Tuesday 15 January 2013

Mogah pernah ada syarikat bas sendiri





SEKALI pandang, Kampung Mogah yang terletak di hadapan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Tanjung Malim, Perak itu tidak ubah seperti sebuah kampung Melayu lain. Melihat unsur-unsur kemelayuan menerusi pembinaan rumah-rumah yang berkayu ukir itu, orang luar tidak akan menyangka ia sebenarnya sebuah kampung Benggali.

Sungguhpun demikian, kampung tersebut sememangnya sudah dikenali dalam kalangan penduduk setempat memandangkan ia satu-satunya kawasan yang didiami masyarakat yang berketurunan Pakistan.
Bagi mengetahui lebih lanjut mengenai salasilah kampung itu, Kosmo! baru-baru ini menemui beberapa penduduk yang masih menetap di kampung yang berusia lebih 60 tahun itu.

Abdul Jalil Jiwa Khan, yang sudah berusia 80 tahun memberitahu, kewujudan kampung itu bermula apabila bapanya, Allahyarham Jiwa Khan Hezara bersama rakan-rakan sekampung yang menetap di Moga, Punjab berhijrah ke Malaysia sekitar tahun 1920.

Sejarah Mogah 

Kedatangan mereka keluar dari kampung halaman itu disebabkan tercetusnya Perang Dunia Kedua. Dengan menaiki kapal, mereka berlabuh di Kuala Besut, Kuala Terengganu. Menetap di sana beberapa tahun lalu mereka berhijrah pula ke Behrang Ulu, Tanjung Malim.



SURAU Kampung Mogah yang dibina hasil kutipan penduduk kampung itu.



Sepanjang berada di daerah itu, mereka telah melakukan pelbagai jenis pekerjaan.
Pada masa yang sama, mereka mula mengintai kawasan-kawasan lapang di sekitar Behrang Ulu untuk dibeli supaya dapat menempatkan kesemua keluarga mereka di satu tempat.

Pada masa itu terdapat tanah kosong seluas 0.8 hektar, lalu tanpa berfikir panjang mereka akhirnya membuat keputusan untuk membeli tanah berkenaan yang bernilai sekitar AS$2,100 (RM6,429).
Bagaimanapun, tanah itu dibeli secara ramai-ramai tetapi di atas satu geran.

Mengulas lanjut, Abdul Jalil yang lebih dikenali dengan panggilan Gilo memberitahu, selepas pembelian tanah itu, mereka akhirnya menamakan kampung tersebut sebagai kampung Mogah memandangkan mereka berasal dari Moga, Punjab.

Selepas pembelian tanah itu kira-kira pada tahun 1948, mereka mula meneroka tanah berkenaan untuk mendirikan rumah.

"Sebelum ini, kawasan ini sememangnya dipenuhi dengan semak-samun dan jalan masuk ke kampung juga hanyalah jalan tanah merah.

"Namun, selepas pembinaan rumah secara satu persatu, akhirnya kampung ini telah bertukar wajah," katanya sambil memberitahu ketika itu kesemua rumah tersebut diperbuat daripada kayu kerana kosnya murah.

Bandar Moga merupakan daerah yang terdapat di Punjab, India. Rata-rata penduduk di Moga beragama Sikh.

Kebanyakan masyarakat di situ berkecimpung dalam bidang pertanian dan industri ternakan selain pemandu lori dan mengusahakan syarikat bas.

Sehingga hari ini, jumlah rumah di Kampung Mogah dianggarkan 13 buah dan majoriti penduduknya adalah kaum Pakistan.



SEKUMPULAN kanak-kanak bermain di Kampung Mogah yang kini hanya didiami sekitar 50 penduduk tetap.



Sementara itu, tinjauan Kosmo! mendapati pemandangan rumah-rumah kampung yang menghiasi landskap Kampung Mogah sejak lebih 50 tahun sudah semakin berubah hari ini.

Ia berikutan kebanyakan penduduk dilihat sudah mengubah suai rumah masing-masing memandangkan keadaan rumah lama yang semakin uzur.

Melihat luaran rumah-rumah sekitar kampung, rata-rata pemilik rumah di situ telah mengecat rumah semula, selain mendirikan pagar yang diperbuat daripada batu dan memasang pintu gerigi besi.
Dalam pada itu, kampung tersebut turut mempunyai sebuah surau yang baru didirikan pada tahun 2006.
Kosmo! difahamkan kos pembinaan surau yang memakan belanja kira-kira RM100,000 itu merupakan hasil kutipan penduduk setempat.

Ghairah berbicara lanjut mengenai sejarah kampung berkenaan, Gilo mengakui nama kampung Mogah tidak pernah tenggelam dalam kalangan penduduk setempat sehingga hari ini.

Ketika ditanya apa yang menyebabkan nama kampung itu kekal di mulut orang ramai, Gilo berkata, kampung tersebut pernah mempunyai syarikat bas pada tahun 1959.

Bas Mogah

Pada masa itu, syarikat tersebut merupakan satu-satunya pengangkutan yang digunakan dari Tanjung Malim, Slim River dan Sungkai.

Tambang yang dikenakan serendah 20 sen sehingga RM1.10 bergantung kepada lokasi. Gilo memberitahu, ketika itu penduduk Mogah sememangnya dikenali ramai memandangkan badan-badan bas terpampang dengan nama Mogah.

Memiliki lebih 40 buah bas Mogah, bas tersebut menjadi pilihan penumpang yang tingggal di ketiga-tiga kawasan itu untuk ke sekolah, tempat bekerja dan ke bandar Tanjung Malim.

Malahan, kebanyakan penumpang yang terdiri daripada pelbagai kaum sudah mengenali pemandu dan konduktor bas.

Walau bagaimanapun, syarikat bas Mogah hanya dapat bertahan sehingga tahun 2000 apabila pemilik syarikat tersebut yang juga penduduk Mogah membuat keputusan untuk menjual syarikat terbabit.

Kampung Mogah makin sunyi

Bagaimanapun, setelah lebih lima dekad kemeriahan Mogah beransur-ansur sepi hari ini.
Hal ini kerana kebanyakan anak jati Kampung Mogah telah berhijrah ke Kuala Lumpur untuk mencari rezeki, manakala ramai penduduk yang sudah berusia pula telah meninggal dunia.

Kini kampung itu hanya didiami kira-kira 50 orang penduduk tetap sahaja. Perkara itu turut diakui Norizan Abdul Rahman, 33, yang menetap di kampung itu sejak kecil lagi.

Bagi ibu kepada dua orang anak itu, perkara itu berlaku sejak 10 tahun yang lalu.

AISHAH (kanan) dan Norizan (dua dari kiri) antara penduduk yang masih setia mendiami Kampung Mogah.  




Karavan dalam hotel

 Asalkan kreative, bermacam-macam rasa boleh digunakan untuk menarik pelanggan.

Credit: Metro
 
 
Berlin: Jika dulu peminat aktiviti perkhemahan banyak bergantung kepada cuaca, pembukaan taman karavan tertutup pertama di dunia kini memberi lebih banyak kemudahan untuk sesiapa yang berminat.
Pengalaman dalam hotel unik itu boleh dirasai sendiri di Berlin, apabila pelbagai jenis karavan klasik serta pondok kayu ditawarkan untuk pelanggan, termasuk di kalangan mereka yang cerewet.

Dikenali sebagai Huttenpalast (Istana Pondok) menampilkan semua ciri klasik yang ada pada sesebuah karavan, termasuk kawasan bersantai di luar dan lampu gantung di ‘pokok’ yang membantu penyewa bergerak di kawasan sekitar perkhemahan. Huttenpalast lahir daripada idea Silke Lorenzen dan pereka hiasan dalaman, Sarah Vollmer, yang ingin membina sebuah hotel yang mengekalkan suasana serta pengalaman asal seperti tapak perkhemahan.

Ia terletak di bekas kilang pencuci hampa gas dan ditukar Silke dan Sarah sebagai ‘tapak perkhemahan’ menggunakan karavan serta kabin kayu.

Kata Silke, walaupun mahu mengekalkan ciri asal bangunan itu, mereka juga mencipta suasana yang mesra bagi membolehkan penghuninya saling bertemu. Pada asalnya, kata Silke, mereka memikirkan bilik dengan konsep “bilik di dalam bilik” dengan menyediakan kabin kayu kecil di ruang tamu.

“Tetapi kami juga mahukan ruang luas bagi membolehkan ia dijadikan tempat pelbagai aktiviti.
“Kami memikirkan memasang roda di bawah kabin, tetapi kemudian tersedar bahawa memang ada kabin yang beroda, iaitu karavan,” katanya. Tanpa membuang masa, kata Silke, mereka membeli tiga unit karavan.

Setiap kemudahan dalam karavan berkenaan ditanggalkan sebelum dihias semula dengan tema unik. Satu daripadanya kini bertukar menjadi seperti kepompong yang hiasan dalaman kayu.
Satu lagi karavan pula dihias dengan begitu cantik dan dilengkapi katil yang bersaiz besar. Seseorang yang ingin merasai pengalaman “perkhemahan bandar” itu dikenakan bayaran kira-kira RM250 satu malam. - Daily Mail

Gan tauke cendawan

Siapa berusaha dia yang berjaya.......

Credit: Metro


Siapa sangka idea dicetuskan rakan karibnya kira-kira empat tahun lalu memungkinkan bekas graduan Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang, Gan Kok Tong, 31, kini bergelar usahawan tani.
Penampilannya yang cukup kemas dan bertali leher suatu ketika dulu berubah dalam sekelip mata selepas mengambil keputusan nekad mengusahakan projek penanaman cendawan tiram kelabu di kawasan seluas kira-kira 0.4 hektar.


Mengambil risiko memulakan kerjaya baru yang jauh menyimpang daripada jurusan akademik di universiti tidak pernah dikesali.

Buktinya, dia kini sudah memiliki empayar perniagaan di sekitar Cheras dengan sasaran pelanggan membabitkan pemilik restoran makanan kukus, nasi campur, kedai makanan ala Thailand dan restoran sayur-sayuran.

Pengurus I Mushroom Enterprise itu berkata, empat projek pertanian dicadangkan ketika itu membabitkan penternakan ikan keli, serai, ayam kampung dan cendawan.

"Daripada berborak biasa berkenaan projek penternakan, timbul perasaan minat untuk menceburi bidang penanaman cendawan.

"Kebetulan kerajaan memfokuskan kepada empat bidang dan saya mengambil peluang keemasan yang terbuka di depan mata," katanya yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Kimia dengan kepujian.

Dia kemudian membuat penyelidikan menerusi Internet bagi mencari sebanyak mungkin maklumat berkaitan penanaman cendawan.

"Peluang untuk menceburi bidang penanaman cendawan terbuka luas. Tekan saja Internet dan buat pencarian berkenaan cendawan di laman web, banyak penemuan di situ.

"Antara informasi yang boleh diperoleh termasuk kebaikan dan keburukan penanaman sayuran berkenaan, jangkitan, modal asas serta jangkaan pulangan," katanya yang dianugerahkan Sijil Skim Organik Malaysia dari Jabatan Pertanian.

Berbekalkan kursus pertama diikuti di Puchong sekitar 2009 anjuran swasta, beliau kemudian memantapkan ilmunya dengan mengikuti kursus kedua di Rasah, Negeri Sembilan.

"Pendek kata bermula dengan kosong, saya kini sudah tahu banyak perkara berkenaan pokok itu.

"Kelebihan belajar di dua tempat, pertama kita dapat banyak maklumat dan kedua dapat teknik berlainan daripada penganjur," katanya yang mengusahakan projek terbabit di Kampung Semungkis, Batu 14, Hulu Langat, Selangor.

Menurutnya dengan modal perkongsian kira-kira RM100,000 sebuah rumah cendawan diusahakannya kini bertambah kepada empat unit.

"Wang itu saya gunakan untuk membeli pelbagai kelengkapan asas termasuk mesin. Berbekalkan ilmu diperoleh, saya dapat membuat anggaran berkaitan kos pengeluaran, bahan mentah dan jumlah pengeluaran cendawan.

"Anggaran pengeluaran syarikat kira-kira 25 kilogram sehari, namun permintaan luar jangkaan daripada pengusaha restoran, bilangan cendawan dipertingkatkan kepada 100 kilogram sehari," katanya.

Bagi memastikan perniagaan terus berkembang, dia mendapatkan modal tambahan menerusi suntikan pinjaman Tabung Untuk Makanan (Pinjaman 3F) Agro Bank.

"Saya perlu menyediakan kertas kerja berkaitan projek penanaman cendawan. Ada kalanya cagaran diperlukan bagi mendapatkan pinjaman, sementara pihak bank melakukan pengauditan setiap tahun," katanya.

Berkongsi sedikit pengalaman berkenaan projek terbabit katanya, pemilik rumah cendawan akan kerugian sekiranya tanaman diusahakan diserang perosak.

"Sejak dua tahun lalu, banyak cabaran terpaksa saya tempuhi membabitkan penyakit biasa bagi sayuran ini.

"Antaranya kulat jingga, kulat hijau, serangan tikus dan serangga bertelur dalam beg cendawan menjadi penyebab kerosakan tanaman ini," katanya.

Katanya, proses pengeluaran cendawan melalui beberapa peringkat iaitu penyediaan beg cendawan, penyuntikan benih cendawan, pengeraman, pengeluaran hasil dan penuaian.

"Bahan asas cendawan adalah habuk kayu getah dan ia tidak sesuai digunakan bagi kilang perabot menggunakan bahan sama kerana mengandungi anti fungus.

"Beg cendawan kemudian dikukus selama lapan jam dalam keadaan 100 darjah celsius, selepas tempoh dua bulan barulah ia melalui proses pengeraman dan mengeluarkan hasil enam kali bagi setiap kitaran," katanya.

Katanya, sayuran berkenaan kaya dengan sumber protin berbanding sayuran lain dan sesuai dijadikan hidangan kepada pengamal 'vegetarian'.

Dalam rancangan jangka panjang, dia melakukan beberapa projek hiliran seperti menghasilkan kerepek cendawan dan nugget cendawan.