Kebolehpasaran Siswazah-Kem Kerja (JC-GEMS) antara MDeC dengan Talent Corporation Malaysia (TalentCorp) di Cyberjaya, semalam. Turut hadir ialah ialah Ketua Eksekutif TalentCorp, Johan Mahmood Merican.

    Badlisham berkata, MSC Malaysia menarik pelaburan kira-kira RM3 bilion tahun lalu menerusi tiga teras industri utamanya, iaitu per-kongsian perkhidmatan dan penyumberan luar (SSO), isi kandungan multimedia kreatif dan teknologi maklumat generik.

    Purata gaji tinggi

    Malah, katanya purata gaji yang diterima pekerja berkemahiran dan profesional dalam industri di bawah MSC Malaysia tahun lalu mencecah RM4,500 sebulan, iaitu jauh lebih tinggi berbanding purata nasional bagi skala pekerjaan sama iaitu RM2,800 sebulan.

    “Pekerjaan baru yang bakal diwujudkan di MSC Malaysia dalam tempoh tiga tahun ini akan berada dalam lingkungan purata gaji berkenaan kerana MDeC kini memberi tumpuan kepada pelaburan bernilai tambah serta membentuk pekerjaan berkemahiran tinggi,” katanya.

    Bagaimanapun, tegasnya pelaburan bermutu tinggi sedemikian hanya dapat dikekalkan jika tenaga kerja tempatan terus meningkatkan tahap kemahiran masing-masing yang membolehkan mereka relevan kepada industri serta berdaya saing di peringkat antarabangsa.

    Pakatan strategik

    Bagi tujuan itu, beliau berkata inisiatif MDeC untuk membangunkan tenaga kerja berpengetahuan yang mampan boleh dicapai menerusi kerjasama serta pakatan strategik dengan rakan usaha sama seperti TalentCorp, syarikat ICT, penyedia latihan serta institusi pengajian tinggi (IPT).

    “Kami percaya sinergi dibentuk akan terus menyediakan tenaga kerja dengan pengetahuan yang relevan serta kemahiran diperlukan oleh syarikat,” katanya.

    Badlisham berkata, MDeC menyasar untuk melatih kira-kira 12,000 siswazah baru dan profesional tahun ini melalui beberapa program sedia ada serta yang baru dirangka.

    Potensi industri perkahwinan

    Salah satu bidang yang menjanjikan peluang peniagaan yang berterusan dan keunutngan lumayan..


    Potensi industri perkahwinan

     
    Pasangan bertemu dan bercinta, mengikat janji setia, lantas berakhir di jenjang pelamin. Sudah pasti majlis perkahwinan diadakan untuk meraikan raja sehari sama ada secara sederhana atau besar-besaran semuanya bergantung kepada bajet individu.

    Pastinya, orang yang paling sibuk apabila tiba musim perkahwinan ialah mereka yang terbabit dalam industri berkaitan terutama pada zaman ini semakin ramai yang menggunakan khidmat perunding perkahwinan, selain butik, katering, jurukamera dan jurufoto.
    Meskipun nampak seakan kecil, namun industri berkaitan mampu menjana pendapatan kepada rakyat dan negara. Malah dengan kepelbagaian budaya, agama dan tradisi perkahwinan mengikut kaum masing-masing menjadikan industri ini tidak pernah mati, sebaliknya sentiasa ada orang yang ingin menamatkan zaman bujang.


    Mengulas mengenai laba dalam bidang ini, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Donald Lim, berkata lebih 1,000 butik perkahwinan di Malaysia dianggarkan memperoleh pendapatan sehingga RM150,000 sebulan bagi setiap butik.

    Katanya, ini membuktikan cinta dapat mengatasi segala-galanya sekalipun ketika menghadapi kegawatan ekonomi.

    “Dalam apa juga keadaan, semua pihak mampu menyumbang kepada peningkatan ekonomi negara. Di Pejabat Pendaftaran Perkahwinan, umpamanya memperlihatkan seramai 180,000 pasangan mendaftarkan diri untuk perkahwinan, sepanjang tahun lalu.

    “Melihat barisan yang panjang di Pejabat Pendaftaran Perkahwinan itu sudah cukup jelas menunjukkan potensi industri perkahwinan di Malaysia semakin berkembang. Perniagaan perkahwinan bukan saja dapat memberi pulangan yang menguntungkan kepada negara, tetapi pada masa sama, boleh menjadi faktor yang menarik pelancong asing datang ke Malaysia,” katanya pada majlis pelancaran Pameran Pengantin ‘Romance in Fate’ 2013, di pusat konvensyen Mid Valley, baru-baru ini.
    Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Life’s Magazine, Law Beng Chee.

    Potensi rentas dunia

    Donald Lim berkata, jumlah pendapatan yang diperoleh daripada industri perkahwinan tempatan akan terus meningkat sekiranya masyarakat tempatan tidak menggunakan perkhidmatan perunding perkahwinan luar negara.

    “Masyarakat tempatan perlu beringat bahawa ‘hanya jauhari mengenal manikam’ kerana ramai pakar perunding perkahwinan tanah air sudah berjaya memasuki pasaran luar negara. Malah, lebih bangga apabila ada pelanggan asing yang sanggup datang ke Malaysia untuk mendapatkan hasil kerja tangan lebih berkualiti daripada bakat dan kebolehan pereka tempatan,” katanya.

    Contohnya, pakaian pengantin dalam majlis perkahwinan bukan sekadar pakaian untuk perkahwinan, tetapi rekaan tempatan menjadi lambang dan wajah untuk Malaysia di pasaran antarabangsa.

    Beliau yakin industri perkahwinan akan terus berkembang tidak saja di negara ini, malah merentasi sempadan dunia.

    Ketika ini, Malaysia bukan hanya lagi terkenal menghasilkan kelapa sawit dan getah, malah mungkin suatu hari nanti berpotensi dalam industri perkahwinan. Melihat kepada prospek lebih meluas, industri perkahwinan perlu dipromosikan untuk faedah pembangunan negara.

    Bawah satu bumbung

    Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Life’s Magazine, Law Beng Chee, berkata sebelum menempuh alam itu, pelbagai persediaan perlu dilakukan bagi memastikan majlis berjalan lancar dan meninggalkan seribu kenangan indah.

    Katanya, ia bermula dengan perancangan majlis, sesi fotografi, memilih busana pengantin, solekan hingga pemilihan menu untuk tetamu.

    “Meskipun kini di pasaran ada banyak khidmat perancangan perkahwinan yang menyediakan segala kelengkapan perkahwinan tetapi dengan variasi yang ada bakal pengantin masih lagi menghadapi masalah memilihnya. Oleh kerana itu, kita menganjurkan pameran pengantin bagi menghimpunkan semua pengamal industri perkahwinan di bawah satu bumbung,” katanya ditemui pada majlis sama.

    Sebanyak 75 syarikat dengan lebih 150 gerai pameran termasuk butik perkahwinan, dewan majlis di hotel dan restoran serta pusat kecantikan itu diadakan sebagai panduan bakal pengantin mendapatkan maklumat sebelum mengadakan majlis bersejarah.

    Law berkata, pameran pengantin itu mempamerkan segala keperluan di bawah satu bumbung dan semestinya dapat menyelesaikan segala persoalan.

    Pelancaran itu turut menampilkan beberapa pertunjukan fesyen pakaian pengantin yang indah dengan rekaan terkini. Mengambil tempat menyerikan majlis pameran, pereka gaun pengantin yang terkemuka iaitu D&L Couture, Dominique Chan, David Tay dan juga Key Ng, masing-masing tampil dengan rekaan unik dan tersendiri.

    Maxis tawar data percuma tanpa had

    Sim kad terbaru untuk pengemar facebook, twitter dan whatsapp. 

    Dengan top-up RM10 hot ticket dapat RM7 airtime (credit), 100MB Data + 1GB Data, and unlimited access to Facebook, Twitter, & WhatsApp sehingga tamat tempoh tiket tersebut.

    Credit: Berita Harian
     
    Maxis tawar   data    percuma tanpa had  

    Dari kiri, Chua, Amarasekera dan Chong pada pelancaran Hotlink Social Edition di Kuala Lumpur, semalam.
     
    Syarikat lancar pelan prabayar edisi media sosial

    Maxis Bhd menjadi penyedia perkhidmatan telekomunikasi pertama negara ini yang menawarkan pakej data percuma tanpa had bagi menggunakan laman web dan aplikasi sosial seperti Facebook, Twitter dan Whatsapp.

    Ia susulan pelancaran pelan prabayar edisi media sosial, Hotlink Social Edition yang menawarkan kos panggilan dan khidmat pesanan ringkas (SMS) serta perkhidmatan internet laman sosial media tanpa had pada harga kompetitif.
    Ketua Pegawai Operasi Bersamanya, Suren J Amarasekera, berkata pelan itu diperkenal selaras arah aliran penggunaan data mudah alih di negara ini yang tertumpu kepada media sosial.


    Yakin terima sambutan

    “Kami yakin bahawa pelan prabayar ini akan menerima sambutan memberangsangkan daripada pasaran pelan telekomunikasi prabayar di negara ini berikutan pelbagai manfaat yang akan diperoleh pengguna.

    “Dalam masa terdekat, kami menjangkakan pengukuhan jenama Hotlink dan akan memerhatikan maklum balas pemain telekomunikasi lain dalam memastikan penawaran kami kekal relevan dengan pelancaran lebih banyak perkhidmatan inovatif pada masa depan,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Hotlink Social Edition di Kuala Lumpur, semalam.

    Turut hadir Ketua Produk Mudah Alih dan Perkhidmatan Antarabangsa, Jeff Chong dan Ketua Wilayah Tengah Maxis Berhad, Christopher Chua.
    Pelan prabayar baru itu turut menawarkan kuota data 1GB daripada jam 2 pagi hingga 7 pagi menerusi Hot Ticket berharga RM10.

    “Bagi panggilan dan SMS, pelan ini menawarkannya harga rendah terutama mulai jam 2 pagi hingga 7 pagi, sesuai dengan trend generasi muda kini yang gemar berbual dengan teman pada lewat malam,” kata Chong.

    Secara purata, setiap rakyat Malaysia menghabiskan satu pertiga daripada masa mereka untuk berhubung teman menerusi laman atau aplikasi sosial, menjadikan Malaysia antara senarai teratas penggunaan media sosial di dunia.

    Kini, 46.9 peratus daripada 28.5 juta rakyat negara ini mempunyai akaun Facebook dan dua juta mempunyai Twitter daripada hanya 3,000 akaun pada 2008.

    Suren berkata, pakej kad sim prabayar itu sudah berada di pasaran mulai hari ini dan pengguna pelan prabayar Hotlink sedia ada hanya perlu membeli Hot Ticket untuk memanfaatkan pelan baru itu.

    Wednesday 17 April 2013

    Senjata baru salur maklumat

    Selamat berkempen PRU-13, gunakan segala senjata yang anda. Moga tidak menyesal kemudian hari.

    Credit: Metro

    Selepas parlimen dibubarkan pada 3 April 2013 lalu, secara tidak langsung ia memulakan perang kempen yang rancak.

    Pada zaman moden, perang kempen bukan lagi hanya terhad kepada tingginya bendera tergantung di pokok, ‘banner’ di tepi jalan berhampiran lampu isyarat dan risalah dari rumah ke rumah yang diedarkan petugas parti bertanding.

    Perkemba­ngan media alternatif, terutama laman blog yang dipandang sebelah mata oleh beberapa pihak hingga ada yang menggelarkan penulis blog atau blogger sebagai ‘goblok’ (bahasa Jawa yang bermaksud bodoh) mula menonjol pada pilihan raya umum (PRU) ke-12 2008.

    Tiada siapa menjang­kakan waktu itu, blog mampu menjadi senjata sehingga menghasilkan tsunami politik yang tercatat dalam sejarah Malaysia.

    FotoGOOGLE+ mudah digunakan.


    Kini, lima tahun selepas PRU ke-12, rakyat negara sekali lagi bakal mengundi yang bermakna parti bertanding memikirkan strategi berkesan untuk menambat hati mereka sekali gus memberi undi diharapkan.

    Apatah lagi, PRU 2013 kini boleh disifatkan sebagai acara membuang undi untuk orang muda yang mana statistik dikeluarkan menunjukkan pengundi muda merangkumi 38.8 peratus atau 4.5 juta daripada keseluruhan 12 juta pengundi di negara ini.

    Oleh itu, timbul pula persoalan sejauh mana golongan muda mampu menjadi penentu keputusan pilihan raya dan apakah jenis kempen yang diinginkan mereka pada zaman moden sesuai dengan selera minda mereka.

    Tambahan pula, statistik Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menunjukkan penembusan jalur lebar kini mencecah lebih 65 peratus yang membuka peluang kepada medium baru terutama membabitkan video serta ‘stream’ untuk akses di kalangan pengguna.

    Statistik pada akhir 2012 juga menunjukkan kadar penembusan telefon bimbit sehingga 142 peratus yang membuka peluang baru kepada kempen efektif dan bukan terhad kepada khidmat pesanan ringkas semata-mata.

    Selain itu, kepopularan tablet juga akan menjadi pendorong utama kepada mobiliti yang mempengaruhi kempen online.

    Agensi penyelidik Gartner menganggarkan pada 2012 pembelian tablet mencapai 13 juta unit dan menjadi lebih tiga kali ganda menjelang 2016 iaitu sebanyak 53 juta unit.

    Bagi sebuah parti politik, mereka perlu mengambil perhatian terhadap penggunaan teknologi dan mengguna pakai kecanggihan maklumat supaya tidak ketinggalan dan terus kekal bersaing dalam politik moden.

    Mana-mana ahli yang tidak memberikan maklum balas sewajarnya kepada implikasi penggerak sosial, mudah alih, ‘cloud’ dan maklumat berdepan dengan cabaran sengit.

    Implikasi yang dipacu pendesak ini menerusi pel­bagai medium alternatif di dunia online dan teknologi amat signifikan sekali gus menunjukkan kepentingan berkempen secara efektif dan berkesan.

    Ketika ini, terdapat kempen menggunakan SMS yang dihantar kepada pengguna daripada organisasi tidak dikenali meminta kita sebagai pengguna memperhalusi tindakan mengundi memberi kesan kepada masa depan.

    Namun, ada juga yang memperkenalkan diri dalam SMS itu mewakili parti tertentu untuk meminta pengguna telefon mengundi mereka.

    Peliknya, pengguna sendiri tidak mengetahui bagaimana nombor telefon mereka diperoleh pihak tertentu sehingga menerima SMS yang kadang kala menjangkau sehingga lebih lima SMS seminggu.

    Rata-rata pengguna terutama golongan muda yang menyalin semula SMS terbabit dan memindah turunnya ke laman sosial seperti Facebook atau Twitter mengatakan mereka kurang menggemari taktik terbabit disifatkan sudah lapuk.

    Malah, pengguna beranggapan ia mengganggu kehidupan peribadi apabila telefon mereka berdering pada masa tidak sesuai.

    Jadi, trend PRU 2013 bakal menyaksikan keupayaan video dan aplikasi pada peranti mudah alih yang membuka peluang kepada dimensi baru mewujudkan perkongsian maklumat yang membabitkan rakyat negara ini lebih berilmu sebelum membuat keputusan.

    Kebanjiran laman video yang menyalurkan siaran secara langsung menjelang PRU ke-13 bakal mening­galkan kesan, sekali gus mengejutkan pihak yang ada memperkecilkan kemampuannya mempe­ngaruhi minda pengundi.

    Kehangatan pengaruh siaran langsung online seperti stream mahupun YouTube terbukti memberi kesan besar apabila ia digunakan secara berkesan dalam kempen pilihan raya, terutama daripada parti pembangkang atau individu yang kebanyakannya lebih cenderung kepada mereka.

    Sekiranya pada 2008, terdapat kajian yang mendapati 70 peratus keputusan pilihan raya dipengaruhi maklumat yang dipaparkan dalam blog, apatah lagi maklumat secara visual menerusi video mudah mengubah satu pangkah rakyat.

    Sebelum ini, Malaysia memiliki hampir 500,000 blog aktif membuktikan penggunaan blog sangat berkuasa dalam mempe­ngaruhi pemikiran rakyat berkaitan politik.

    Namun pada masa kini terutama kepada penduduk bandar besar seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor Bahru, Kuching dan Kota Kinabalu, stream kini mempunyai jangkauan penyebaran maklumat yang sangat berkesan memandangkan jumlah pengguna Internet bertambah setiap hari.

    Pengaruhnya terhadap senario politik tempatan sudah bermula sejak Facebook dan Twitter digunakan secara meluas di kala­ngan ahli politik yang berjaya memanfaatkan media alternatif terus bergerak pantas dan menarik lebih ramai pembaca atau penonton.

    Trend itu diteruskan apabila seorang ahli politik negara diiktiraf Google sebagai ahli politik pertama di Asia Tenggara yang menggunakan laman sosial video Google Hangout untuk berinteraksi dengan penyokong dan masyarakat umum.

    Google Hangout adalah sidang video yang membolehkan subjek utama berkomunikasi dengan pelbagai pengguna lain memaparkan wajahnya di skrin utama selain wajah pengguna lain di skrin bawah.

    Sebelum ini, Presiden Amerika Syarikat, Barrack Obama dan Perdana Menteri Australia, Julia Gillard turut menggunakan Google Hangout untuk berinteraksi dengan rakyat. Menurut Google, ia menerima lebih 22,000 tontonan secara langsung dan lebih 100,000 tontonan secara keseluruhannya selepas acara terbabit.

    Kaedah kempen baru menggunakan stream menerusi laman tersedia seperti Ustream dan Livestream memberi kesan positif kepada penyebaran maklumat.

    Misalnya, ceramah tokoh politik terkenal yang berlangsung di Perlis turut mampu ditonton secara langsung di depan skrin besar di Taman Medan, Petaling Jaya sekiranya anggota parti bersedia menyiapkan prasarana teknologi mudah dan tidak berkos tinggi.

    Cukup sekadar mempunyai laptop, kamera video, langganan data Internet dan projektor untuk memancarkan ceramah secara langsung.

    Stream video bakal menjadi kemudahan yang diperkenalkan kepada pengguna di rumah mampu menyiarkan rancangan menggunakan standard jalur lebar mampu diakses di kebanyakan lokasi disediakan syarikat telekomunikasi.

    Stream video yang disesuai dengan standard terbaru H.264 mampu merealisasikan komunikasi moden di kalangan pengguna.

    Standard H.264/AVC mampu mewujudkan piawaian yang mampu menghasilkan mutu video terbaik pada kadar bit jauh lebih rendah berbanding piawaian terawal.

    H.264/AVC banyak digunakan dalam pelbagai aplikasi termasuk penyiaran televisyen secara stream ke video untuk peranti mudah alih.

    Di samping itu, parti politik mampu berkempen hanya dengan menggunakan telefon pintar dengan aplikasi stream untuk berceramah.

    Aktifkan aplikasi terbabit dan promosikannya di laman sosial dan ceramah anda sudah bersedia ke dunia online pada bila-bila masa.

    Bayangkan, pada Ahad lalu terdapat seorang ahli politik tidak dibenarkan memasuki negeri tertentu mampu menyiarkan ceramahnya secara langsung terus kepada penduduk yang hadir ceramahnya secara online menunjukkan teknologi canggih melangkaui sempadan halangan.

    Semuanya terhasil dengan teknologi seperti kamkoder yang turut boleh dipasang di kepala seperti set kepala atau di helmet, produk ini berfungsi dengan baik manakala saiznya yang kecil dan ringan tidak mengganggu pergerakan di bahagian kepala.

    Unit kamkorder terbabit dihubungkan dengan kabel sepanjang 60 sentimeter kepada unit perakam seberat 115g yang kebiasaannya di letakkan di pinggang boleh ditetapkan untuk pandangan ‘fish eye’ atau biasa, sokongan WiFi dan penyiaran langsung Ustream membolehkan aksi rakaman dipindah naik terus ke laman web atau peranti mudah alih yang berada dalam jarak liputan WiFi.

    Teknologi mudah alih juga menyaksikan beberapa parti politik mempunyai aplikasi telefon pintar sendiri yang membawa berita terkini, kemudahan semakan daftar pengundi, infografik penuh data, video ceramah dan jadual aktiviti.

    Salah satu parti politik di Malaysia, Parti Keadilan Rakyat (PKR) mempunyai aplikasi itu yang beroperasi pada platform iOS dan Android yang dipindah turun secara percuma bermula 25 Mac lalu.

    Zaman kini menyaksikan perubahan moden yang bukan bergantung kepada berapa banyak bendera yang digantung ataupun kain rentang untuk menyampaikan maklumat.
    Malah, dengan hanya menggunakan telefon, kempen anda mampu menemui 12 juta pengundi negara ini.

    Van sekolah jadi rezeki Azmi

    Seorang usahawan bumiputra yang xkenal perkataan berputus asa

    Credit: Utusan

    Azmi wahab kini memiliki tiga buah van sekolah dan dia turut menggajikan pembantu. 
     
    AZMI Wahab, 52, memang sibuk orangnya. Beberapa kali penulis dengan dibantu Eksekutif Agihan Daerah Petaling, Syahril Ritin cuba mengaturkan pertemuan namun sering kandas di pertengahan. Akhirnya, Allah SWT mengizinkan kami bertemu. Di suatu pagi yang cerah di sebuah bangku batu di tepi sebuah rumah di Seksyen 8, Shah Alam, kami menghabiskan masa dengan sedikit tergopoh-gapah kerana dia memang perlu segera bergegas untuk melunaskan kewajipannya sebagai pemandu van sekolah.

    "Saya ini berasal dari Johor dan pada 1984 saya berpindah ke Selangor. Dahulu saya pernah menjawat jawatan pegawai kerajaan, tetapi saya tidak betah makan gaji dan ia bertahan selama dua tahun sahaja. Selepas itu, bermulalah episod jatuh dan bangun saya dalam dunia perniagaan yang saya ceburi sehingga ke saat ini," kata Azmi.

    Berdasarkan kisah yang dipaparkan, penulis melihat bahawa Azmi mempunyai latar belakang perniagaan yang rencam. Maklumlah, sejak 1989 sehingga sekarang, dia telah menjalankan pelbagai jenis perniagaan.
    "Saya pernah menjual barangan elektrik dengan membuka kedai barangan elektrik, pernah menjual gas. Kemudian saya meniaga makanan di kantin sebuah kilang dan ia memang menguntungkan. Pada masa yang sama, saya juga cuba mengembangkan cabang perniagaan saya dalam dunia pembinaan dengan mengambil kerja-kerja kontrak pembinaan di Kuala Lumpur," katanya.

    Selalunya begitulah, adat orang berniaga tidak akan duduk diam demi mencari sebanyak mungkin laba. Bagi Azmi, keputusannya berhenti makan gaji dan penat lelah menceburi dunia perniagaan, memang telah mendatangkan hasil yang amat lumayan.

    "Waktu itu, pendapatan saya pernah mencecah RM50 ribu sebulan," tegasnya.

    Namun, Azmi menyedari bahawa dalam tindak-tanduknya, sentiasa ada ruang-ruang yang memungkinkan dia terjerlus dan melakukan kekhilafan. Bagi Azmi, beberapa kali mendapat teguran daripada Allah SWT dengan diberikan musibah demi musibah ke atas dirinya, adalah suatu peringatan agar dia tidak boleh sama sekali merasa reda dengan sebarang elemen 'dosa' yang meresap masuk dalam perniagaannya.
    "Saya masih ingat, dulu sewaktu menjalankan perniagaan gas, saya telah didatangi seseorang dan menawarkan kepada saya untuk membeli tong-tong gas kosong pada harga yang murah, kira-kira separuh harga daripada tong gas yang ada di pasaran.

    "Saya membeli banyak sekali tong gas itu, dua lori. Akibatnya, tidak lama kemudian saya kemalangan. Saya sedar, ini adalah teguran daripada Allah SWT sebabnya dari awal lagi saya sudah mengesyaki bahawa tong gas yang saya beli itu adalah tong gas curi, kerana harganya amat murah dan tidak masuk akal," kata Azmi.
    Beberapa pengalaman lain mengukuhkan lagi kepercayaan di minda dan hati Azmi, bahawa dia memang tidak boleh sama sekali bertoleransi dengan sebarang anasir tidak baik, seperti menipu dan sebagainya. Natijahnya, sehingga kini Azmi amat menjaga agar dirinya tidak terjebak lagi dengan sebarang keraguan dalam urusan perniagaan.

    "Namun, adakalanya saya diuji dengan kejahatan di pihak lain dan juga tiadanya persefahaman dengan rakan kongsi. Ini juga perkara yang tidak baik untuk sesebuah perniagaan, kerana ia akan memberikan kesan negatif. Saya sendiri sudah melaluinya."

    Azmi juga masih ingat, sekitar awal tahun 2000 dia mendapat peluang menceburi bidang pembinaan dengan terlibat secara langsung dalam pembinaan sebuah kompleks besar di Kuala Lumpur.

    "Mula-mulanya, saya hanya diberikan projek sekadar puluhan ribu sahaja. Lama-kelamaan, ia meningkat sehingga ratusan ribu. Saya melihat, peluang untuk saya menjadi jutawan bagaikan sudah terbuka, sehinggalah saya mendapat tahu di dalam transaksi yang berlaku, wujudnya elemen rasuah dan menzalimi orang lain. Dari situ saya sedar, saya tidak akan bertahan lama kerana Allah SWT pasti akan 'memperingatkan' saya," katanya.

    Benar telahan Azmi, tidak lama kemudian dia jatuh terduduk. Bisnesnya luluh dan dia mencari peluang lain menjana kehidupan. Daripada berniaga ratusan ribu, dia akhirnya menjalankan perniagaan apam balik di tepi jalan.

    "Sehinggalah suatu hari pada 2004, ada pihak yang meminta saya menghantar anak-anak mereka ke sekolah. Itulah permulaannya saya menjalankan perniagaan ini."

    Basikal guna gentian karbon dilancar

    Dunia semakin berkembang maju, basikal pun secanggih pesawat.

    Credit: Kosmo


    BASIKAL premium Duo Cali dibina berasaskan ciri-ciri pesawat dan jentera F1.


    CATERHAM COMPOSITES (Caterham) melancarkan basikal premium Duo Cali dengan merangkumi kejituan rekaan dan penggunaan bahan di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

    Dianggap sebagai revolusi konsep baharu basikal, ia menggunakan idea kenderaan perlumbaan yang ringan dengan memasukkan ciri-ciri pesawat dan jentera Formula Satu (F1).

    Strukturnya ringan dibangun menggunakan bahan gentian karbon menjadikan ia basikal pertama diperbuat daripada komposisi komposit sepenuhnya.

    Ia menolak falsafah lama rekaan basikal bagi memenuhi pengalaman kejuruteraan F1 yang praktikal. Kelainan yang terdapat pada Duo Cali adalah pada rekaan bingkainya.

    Tiub bingkai terpisah dan penukaran gear elektronik yang dibina dalam bingkai menjadikan sifat Duo Cali seakan-akan teknologi F1.

    Berbanding rekaan basikal terdahulu, mekanisme gear elektroniknya merupakan sebahagian daripada struktur, bukan dipasang kemudian dan disembunyikan.

    Ia direka dan ditentukan sejak proses rekaan lagi. Gear seumpama itu merupakan yang pertama dalam industri basikal dan sudah semestinya dipertingkatkan lagi pada masa akan datang.

    Duo Cali menggunakan komponen-komponen basikal yang setanding dengan jenama Caterham lain seperti Campagnolo, Selle Italia dan Crankbrother.

    Basikal berkenaan boleh didapati di pasaran dalam negara dengan harga sekitar RM40,000.

    Sasar pendapatan RM4 bilion

    Teknik kempen, mengumumkan perkembangan dan kebaikan syarikat sambil berkempen produk baru. Panduan berguna ni.

    Credit: Utusan

    Ahmad Zaki Zahid (dua dari kiri) dan Pengarah Urusan Pizza Hut Malaysia, Low Kang Moon (dua dari kanan) menunjukkan Piza Sensasi Berganda di Petaling Jaya, semalam.
    PETALING JAYA 11 April - QSR Brands (M) Holdings Sdn. Bhd. (QSR Brands) menyasarkan pendapat Kumpulan sebanyak RM4 bilion pada tahun ini.

    Pengarah Urusannya, Datuk Ahmad Zaki Zahid berkata, sasaran tersebut adalah lebih tinggi daripada pendapatan tahun 2012 iaitu RM3.6 bilion.

    Katanya, daripada jumlah sasaran tersebut, 25 peratus daripadanya dijangka dijana daripada cawangan restoran Kentucky Fried Chicken (KFC) dan Pizza Hut luar negara.

    "Malaysia menyumbang 75 peratus daripada perolehan Kumpulan dan selebihnya adalah dari pasaran luar.
    "Tahun ini kami menyasarkan untuk menambah lebih 20 cawangan baharu bagi pasaran luar antaranya di India, Singapura dan Kemboja," katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui pada pelancaran produk terbaharu Pizza Hut iaitu Piza Sensasi Berganda di Pizza Hut Kota Damansara di sini hari ini.

    Terdahulu, Ahmad Zaki memberitahu, piza terbaharu tersebut adalah rekaan tempatan dan akan berada di pasaran selama dua bulan bermula hari ini.

    "Piza itu dijangka dapat mendorong 25 peratus jumlah keseluruhan jualan Pizza Hut dalam masa tempoh promosi," ujarnya.

    Menurutnya, piza berkenaan mempunyai gegelang keju cair dalam kerak berinti yang lapisan atasnya terdapat pepperoni, lada benggala dan cendawan dalam sos barbeku madu.

    Selain itu, piza itu juga mempunyai gegelang sosej yang disaluti keju parmeson keemasan dihias atas kerak kedua dengan berinti rol ayam, bawang berkaramel dan sos salsa.

    Pizza tersebut boleh dinikmati pada harga RM26.90 bagi saiz biasa dan RM35.90 untuk saiz besar.
    Selain itu, terdapat juga hidangan berkumpulan iaitu set kombo bersama sup, roti jejari bawang putih dan air 7Up Revive yang berharga RM29.90 untuk dua orang dan RM48.90 untuk empat orang.

    Tuesday 16 April 2013

    KFC tawarkan diskaun 'Promosi Pilihan Raya'

    Salah satu teknik berkempen, mengunakan tema keadaan semasa untuk mempromosikan produk keluaran syarikat. Tahniah KFC

    Credit: Utusan

    KUALA LUMPUR 8 April - Restoran makanan segera, KFC menawarkan diskaun 20 peratus kepada pelanggan bagi setiap pembelian Bucket dan Barrel KFC sebagai tanda menyokong Pilihan Raya Umum Ke-13.

    Pengarah Urusan QSR Brands (M) Holdings Sdn. Bhd., Datuk Ahmad Zaki Zahid berkata, 'Promosi Pilihan Raya' ini diperkenalkan sebagai tanda sokongan KFC kepada semua rakyat Malaysia yang akan melalui proses demokrasi tidak lama lagi.

    Promosi istimewa ini akan bermula 9 hingga 30 April ini di kesemua 560 restoran KFC di seluruh Malaysia dan tempoh promosi bergantung kepada tarikh sebenar Pilihan Raya Umum Ke-13.

    Seandainya, melepasi tarikh sebenar Pilihan Raya Umum Ke-13, syarikat berkenaan jelas Ahmad Zaki, akan meneruskan promosi ini sehingga tarikh pengundian.

    "Promosi ini dapat memenuhi keperluan rakyat terutama sekali mereka yang terlibat secara langsung dalam menjalankan kerja- kerja pilihan raya," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Menurut Ahmad Zaki, promosi ini akan bermula daripada pukul 9.30 malam sehingga restoran tutup.
    Sementara bagi mana-mana cawangan restoran rangkaian berkenaan yang beroperasi selama 24 jam pula, tawaran itu sah sehingga pukul 2 pagi.

    Muslim Best pelbagaikan produk

    Satu lagi syarikat bumiputra yang berjaya di pasaran malaysia dan global. Tahniah

    Credit: Utusan

    KUALA LUMPUR 7 April - Muslim Best Marketing (M) Sdn. Bhd. (Muslim Best) melalui rangkaian produk makanan sejuk bekunya akan mempelbagaikan lagi produk berasaskan ubi vitato.

    Pengurus francais dan promosinya, Umi Kalsom Salleh berkata, syarikatnya kini dalam usaha untuk menawarkan menu baharu khususnya kepada mereka yang mementingkan penjagaan kesihatan.

    "Dengan mempelbagaikan produk daripada ubi vitato ini, kami berharap dapat meningkatkan lagi penjualan piza ubi vitato tersebut yang kini mencecah 2,000 kotak sebulan.

    "Piza vitato ini mengandungi 30 peratus campuran ubi keledek vitato dalam setiap adunan yang kaya dengan bahan antioksidan seperti B-karotena (memberi warna oren) yang bertukar menjadi vitamin A di dalam badan," katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui di gerai Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) di Pameran Perdagangan Halal Antarabangsa Malaysia 2013 (Mihas 2013).

    Tambah Umi Kalsom, bahan antioksidan tersebut dapat mengelakkan kerosakan pada sel dan asid deoksiribonukleik (DNA), seterusnya menghalang pertumbuhan sel kanser dan melambatkan proses penuaan.

    Selain piza, Muslim Best mengedarkan produk sejuk beku lain, antaranya murtabak raja, karipap rindu daging lada hitam, samosa coklat pisang dan popia cendawan berkeju.

    "Murtabak raja keluaran Muslim Best merupakan produk yang paling mendapat sambutan dengan penjualan sebanyak 20,000 kotak setiap bulan.

    "Murtabak raja ini telah dikomersialkan di pasaran Maghribi dan masih dalam perbincangan untuk memperluaskan lagi pemasaran di sana dalam tahun ini," jelasnya.

    Menurutnya, murtabak raja itu didatangkan dengan pelbagai perisa iaitu berintikan ayam lada hitam, daging lada hitam, kari ayam, rendang, ikan tuna dan vitato.

    Shell terus kukuh perniagaan di Malaysia

    Tahniah

    Credit: Utusan


    Azman Ismail (kiri) dan Ian Lo berbincang sesuatu di hadapan Terminal Penyimpanan Shell Wesport Fasa Ketiga di Pelabuhan Kelang, semalam. - UTUSAN/Izham Jaafar 
     
    PELABUHAN KELANG 11 April - Shell Malaysia berhasrat untuk terus mengukuhkan perniagaan di Malaysia didorong oleh keyakinan terhadap ekonomi dan persekitaran pelaburan di negara ini.

    Pengerusinya, Ian Lo berkata, setiap tahun Shell Malaysia membelanjakan berbilion ringgit setiap tahun bagi keseluruhan perniagaan termasuk operasi huluan dan hiliran di Malaysia bagi memastikan syarikat tersebut kekal sebagai peneraju pasaran bahan api di Malaysia.

    "Tahun lalu kami telah memeterai tujuh perjanjian pengeluaran dan telah melabur wang yang banyak untuk mencari lebih banyak sumber minyak dan gas di Malaysia.

    "Malah Shell juga telah memulakan pengeluaran di medan minyak laut dalam yang pertama seumpamanya di Malaysia iaitu Gumusut-Kakap yang terletak 120 kilometer daripada luar pesisir Sabah bagi tujuan cari gali," katanya ketika sidang akhbar selepas perasmian Terminal Penyimpanan Shell Westport Fasa Ketiga, di sini hari ini.

    Majlis disempurnakan Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Seri Long See Wool dan turut dihadiri oleh Pengarah Urusan Shell Malaysia Trading Sdn. Bhd. dan Shell Timur Sdn. Bhd., Azman Ismail.
    Menurut Ian, bagi memastikan perniagaan huluannya berterusan, Shell Malaysia telah menyiapkan fasa ketiga terminal tersebut dengan menambah tiga tangki penyimpanan baharu dan 1.4 kilometer saluran paip kargo untuk memenuhi permintaan dan pertumbuhan bahan api di Lembah Kelang.

    Pembinaan Terminal Shell Westport bermula dua setengah tahun lalu di mana syarikat tersebut telah memeterai perjanjian sub-pajakan di atas tanah seluas 10.12 hektar selama 14 tahun bagi tujuan penyimpanan, bekalan dan pengedaran produk-produk petroleum.

    Terminal yang melibatkan tiga fasa itu turut membantu mengurangkan kesesakan di terminal sedia ada di Port Dickson, Negeri Sembilan dan Terminal Pengedaran Lembah Kelang.

    Undang-undang khas halang perang perlu wujud seluruh dunia

    Kami sentiasa menyokong anda

    Credit : Utusan

    Dr. Mahathir Mohamad bersama Dr. Rosli Mohamed (tiga dari kiri) menunjukkan Piagam Kelab 
    Menjenayahkan Peperangan sambil diperhatikan oleh Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali pada majlis Pelancaran Kelab Menjenayahkan Peparangan (CWC) di Kolej Tunku Kurshiah di Bandar Enstek, Nilai, semalam. - UTUSAN/Abd. Razak Aid 
     
    SEREMBAN 11 April - Undang-undang khas bagi menghalang peperangan harus diwujudkan di seluruh dunia dalam usaha mencegah usaha itu dijadikan penyelesaian dalam konflik antara negara.

    Penaung Yayasan Menjenayahkan Perang Kuala Lumpur (KLFCW), Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, pelaksanaan itu perlu supaya penetapan maksud peperangan merupakan jenayah dapat dicapai.

    Beliau yang juga bekas Perdana Menteri berkata, usaha itu juga selari kehendak kemakmuran dan keamanan yang diharapkan seluruh masyarakat dunia.

    "Di Jepun, sudah diwujudkan undang-undang yang menghalang mana-mana pihak menggunakan perang bagi penyelesaian pertikaian dengan negara lain.

    "Walau bagaimanapun, jika diserang mereka berhak mempertahankan negara. Sebab itulah di Jepun, mereka punyai Pasukan Pertahanan Jepun yang hanya mempertahankan negara semata-semata bukan untuk menyerang," katanya.

    Dr. Mahathir berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar sempena majlis Pelancaran Kelab Menjenayahkan Peperangan (CWC) di Kolej Tunku Kurshiah, Bandar Enstek, Nilai, dekat sini hari ini.
    Yang turut hadir, isterinya yang juga Pengasas CWC, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali dan Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Datuk Dr. Rosli Mohamed.

    Menurut Dr. Mahathir, undang-undang itu sekiranya dapat diwujudkan di setiap negara membolehkan negara yang bertindak memulakan peperangan dikenakan tindakan mengikut peruntukan undang-undang antarabangsa.

    "Hari ini pun sudah ada mahkamah akan membicarakan mereka yang terlibat dengan jenayah peperangan, tetapi malangnya peperangan itu sendiri tidak dijadikan jenayah.

    "Ini kerana undang-undang di mahkamah itu hanya mencegah daripada melakukan jenayah tertentu semasa peperangan, tetapi peperangan masih diizinkan, sedangkan tujuan kita ialah menjadikan perang itu sendiri sebagai jenayah," katanya.

    Beliau turut berpendapat, negara yang kuat dari segi ketenteraan tidak menyokong idea itu kerana mahu menggunakan perang sebagai cara menekan negara lain untuk akur dan menerima desakan mereka.

    "Kita tahu Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah dari zaman dahulu suka berperang dan suka mengambil harta orang lain, oleh itu mereka tidak mahu menerima perang dianggap sebagai jenayah," katanya.

    SIRIM bantu usahawan, tingkatkan ekonomi negara

    Telah banyak bantuan kerajaan yang telah diberikan, terpulang kepada kita untuk mengunakannya atau tidak

    Credit : Utusan

    KUALA LUMPUR 11 April - SIRIM Berhad adalah sebuah institusi penyelidikan lengkap yang dapat membantu usahawan secara total, sekali gus membantu meningkatkan taraf ekonomi negara ini.
    Ia selaras dengan hasrat kerajaan untuk menjadi negara membangun menjelang 2020 dan rakyat berpendapatan tinggi, yang mana peranan inovasi dan teknologi adalah elemen penting untuk merealisasikannya.

    Ketua Pegawai Teknologi, Penyelidikan dan Inovasi Teknologi, Ir. Dr. Mohamad Jamil Sulaiman berkata, penciptaan dan kajian produk yang dibuat ketika ini bertujuan memberi nilai tambah kepada produk sedia ada dan juga mengeluarkan sesebuah produk yang terbaharu.

    "Kita dapati banyak produk yang telah sedia ada dalam pasaran adalah kreatif, namun ia kurang berinovasi.., maka di sinilah peranan SIRIM untuk membantu mereka.

    "Kita turut memberikan latihan dan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang berterusan sehinggalah produk dan inovasi usahawan tersebut berjaya dikomersialkan," katanya.

    Antara usahawan yang berjaya dibantu, pengusaha kraf seramik dari Sarawak, Florence Skim a/k Sujang yang pernah mempromosi barangannya sehingga ke pusat beli-belah terkenal, Harrods di United Kingdom.
    Beliau kini berjaya memperoleh pendapatan yang lumayan dan berjaya membawa jenama Malaysia ke peringkat antarabangsa.

    "Ini menunjukkan inovasi penciptaan yang dilakukan SIRIM mampu menjadi pemangkin kepada usahawan untuk mengeluarkan produk berkualiti, bertaraf global dan seterusnya menjana pendapatan yang tinggi kepada pengusaha," katanya.

    Selain itu, SIRIM juga berbangga kerana turut akan berkerjasama dengan syarikat pengeluar kereta tempatan dalam usaha meningkatkan pengunaan teknologi hijau dalam industri automotif menerusi produk bateri litium ion untuk kegunaan kenderaan elektrik ringan.

    Sweden benar masjid laung azan solat Jumaat

    Syukur terhadap tuhan ke atas nikmat yg diberikan olehNya

    Credit: Utusan
     
    STOCKHOLM 12 April - Sebuah masjid di sini dibenarkan untuk melaungkan azan solat Jumaat menggunakan pembesar suara di menara, sekali gus menjadi masjid pertama di Sweden untuk berbuat demikian.

    Ketua Persatuan Islam di Botkyrka, Ismail Okur menyuarakan rasa gembira dan bersyukur selepas pihak berkuasa Sweden memberi kebenaran tersebut.

    Ismail berkata, pihaknya telah meminta kebenaran untuk melaungkan azan solat Jumaat menggunakan pembesar suara di masjid Fittja.

    Masjid tersebut dibenarkan melaungkan azan dalam tempoh tiga minit hingga lima minit antara pukul 12 tengah hari hingga 1 petang pada setiap hari Jumaat. - AFP

    Melayu Islam wajib undi BN

    Sekadar berkongsi pandangan...

    Credit: Utusan

    Hasan Ali (tengah) bersama Aidit Ghazali dan Sidek Baba (kanan) mengadakan sidang akhbar bagi menjelaskan pendirian Pertubuhan Jalur Tiga di rumah Hasan di Kuala Lumpur, semalam. 
     
    KUALA LUMPUR 11 April - Pertubuhan Jalur Tiga (Jati) membuat ketetapan bahawa semua pengundi Melayu Islam di negara ini wajib mengundi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) kali ini. 

    Presidennya, Datuk Dr. Hasan Ali berkata, ketetapan itu dibuat ekoran pakatan pembangkang yang dianggotai oleh DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas ternyata gagal mengagungkan Islam, memartabatkan Melayu dan mendaulatkan institusi raja.

    Ujarnya, perkara itu terbukti apabila kalimah Allah disyirikkan, fahaman pluralisme mahu dijadikan sebagai asas beragama, berhasrat membentuk negara sekular, menggugurkan pembentukan negara Islam dan hukum hudud serta mahu menghapuskan hak istimewa orang Melayu.

    "Jati sememangnya tidak dapat menaruh walau sebutir keyakinan kepada pakatan pembangkang untuk mengagungkan Islam, memartabatkan Melayu dan mendaulatkan institusi raja.

    "Bukan itu sahaja, malah ketetapan ini juga dibuat bersandarkan kepada hasil perbincangan serta pandangan pakar-pakar agama di dalam Jati sendiri selain dengan para mufti dan para ulama mengenai parti yang wajib dipilih oleh orang Melayu Islam pada PRU-13 kali ini,'' katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di kediamannya di Bandar Utama dekat sini, hari ini.
    Turut hadir, Timbalan Presiden Jati, Datuk Aidit Ghazali dan Naib Presiden Jati, Prof. Datuk Dr. Sidek Baba.
    Hasan berkata, apa yang lebih penting, ketetapan yang dibuat oleh Jati itu bersandarkan kepada empat kaedah fiqh iaitu;

    "Sesuatu matlamat tidak menghalalkan cara; menolak sesuatu keburukan lebih baik daripada mengambil sesuatu kebaikan; memilih keburukan yang lebih kecil daripada dua keburukan bagi menolak keburukan yang lebih besar; perkara yang tidak sempurna wajib melainkan dengannya maka perkara tersebut menjadi wajib.''

    Beliau berkata, BN jelas tidak mempunyai agenda negatif terhadap Islam.
    Dalam sidang akhbar tersebut, Hasan turut melontarkan tiga persoalan yang perlu diberi perhatian oleh pengundi:

    *Adakah tanggungjawab mengagungkan Islam kepada DAP yang dengan tegas ingin membentuk negara sekular?

    *Adakah rakyat dapat mengharapkan perjuangan menegakkan negara Islam dan melaksanakan hudud yang telah diperjuangkan sejak 60 tahun lalu akan terus disambung oleh pimpinan sedia ada yang dilihat mabuk untuk ke Putrajaya?

    *Adakah masyarakat yakin akan terbentuknya negara bermoral dan rakyat bersahsiah dengan negara ini dinakhoda oleh pemimpin parti pakatan pembangkang yang sedang bergelut dengan pemasalahan moral yang berterusan dan serius?"

    Hasan berkata, itulah antara persoalan yang sentiasa bermain di benak pemimpin-pemimpin Jati yang perlu dirungkaikan.

    "Oleh itu, amatlah diharapkan pada PRU-13 nanti, pengundi-pengundi Melayu Islam khususnya dapat membantu menyelesaikan masalah kenegaraan ini dengan menolak pakatan pembangkang,'' ujar beliau lagi.
    Dalam pada itu, Hasan mengakui ketetapan itu mungkin akan dicabar oleh pihak-pihak tertentu namun atas nama prinsip, perjuangan dan jihad, Jati sedia berdepan dengan sesiapa sahaja untuk berdialog atau berwacana dalam usaha menyatakan kebenaran.

    "Ketetapan kita ini bersandarkan kepada peraturan kaedah fiqh, bersandarkan kepada ilmu, bersandarkan pandangan para ulama dan juga bersandarkan integriti Jati itu sendiri.

    "Individu seperti Datuk Aidit, seperti Profesor Sidek Baba, Dr. Yusri Mohamad (bekas Presiden ABIM) dan ramai lagi dalam Jati tidak pernah dikaitkan bahawa mereka ini pernah diperalatkan oleh UMNO dan Barisan Nasional (BN),'' katanya.

    Menjawab satu soalan, beliau berkata, Jati akan melancarkan siri jelajah ke seluruh negara bagi menyuntik keyakinan dalam kalangan pengundi-pengundi Melayu Islam iaitu ketetapan yang dibuat oleh Jati itu merupakan pilihan paling tepat untuk Islam, Melayu dan institusi raja.

    "Kawasan yang akan kita beri tumpuan ialah kawasan-kawasan panas khususnya yang ditandingi oleh kumpulan parasit dalam Pas dan tidak terkecuali kawasan-kawasan yang ditandingi oleh pemimpin-pemimpin PKR,'' kata Hasan.